Anak baru lahir
Bagi anak yang baru lahir disunatkan pada bapa untuk azan pada sebelah telinga kanannya manakala di telinga kiri pula dilakukan iqamat.
Rasulullah SAW ada bersabda maksudnya:
"Sesiapa yang melahirkan anaknya, maka azanlah pada telinga kanan anak itu dan iqamah di telinga kirinya. Anak itu tidak mendapat mudarat oleh jin (tidak terkena penyakit)."
Hikmahnya, agar kalimah pertama didengar anak itu di dunia ini ialah kalimah tauhid. Begitu juga pada akhir usia seseorang, diingatkan atau diajarkan juga dengan kalimah tauhid.
Nabi SAW bersabda maksudnya:
"Ajarlah orang yang hampir mati dengan kalimah 'la ilaha illallah' (tiada tuhan melainkan Allah)." (Riwayat Muslim)
Syarat azan dan iqamat
Orang yang menyeru azan dan iqamat itu mumayiz (dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk).
Hendaklah dilakukan selepas masuk waktu kecuali azan Subuh boleh dimulai lebih awal. Daripada Jabir bin Samurah, menceritakan bahawa:
"Bilal azan apabila matahari tergelincir, tidak dikuranginya lafaz azan itu. Kemudian dia belum iqamat sehingga Nabi SAW keluar. Apabila Baginda keluar, barulah Bilal iqamat iaitu selepas melihat Baginda." (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Nasai)
Daripada Ibnu Mas'ud, sesungguhnya Nabi SAW bersabda (maksudnya):
"Janganlah terhalang seorang kamu daripada makan sahur kerana azan Bilal. Sesungguhnya Bilal itu azan agar orang yang sedang beramal kembali beristirahat dan orang yang tidur bangun bersiap untuk solat." (Riwayat Jamaah, kecuali at-Tirmidzi)
Orang yang azan dan iqamat hendaklah orang Islam.
Kalimah keduanya berturut-turut, tidak diselang dengan perkataan lain atau dengan berhenti.
Tertib.
Sunat azan dan iqamat
Orang yang menyeru azan dan iqamat menghadap kiblat.
Berdiri ketika menyeru azan dan iqamat. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya:
"Wahai Bilal! Berdirilah, lalu azanlah untuk solat." (Riwayat Muslim)
Hendaklah dilakukan azan itu di tempat tinggi agar dapat didengar lebih jauh.
Muazzin hendaklah orang yang kuat dan baik suaranya supaya menarik orang ke masjid.
Muazzin hendaklah suci daripada najis dan hadas.
Mereka yang mendengar azan dan iqamat hendaklah turut menyebut perlahan-lahan seperti kalimah diucapkan muazzin melainkan pada kalimah hayya alassolah dan hayya alalfalah digantikan dengan menyebut la haula wala quwwata illa billah.
Demikian juga pada kalimah qadqamatissolah (ketika iqamat) digantikan dengan menyebut aqamahallah wa adaamaha.
Membaca selawat ke atas Nabi SAW apabila selesai menyeru azan dan berdoa:
"Ya Allah, Tuhan yang mempunyai seruan yang sempurna ini dan solat yang didirikan, berilah Nabi Muhammad SAW darjat yang tinggi dan kedudukan mulia. Berilah Baginda kedudukan terpuji yang telah Engkau janjikan kepadanya."
Disunatkan juga membaca doa lain di antara azan dan iqamat.
Harian Metro
2 April 2013
0 comments:
Post a Comment