INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Bomoh karut

Wednesday, September 2, 2009

 

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Fadly Samsudin

KUALA LUMPUR: Hanya kerana ingin membuat pesakit berasa hormat dan percaya kepadanya, seorang bomoh mendakwa bekerja dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selain berkhidmat selaku bomoh diraja kepada pihak istana.

Malah, bomoh berkenaan yang sudah memperdaya ratusan ribu ringgit wang orang ramai turut menyebarkan berita kononnya dia mempunyai kelebihan berdamping dengan jin selain mengamalkan ajaran tarekat Yasin bagi mengaut keuntungan daripada aksinya mengubati pelbagai penyakit misteri.

Terbaru, seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Zulkifli, 28, berkata kegiatan bomoh itu dipercayai ada unsur karut kerana dikesan cuba memperdaya orang ramai dengan menunjukkan aksi silap mata dalam usahanya mengubati penyakit terkena buatan orang.

Menurutnya, bukan saja orang biasa terpengaruh dengan aksinya, malah turut membabitkan ahli agama dan golongan VIP yang percaya kononnya suspek betul-betul berupaya memulih penyakit misteri dihidapi.

Bagaimanapun, berbanding pengamal perubatan Islam lain, bomoh berkenaan kerap mengenakan syarat tertentu terutama kadar bayaran mencecah puluhan ribu ringgit daripada pesakit dengan pelbagai alasan tidak munasabah.

“Bomoh terbabit kerap memberitahu duit pengeras dibayar itu akan digunakan untuk upah mengadakan solat hajat sepanjang 44 malam atau disedekah kepada anak yatim.

Bagaimanapun, solat hajat dan sedekah berkenaan tidak dapat dibuktikan termasuk lokasi diadakan,” katanya mengulas pendedahan berita penipuan bomoh palsu itu di Harian Metro, Isnin lalu.

Zulkifli berkata, dia mengenali bomoh itu hujung tahun lalu apabila pulang ke kampungnya di Mentakab, Pahang.

“Dia datang ke rumah bapa saya untuk mengubati penyakit kakak yang dikatakan terkena buatan orang. Akibatnya empat ahli keluarga saya dijampi bomoh terbabit sebelum diminta membayar RM4,000.

“Selepas menjalankan upacara berubat kakak saya, rumah bapa saya dijadikan markas bomoh berkenaan untuk mengubati pesakit yang kebanyakan dimomok kononnya turut terkena buatan orang,” katanya.

Katanya, bomoh terbabit yang hilang pengaruh bagaimanapun sudah berpindah lokasi dan dipercayai turut mengumpul ahli untuk satu pertubuhan di beri nama Fisabillillah.

“Bomoh ini ada mengatakan dia mengamalkan ajaran tarikat Yassin dan ada membela hamba jin untuk melakukan kerjanya,” katanya.

Dalam laporan Harian Metro Isnin lalu, seorang mangsa membuat aduan selepas mendakwa berhabisan ribuan ringgit bagi mengubati penyakit perut bapanya sebelum mendapatkan khidmat seorang bomoh yang mengaku dirinya Presiden Kelab Bomoh Malaysia.

Sebelum berubat, bomoh itu meminta RM3,000 sebagai bayaran upah 44 orang melakukan solat hajat selama 44 malam berturut-turut dan kenduri.

Bomoh berusia 60-an itu dikatakan menetapkan syarat seperti membawa beberapa barang seperti labu dan betik dengan alasan bagi tujuan ‘mengeluarkan’ penyakit daripada tubuh.

Harian Metro

29 Ogos 2009

0 comments: