INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Wanita rugi RM1,000 dakwa dipukau jurujual

Wednesday, September 2, 2009

 

KUALA LUMPUR: Percutian kali pertama seorang wanita ke negara China bertukar detik hitam apabila mendakwa seolah-olah dipukau pasangan jurujual yang memintanya membeli ‘teh herba sejuk’ dengan harga lebih RM1,000 sedangkan nilai sebenarnya hanya RM10 sekotak.

Mangsa, Agnes Joseph, 56, berkata kejadian bermula apabila dia bersama 45 pelancong lain menyertai pakej percutian di beberapa negara Asia yang ditawarkan sebuah syarikat agensi pelancongan di sekitar ibu kota, 12 Ogos lalu.

“Melalui pakej enam hari lima malam berharga RM2,500 itu, selain China, kami dibawa agensi berkenaan ke beberapa lokasi pelancongan di sekitar Hong Kong dan Macau.

“Bagaimanapun, ketika melawat sebuah syarikat barangan kesihatan di wilayah Zhuhai, China, saya tiba-tiba dihampiri seorang lelaki dan wanita warga negara itu sebelum dibawa ke sebuah bilik manakala pelancong lain berada di dalam dewan taklimat.

“Mereka menyuruh saya duduk di atas kerusi dan memegang bahu serta kaki seolah-olah mengurut sambil memujuk saya membeli daun teh herba didakwa bagus untuk kesihatan terutama individu baru menjalani pembedahan,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Biro Aduan Awam MCA, Datuk Michael Chong.

Menurut Agnes, ketika itu dia berasa seperti dipukau pasangan berkenaan dan terus bersetuju membeli sekotak daun teh terbabit dengan harga ditetapkan iaitu RM1,000.

“Tidak lama kemudian, saya beredar dari bilik berkenaan dan terkejut apabila beberapa pelancong lain memberitahu keadaan panik seketika berikutan mereka serta wakil agensi pelancongan sudah mencari saya sejak 25 minit lalu.

“Saya seterusnya menceritakan perkara berkenaan kepada ahli keluarga yang turut menyertai percutian itu dan baru menyedari diri diperdaya berikutan harga daun teh terbabit pada hakikatnya amat murah serendah RM10 di pasaran ,” katanya.

Menurutnya, dia kesal sikap agensi pelancongan dianggap cuai berikutan ketika kejadian, seorang kakitangan mereka melihat dia dibawa pasangan terbabit, namun tidak menahan dan hanya tersenyum.

Sementara itu, Chong menasihatkan orang ramai berwaspada dan meminta syarikat agensi pelancongan supaya bertanggungjawab dan memandang serius perkara seumpama itu.

Harian Metro

2 September 2009

0 comments: