INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Tiada sial dalam tubuh

Sunday, June 7, 2009

 

UPACARA mandi membuang sial di kalangan orang Melayu juga masih banyak diamalkan hari ini. - Gambar hiasan


ANTARA kasihan, kesal dan kecoh. Semua perasaan itu tergumpal menjadi satu apabila mendengar luahan seorang warga emas berusia 59 tahun. Dia menceritakan pengalamannya kehilangan semua wang dan barangan kemas miliknya bernilai hampir RM240,000.

Di pejabat Biro Pengaduan MCA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu, ada yang tidak percaya apabila semua kerugian itu gara-gara dia diperdaya muslihat membuang sial oleh tiga wanita yang tidak dikenalinya.

Menurutnya, mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an itu mendekatinya di Plaza Kota Raya, Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu. Lakonan 'meyakinkan' trio yang bijak mencipta situasi itu mendakwa anaknya akan ditimpa musibah dan meninggal dunia.

Ketika berbual dalam sebuah restoran, mangsa diberi minum dan sebentar kemudian dia terasa khayal. Ketika itulah, semua kata-kata wanita-wanita penipu itu dipercayainya.

"Seorang wanita itu memberitahu saya bahawa mereka mengenali seorang bomoh yang hebat tetapi saya perlu menyerahkan semua wang kepada mereka," katanya.

Tanpa banyak soal, mangsa ditemani salah seorang daripada suspek untuk menaiki teksi ke rumahnya di Cheras dan kemudian mengeluarkan semua wang daripada akaun simpanannya termasuk mengambil barangan kemas seperti gelang, rantai dan anting-anting yang dianggarkan bernilai RM30,000.

Satu bungkusan beg plastik telah diserahkan kepada Wong dan warga emas malang itu diingatkan supaya ia hanya boleh dibuka selepas tiga hari. Wong pun menurut sahaja. Namun, alangkah terkejut dan luluh hatinya apabila mendapati bungkusan itu hanya berisi sebotol air mineral, tiga peket garam, tujuh biji epal dan beberapa helai surat khabar lama.

Realiti segelintir masyarakat kita kini tidak mengira sama ada bangsa Melayu, Cina atau India masih mempercayai amalan karut yang dikatakan boleh membuang sial.


Melengkapi ketaksuban ritual membuang sial itu ialah orang yang mendakwa diri sebagai bomoh, baik secara individu atau usaha berkumpulan yang menjadi perantara.

Berulang kali juga, media mendedahkan kesan dan akibat daripada penipuan dengan modus operandi sebegini. Antara lain, wang ringgit, harta serta kehormatan diri menjadi taruhan.


Realitinya, tiada sial yang dibuang, sebaliknya bala pula yang datang.


Upacara membuang sial


Di seluruh dunia, kepercayaan karut sekadar memberi harapan palsu kepada pengikutnya. Kesan keaiban dan kerugian sememangnya tidak mengenal bangsa, agama, status sosial atau kedudukan geografi si mangsa. Malah, di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam, masih terdapat segelintir yang masih mengamalkan amalan tertentu untuk membuang sial.


Seperti upacara berandam, misalnya, mak andam tradisional akan mencukur bahagian-bahagian tertentu tubuh pengantin perempuan, sama ada daripada sebahagian alis, pada lengan dan bahagian muka.


Bulu, kening atau rambut yang dicukur itu tidak boleh dilangkah atau diambil orang jika pelakunya tidak mahu ditimpa kesengsaraan. Seterusnya, ia akan dibuang di sungai atau laut dan disusuli pula dengan upacara menggunakan asap kemenyan dan jampi mentera kononnya untuk melindungi diri si pengantin.


Bagi bayi yang baru lahir pula, sesetengah bidan yang mengamalkan kepercayaan tertentu akan memberi tangkal yang digantung pada leher, pergelangan tangan ataupun kaki bertujuan mengelakkan diri daripada sebarang keburukan yang dipanggil sial, malang atau kecelakaan.


Itu belum lagi mendalami amalan menggolek-golekkan telur pada tubuh ketika mandi, dan kemudiannya direbus dan dimakan bagi melenyapkan unsur tidak baik daripada kekal dalam tubuh.


Berfikiran lebih realistik


Mengulas isu 'membuang sial', penceramah agama, Datuk Dr. Amran Kasimin memberitahu, tubuh manusia tidak mempunyai sial sama ada pada muka, kuku, tangan ataupun mana-mana anggota tubuh yang lain.


"Tidak terdapat dari mana-mana sumber, sama ada daripada ayat al-Quran ataupun hadis, yang membicarakan kewujudan sial pada tubuh manusia.


"Realitinya semua ini wujud kerana pengaruh animisme yang wujud sebelum kedatangan Islam. Pengaruh ini semakin melebar dengan kedatangan aliran agama tertentu ke Nusantara. Ironinya, kepercayaan itu menjadi ikutan sebahagian orang Melayu walaupun mereka telah memeluk Islam," katanya.


Beliau menambah, seorang Muslim seharusnya benar-benar beriman kepada Allah serta percaya kepada qada dan qadar-Nya.


"Mereka tidak seharusnya mempercayai bahawa sesuatu benda itu (zat atau sifat) boleh mendatangkan kebaikan atau keburukan. Kepercayaan yang boleh menafikan kesempurnaan tauhid seperti itu adalah warisan jahiliah yang sudah dihapuskan oleh Islam," ujarnya.


Katanya lagi, amalan khurafat akan melahirkan budaya malas berusaha, minda menjadi jumud dan mudah berputus asa.


Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Malaya, Prof. Dr. Mahmood Zuhdi pula berpendapat telah tiba masa masyarakat, terutama kaum Melayu, untuk berfikiran lebih realistik.


"Memang sukar untuk mengikis pengaruh sebegini, namun ia perlu dilakukan kerana umat Islam tidak boleh mencampur aduk antara budaya dan agama.


"Ia boleh menyebabkan mereka mudah hanyut. Lebih membimbangkan, akidah mereka turut tergelincir," katanya.


Kosmo!

7 Jun 2009




0 comments: