INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Pocong dua kampung

Tuesday, June 23, 2009

 


Oleh Azeli Ali

Gempar nampak lembaga putih sampai demam


Lima bulan selepas kisah keluarga 'pocong' ditemui dan dibakar di Kota Tinggi, Johor, giliran penduduk dua buah kampung di Bayan Lepas, Pulau Pinang pula kecoh ekoran kemunculan lembaga yang sama.

Di Kampung Masjid, Teluk Kumbar, lembaga itu dilihat dekat perdu pokok buluh manakala ada saksi di Kampung Baru Sungai Ara pula ternampak pocong dekat pokok pisang.

Kemunculannya bukan sahaja menjejaskan kehidupan penduduk setempat tetapi juga menyebabkan beberapa orang saksi demam ketakutan.


BAYAN LEPAS - Dalam keadaan semakin ramai warga Lembah Klang bimbang dan demam kerana wabak influenza A (H1N1), situasi yang sama dialami penduduk dua buah kampung di sini, bezanya mereka bukan takut virus selsema babi itu tetapi lembaga putih yang didakwa pocong.

Beberapa penduduk mendakwa pocong itu mula dilihat di Kampung Masjid di Teluk Kumbar, di sini dan Kampung Baru Sungai Ara yang terletak kira-kira 15 kilometer dari situ sejak bulan lalu.

Kisah pocong itu tersebar cepat dan meluas sehingga orang ramai mula fobia untuk keluar malam, baik di kalangan pekerja yang tamat syif di kilang-kilang berdekatan mahupun remaja bermotosikal yang dulu selalu berkonvoi ke pekan Bayan Lepas.

Di Kampung Masjid, pocong itu didakwa pertama kali muncul bulan lalu tidak jauh dari kawasan kubur kira-kira pukul 3 pagi.

Ia disusuli dengan cerita penduduk lain yang turut ternampak lembaga yang sama di sekitar kawasan itu pada lewat malam dan awal pagi.

Antara yang mendakwa ternampak lembaga itu dekat perdu buluh di kampung tersebut pada kira-kira 1 pagi, 28 Mei lalu ialah Azril Idris, 25.

Pada waktu itu Azril berehat bersama rakannya, Syed Fadzil Syed Mohidin sebelum dikejutkan dengan kemunculan seorang wanita menjerit-jerit mengatakan terserempak lembaga dekat rumahnya.

"Saya bersama Fadzil menaiki motosikal ke arah tempat itu dan kami nampak pocong di perdu pokok buluh.

"Ia macam bayangan lembaga putih yang memandang kami tetapi apabila disuluh dengan lampu motosikal, ia hilang," dakwanya.

Sejam kemudian, Azril bersama dua lagi rakannya kembali semula ke tempat itu dan apa yang mengejutkan mereka ialah pocong tersebut sekali lagi kelihatan.

"Kami terhidu bau kemenyan yang kuat sampai kami bertiga demam esoknya," kata Azril.

Syed Fadzil, 25, pula tidak yakin ada orang sanggup bergurau sampai ke tahap itu.

"Tidak ada orang berani duduk di perdu buluh itu pada pukul 2 pagi semata-mata mahu menakutkan orang," jelasnya.

Sementara itu, Azli Bahari, 37, berkata, perisitiwa itu bukan sahaja menakutkan kanak-kanak malah orang dewasa.

Tinjauan Kosmo! ke kampung tersebut semalam mendapati walaupun bayangan pocong tidak kelihatan, perasaan takut di kalangan penduduk tetap wujud.

Jika pocong di kampung itu dilihat di perdu buluh, satu lembaga yang seakan-akan sama pula dilihat dekat pokok pisang di Kampung Baru Sungai Ara.

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Sal, 42, berkata, anaknya pernah melihat lembaga tersebut di depan rumah mereka akhir bulan lalu.

"Sebelum ini anak saya tak pernah cerita jumpa pocong, tapi apabila kisah itu sudah heboh, baru dia buka mulut.

"Dia ternampak lembaga itu di celah pokok pisang sewaktu mahu pergi kerja kira-kira pukul 5.30 pagi," katanya ketika ditemui semalam.

Tambah Sal, anaknya terus menjerit dan berlari masuk semula ke dalam rumah tanpa menceritakannya kepada sesiapa.

"Kalau dulu jalan di depan rumah saya selalu bingit dengan remaja bermotosikal sehingga awal pagi tetapi sekarang makin sunyi pula," katanya.

Bagi peniaga yang dikenali sebagai Mami, 50-an, dia mula seram sejuk dengan kisah itu walaupun belum pernah melihatnya.

"Saya bimbang juga sebab tempat lembaga itu dilihat cuma 50 meter dari rumah saya," ujarnya.

Sebelum ini kisah lima pocong mengejutkan penduduk Kampung Tembioh, Kota Tinggi pada akhir Januari lalu.

Kesemua pocong itu bagaimanapun dibuka 'kain kafannya' sebelum dibakar pada 6 Februari lalu di bawah penyeliaan kakitangan Pejabat Agama Daerah Kota Tinggi.


KUALA LUMPUR - Kewujudan hantu pocong di kalangan masyarakat Melayu kononnya dikaitkan dengan wanita yang meninggal dunia selepas melahirkan anak.

Menurut penulis buku 99 Jelmaan Makhluk Halus, Abdullah Syed Hussien Alattas, lembaga itu mempunyai gelaran lain seperti hantu bungkus, kocong, punjut dan bunjut kerana ia dibaluti dengan kain kafan.

"Ada pihak yakin dalam lilitan kain kafan ini adalah kosong tanpa jasad atau wajah," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam sebagai mengulas dakwaan penduduk dua buah kampung di Pulau Pinang kononnya diganggu hantu pocong sejak bulan lalu.

Abdullah yang juga Ketua Kumpulan Paranormal Scene Investigation menjelaskan, pocong dikatakan suka termenung, memerhatikan bulan mengambang dan muncul di tengah jalan.

"Menurut kepercayaan orang Melayu, hantu ini boleh meloncat-loncat sampai jarak sejauh 100 meter dan mengeluarkan bunyi seperti dentuman jika singgah di rumah penduduk," ujarnya.

Jelas Abdullah, terdapat dua kaedah untuk menghindarkan diri daripada hantu ini iaitu menanggalkan kain kafannya atau lari dalam keadaan bersilang.

"Ada juga yang mengatakan hantu ini muncul kerana mahu ikatan kain kafannya dibuka.

"Kebiasaannya kain kafan jenazah dibuka sebelum dikebumikan tetapi mungkin lembaga ini tidak dibuka kain kafannya itu," jelas beliau.


INFO HANTU POCONG

  • Dikenali sebagai hantu punjut, hantu bungkus, hantu bunjut atau hantu kocong.
  • Makhluk berbentuk seperti mayat yang dibungkus dengan kain kafan.
  • Kewujudannya dikatakan berasal daripada seorang perempuan yang mati semasa melahirkan anak sulung.
  • Makhluk jelmaan jin yang suka mengganggu manusia.
  • Bergerak dengan meloncat dan sering mengekori kenderaan untuk mengusik manusia.
  • Suka memerhatikan bulan mengambang.
  • Mereka yang berjaya menangkap hantu pocong dikatakan mampu mendapat kekayaan kerana banyak harta dalam bungkusan tersebut.
  • Mangsa usikan perlu berlari bersilang-silang dan melucutkan pakaian untuk mengelakkan diri daripada diganggu.

Sumber: Buku 99 Jelmaan Makhluk Halus

Kosmo!

24 Jun 2009

0 comments: