INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

‘Jenazah’ misteri

Tuesday, June 16, 2009

 

Oleh ZULIATY ZULKIFFLI

JITRA: Penduduk Kampung Banai, Mukim Pelubang, dekat sini, gempar dengan penemuan anak patung bersama cebisan daging yang dikafan menyerupai ‘jenazah’ seorang bayi di Tanah Perkuburan Islam kampung itu, kelmarin.

‘Jenazah’ itu ditemui seorang penduduk kampung yang kebetulan pergi ke tanah perkuburan itu untuk menziarahi kubur bapanya dan terkejut sejurus melihat kelibat kain putih yang dibungkus seperti jenazah berhampiran kawasan berkenaan, kira-kira jam 6 petang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Persekutuan (JKKP) Kampung Banai, Mansor Din, 53, berkata anak patung menyerupai jenazah yang dibungkus dan diikat itu, dipercayai ditanam dalam lubang sedalam 0.4 meter dan berbau busuk.

Menurutnya, sebaik dimaklumkan penduduk mengenai penemuan itu, dia bergegas ke tanah perkuburan terbabit dan mendapati anak patung itu turut mempunyai kesan diheret haiwan, dipercayai anjing yang mahu memakan daging yang terlekat pada badannya.

Mansor ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, dia tidak berani membuka bungkusan itu kerana bimbang ia mungkin mayat bayi yang mati ketika dilahirkan dan ditanam di kawasan itu untuk mengelak dikesan orang ramai.

“Namun, yang mencurigakan, sepanjang minggu ini saya tidak mendengar berita kematian bayi di kawasan ini dan saya syak mungkin ada individu tertentu mengebumikan mayat bayi di sini tanpa pengetahuan sesiapa,” katanya yang terus menghubungi polis bagi memaklumkan penemuan itu.

Menurutnya, apabila polis memaklumkan ia hanya anak patung, dia bersama penduduk lain berasa seram kerana tidak tahu apa motif sebenar individu terbabit berbuat demikian, selain bimbang mungkin mereka ada niat jahat untuk melakukan pemujaan atau sebaliknya.

Penemuan pelik itu menarik perhatian penduduk, menyebabkan kawasan perkuburan itu menjadi tumpuan ramai sehingga jam 10 malam kelmarin.

Mansor berkata, sebelum itu ada penduduk mendakwa melihat dua lelaki menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di sekitar tanah perkuburan berkenaan, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.

Katanya, kelibat lelaki terbabit mencurigakan kerana ketika itu tiada urusan pengebumian dilakukan, malah penduduk kampung biasanya menziarahi kubur ahli keluarga mereka pada waktu pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu tetapi belum menerima laporan mengenai daging yang ditemui pada badan anak patung itu.

Polis juga tidak menolak kemungkinan anak patung mengandungi cebisan daging itu digunakan untuk tujuan pemujaan.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan menunggu hasil laporan siasatan mengenai cebisan daging itu,” katanya.

Harian Metro

14 Jun 2009

0 comments: