Oleh KAMARUDIN HAMZAH
BESUT - Para peneroka di Felda Tenang dekat sini tidak dapat tidur lena sejak 2007 bukan disebabkan turun naiknya harga komoditi kelapa sawit tetapi ancaman dari hutan yang bersempadan dengan ladang mereka.
Apabila menjelang waktu malam, gerombolan anjing hutan mula bergerak memasuki ladang itu dengan sasarannya ialah ternakan lembu milik peneroka.
Peneroka ada sebab untuk bimbang memandangkan pada 2007 sahaja, sebanyak 100 ekor lembu mereka telah dibaham oleh anjing hutan, diikuti dengan 80 ekor tahun lalu manakala dalam tempoh empat bulan tahun ini, ternakan yang dilaporkan mati diserang ialah 50 ekor.
Tidak cukup dengan itu, ada laporan kononnya haiwan tersebut keluar berkeliaran waktu siang untuk mengejar peneroka yang masuk ke dalam ladang untuk memungut buah kelapa sawit.
Setakat ini tidak diketahui jumlah anjing hutan di kawasan tersebut tetapi ada penduduk yakin ia mencecah 100 ekor dengan kumpulan itu memburu pada waktu malam sehingga subuh.
Seorang peneroka, Zakaria Mat Noor, 43, mendakwa kerugian kira-kira RM8,000 selepas 15 ekor lembu peliharaannya dibaham anjing hutan sejak awal tahun ini.
Berdasarkan pemerhatiannya, haiwan itu menyerang lembu secara berkumpulan dengan begitu ganas sehingga badan ternakan itu 'koyak-rabak' dimamah.
"Selepas menyerang lembu, anjing-anjing itu akan memakannya.
"Biasanya kami hanya sedar ada serangan bila terjumpa bangkai lembu di ladang kelapa sawit," katanya di sini semalam.
Menurutnya, masalah itu telah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) namun sehingga kini tiada langkah susulan diambil.
Kosmo!
5 Mei 2009
Oleh MANIRAH OTHMAN
dan KAMARUDIN HAMZAH
BESUT - Mungkinkah anjing hutan yang membaham ternakan lembu di Felda Tenang di sini mahu 'membalas dendam'?
Tanggapan itu mungkin pelik bunyinya, namun serangan haiwan tersebut agak luar biasa kerana ia hanya menyerang ternakan milik peneroka tanah rancangan itu dan tidak mengganggu ternakan di beberapa kampung berhampiran.
Corak serangan anjing hutan itu juga agak aneh kerana ia cuma memakan hati dan limpa lembu ternakan penduduk di situ tetapi tidak membaham dagingnya.
Kosmo! difahamkan, ketika kawasan Felda tersebut dibuka kira-kira 40 tahun lalu, peneroka di tanah rancangan itu didakwa pernah menggunakan khidmat anjing untuk melindungi tanaman dan tempat tinggal mereka daripada ancaman binatang buas.
Bagaimanapun, selepas beberapa lama, anjing tersebut dikatakan dibuang oleh peneroka di situ dan haiwan itu terpaksa mencari makanan sendiri di sekitar hutan berhampiran.
Cerita ini diakui oleh Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Faizoull Ahmad yang menyifatkan sudah menjadi kebiasaan para peneroka di kawasan itu memelihara anjing ketika mula-mula membuka tanah di situ.
"Anjing digunakan untuk menjaga tanaman mereka daripada ancaman binatang liar lain. Apabila sudah tidak diperlukan, tuan punya anjing membuang haiwan itu tanpa dijaga.
"Boleh jadi selepas beberapa tahun, apabila haiwan itu membentuk satu kumpulan ia kembali menyerang binatang ternakan penduduk untuk terus hidup,'' katanya kepada Kosmo! semalam.
Gerombolan haiwan tersebut dikatakan keluar menjelang malam dan memasuki ladang untuk menyerang lembu milik penduduk dan ada dakwaan kumpulan itu turut keluar pada waktu siang membahayakan nyawa peneroka.
Info Anjing Hutan.
> Nama Inggeris: Asiatic Wild Dog, Red Dog atau Dhole.
> Nama saintifik: Cuan Alpinus
> Ciri-ciri: Bahagian atas berwarna merah berkarat dan coklat kemerahan, ekornya berbulu lebat dan berwarna gelap.
> Taburan: Spesies ini boleh dijumpai di hutan-hutan tebal di Rusia, Asia Tengah, China, Korea, India, Indonesia dan Semenanjung Malaysia.
> Saiz: Tinggi antara 43-55 sentimeter manakala panjang lebih satu meter.
> Tabiat: Suka memburu secara berkumpulan dan menjadikan binatang besar serta ternakan sebagai mangsa. Spesies anjing ini di India didakwa cukup ganas untuk menyerang harimau.
Spesies ini dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76).
Kosmo!
6 Mei 2009
0 comments:
Post a Comment