INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Ilmu halimunan karut

Tuesday, May 13, 2014

David Copperfield

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Filem Hollywood, Hollow Man yang disiarkan pada tahun 2000 berkisar mengenai individu yang boleh menghilangkan diri.

Walaupun sudah lebih satu dekad tetapi jalan cerita itu filem itu masih segar dalam ingatan terutama bagi peminat karya bercorak sains fiksyen.

Hollow Man yang mendapat sentuhan pengarah Paul Verhoeven dilakonkan oleh Kevin Bacon, Elisabeth Shue dan Josh Brolin.

Filem itu berkisar seorang saintis, Sebastian Caine (Kevin Bacon) yang berjaya menghasilkan serum yang membolehkan manusia atau haiwan bertukar menjadi halimunan.

Namun, apa kesudahan filem ini anda perlu menontonnya kembali.

Dalam kalangan pengamal ilmu hitam, ilmu ghaib didakwa hanya boleh diperoleh setelah melalui proses membaca mantera dan bertapa namun ahli silap mata David Copperfield mendakwa manusia ghaib hanyalah satu ilusi.

Dalam dunia Melayu, terdapat beberapa ilmu persilatan yang mendakwa mereka boleh 'ghaib' daripada pandangan manusia terutama musuh dengan membaca ayat tertentu.

Namun, tiada rekod berbentuk foto atau rakaman video mengesahkannya.

Penceramah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah tidak menolak segelintir pengamal ilmu persilatan dahulu menggunakan bantuan jin untuk hilang daripada pandangan manusia.

"Secara realitinya, tidak mungkin manusia boleh berbuat sedemikian kerana kelebihan yang terdapat kepada manusia terbatas.

"Sedangkan Rasulullah SAW cedera semasa berperang inikan pula manusia lain," katanya.

Mohd. Daud memberitahu, ahli silap mata turut mendapat bantuan jin untuk membuat persembahan menghilangkan objek, benda atau mereka sendiri.

"Penggunaan teknologi secara optimum juga penyebab utama sesuatu perkara pelik yang dilakukan seperti menghilangkan diri seakan-akan benar walaupun ia sekadar helah semata-mata.

"Cuma pesan saya, ilmu persilatan atau silap mata yang dipelajari perlu mengikut lunas yang betul sehingga tidak syirik kepada Allah SWT," tegas Mohd. Daud.

David mula mencipta nama sebagai ahli silap mata apabila berjaya menghilangkan Patung Liberty di Amerika Syarikat pada 1983.

David juga menghilangkan pesawat Orient, terbang di Grand Canyon serta berjalan menembusi Tembok Besar China.

Tetapi, kesemua itu dilakukan menggunakan teknologi moden serta efek yang canggih.


Kisah ghaib

Realitinya, terdapat beberapa kes membabitkan individu ghaib secara tiba-tiba yang direkodkan pengkaji paranormal, Donna Higbee.

Seorang lelaki bernama Peter yang menetap di Gloucestershire, Britain turut mencuri tumpuan masyarakat dunia setelah dia dilaporkan hilang pada 1978.

Semasa dia menghadiri satu pesta bersama rakan-rakan dan teman wanitanya, Peter pergi ke tandas untuk membuang air kecil.

Dia sampai terlebih dulu berbanding seorang wanita.

Setelah hajatnya selesai lelaki itu keluar dari tandas sebelum menemui kembali rakan dan teman wanitanya.

Malangnya, mereka semua mengabaikannya kerana tidak perasan akan kehadiran Peter.

Akhirnya Peter kembali ke tandas dan wanita yang bersamanya tadi terkejut kerana menyangka lelaki ini masih berada di dalam tandas.

Situasi sama dialami oleh rakan serta teman wanitanya yang tidak menyedari kehadirannya.

Mengulas perkara itu, Donna mengatakan, kejadian itu misteri dan berlaku secara kebetulan.


Kayu perabun

"Kebanyakan mereka yang mengalami peristiwa sebegini tidak menyedari keadaan tersebut. Mungkin ia sekadar halusinasi atau helah yang sekadar dibuat-buat.

"Faktor kedua, mereka mungkin terlupa apa yang terjadi atau aktiviti yang mereka lakukan sebelum ini," ujar Donna.

Berdasarkan catatan sejarah, dukun atau bomoh sejak ratusan tahun dahulu sudah mula mengamalkan ilmu 'Hilang Tubuh'.

Selain itu, terdapat juga aliran Rosicrusianism yang yakin manusia boleh menghilangkan diri dengan bantuan awan.

Sekali lagi, tiada bukti jelas berhubung peristiwa ini dan dianggap strategi pengamal ajaran sesat untuk menarik ahlinya.

Menurut seorang pengkaji paranormal pula, Abdul Rahim Hanipah, ilmu menghilangkan diri hanya berkesan dengan bantuan jin dan makhluk halus.

"Ilmu yang dipelajari seperti ilmu pagar hakikat yang membolehkan seseorang ghaib, dengan syarat pengamalnya perlu bertapa di hutan selama tujuh hari.

"Mereka juga perlu membaca mantera tertentu. Malangnya, amalan ini tidak berkesan," katanya.

Tambahnya, penggunaan 'tangkal' seperti kayu perabun diselangi bacaan mantera tertentu juga didakwa berkesan oleh sesetengah pihak.

"Saya sendiri tidak pernah mencubanya kerana untuk mendapatkan kayu itu juga sukar.

"Pada pendapat saya, lebih baik kita mempelajari ilmu moden sedia ada yang lebih bermanfaat berbanding ilmu pelik yang belum pasti keberkesanannya," terang Abdul Rahim.


Kosmo!

28 April 2013.

0 comments: