Oleh Faizal Nazaruddin
Perasaan cemas mencengkam hati penulis apabila nyaris terjatuh ke dalam sebuah lubang yang tidak kelihatan dasarnya.
Peristiwa itu terjadi semasa satu eksplorasi menjejaki peninggalan pelombong bijih timah di Gua Kelam 2, Padang Besar, Perlis baru-baru ini.
Pada masa itu, penulis cuba menyeberangi sebuah lubang besar dengan meniti dinding batu gua yang licin sebelum tergelincir.
Mujur penulis sempat mencapai dawai penyidai baju yang merentangi dinding gua berkenaan menyebabkan penulis tergantung sebelum mengatur langkah semula.
Gua Kelam atau 'Gua Gelap' merupakan bekas tapak perlombongan bijih timah di dalam gua antara yang terbesar di dunia.
Penerokaan gua berusia jutaan tahun ini antara lain bertujuan merungkai misteri dua buah piramid yang dibina oleh pekerja lombong suatu masa dahulu.
Monumen tersebut adalah penemuan terbaharu di kompleks gua berkenaan. Ia dijumpai oleh
Penguasa Perhutanan Perlis, Mohd. Noor Jamili Hayat beberapa tahun lalu berdasarkan cerita daripada bekas pelombong.
"Cuma baru-baru ini saya berjaya menemui piramid tersebut yang terletak di bahagian atas gua selepas beberapa kali melakukan eksplorasi seorang diri," ujar Noor Jamili.
Menurut beliau, piramid itu dibina menggunakan batu-bata dengan diameter kira-kira 5 meter dan 2 meter tinggi.
Bagaimanapun, jelasnya, sebab utama piramid terbabit dibina masih tidak diketahui dan terus menjadi misteri.
"Apa yang menjadi tanda tanya ialah kenapa setiap batu yang disusun itu berkilauan dan dipotong dengan rapi dalam bentuk empat segi. Ia berbeza daripada batu-batu lain yang ada di dalam gua itu," ujar Noor Jamili.
Tambahnya, beliau ada mendengar cerita piramid itu dijadikan tempat menyimpan mesin atau logam galian lain yang ditemui seperti emas selain menjadi kubur pelombong yang tidak sempat dibawa keluar.
Gelap
Perjalanan untuk sampai ke piramid itu bukan mudah kerana perlu berjalan kaki selama hampir tiga jam termasuk meredah sungai dengan meniti sebatang kayu di permukaan airnya.
Selain itu, peserta eksplorasi terpaksa membongkokkan badan ketika berjalan di laluan yang sempit bagi mengelakkan kepala terhantuk serta merangkak masuk ke dalam lubang gua yang berlumpur.
Dianggarkan lebih 80 orang pelombong bijih timah telah terkorban ketika melakukan perlombongan bahan mineral berkenaan antara tahun 1930-an sehingga penghujung 1970-an.
Seorang bekas pelombong,
Phung Fong Keow, 71, berkata, antara punca kematian pelombong terbabit ialah terjatuh dari tempat tinggi, ditimbus tanah, lemas akibat terperangkap dalam letupan dan macam-macam lagi.
Wanita itu menceritakan, kebiasaannya pekerja lombong akan berada di dalam gua selama sebulan. Mereka makan, minum dan tidur di dalam gua yang gelap itu dan beberapa hari sahaja dibenarkan keluar untuk bersama keluarga.
"Ini kerana sesetengah kawasan perlombongan terletak jauh ke dalam gua yang memerlukan masa perjalanan masuk dan keluar sehingga lima atau enam jam.
"Ini tidak termasuk kami terpaksa menempuh lubang bekas lombong, meniti kayu dan menyeberang sungai. Disebabkan kesukaran itu, banyak pekerja memutuskan untuk tinggal sahaja di dalam gua itu," ujarnya.
Jelasnya, pengalaman tinggal di dalam gua ada pahit manisnya seperti mempunyai kawan yang ramai namun perasaan takut dan sedih tidak dapat dihindari kerana mereka berada dalam persekitaran yang gelap dan terdedah kepada kemalangan.
Kehidupan manusia pelombong itu juga tidak ubah seperti kelawar yang menghuni gua yang gelap tanpa cahaya matahari.
"Kami menggunakan generator untuk menyalakan lampu namun bagi kawasan yang lebih jauh ke dalam, kami pakai karbaid," kata Fong Keow yang bekerja di dalam gua itu bersama suaminya.
Wanita pelombong melakukan tugas ringan seperti memasak dan mendulang bijih. Manakala kaum lelaki membuat kerja berat seperti mengangkat, mengetuk atau memecahkan batu dan membina landasan troli.
Upah
Pekerja lombong menerima upah sekitar RM1.70 sehari bagi lapan jam bekerja namun segala keperluan makanan dan minuman dibekalkan oleh majikan.
Sepanjang eksplorasi penulis baru-baru ini, beberapa barangan peninggalan pelombong boleh ditemui antaranya tempat memproses bijih timah, tuil kabel, laluan rel troli, tempat tidur dan tin milo.
Tulisan Cina juga banyak ditemui di dinding gua. Antara maksud tulisan yang ditulis pelombong itu ialah kerinduan kepada keluarga dan ingin keluar dari gua berkenaan.
Ada juga yang melakarkan kisah cinta yang tidak kesampaian antara pelombong lelaki dan perempuan.
Seorang bekas taukeh lombong,
Teoh Kkw Seng, 75, memberitahu, beliau mula mengusahakan lombong bijih timah di gua itu sekitar tahun 1965 dengan menguoah lebih 80 pekerja.
Menurutnya, kaedah perlombongan yang digunakan lazimnya dengan memecahkan pasir dan batu gua menggunakan penukul serta pencungkil sebelum didulang bagi mendapatkan bijih.
Selepas dikumpul, ia dibawa keluar menggunakan troli rel.
"Kami juga menggunakan pam air namun kemudahan tersebut tidak meluas kerana hanya kawasan berhampiran generator boleh memakainya," ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, aktiviti melombong berjalan sehingga penghujung tahun 1970-an sahaja apabila bijih timah semakin berkurangan.
Perlombongan bijih timah di Gua Kelam secara besar-besaran bermula sejak tahun 1930-an ketika zaman penjajahan British di negara ini.
Aktiviti tersebut dilakukan di Gua Kelam 2 yang terletak pada ketinggian 12 meter dari tanah.
Pelombong terlibat kebanyakkannya terdiri daripada suku kaum Hakka, TiaoChu dan Kwancho.
Selepas kemerdekaan, kerajaan negeri Perlis membenarkan syarikat tempatan melakukan perlombongan mereka sendiri membabitkan lebih 20 taukeh dan lebih 500 pekerja.
Eksplorasi penulis di Gua Kelam baru-baru ini bagaimanapun cuma meliputi satu per empat kawasan berkenaan. Pelancong yang ingin masuk sehingga ke penghujung gua itu memerlukan masa selama tujuh jam berjalan kaki.
-Kosmo!
13 Januari 2013
0 comments:
Post a Comment