INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Perawat Islam didampingi jin

Wednesday, March 20, 2013

 


RAMAI orang Melayu hari ini yang bijak memilih perawat seandainya mereka ingin mencuba kaedah perubatan alternatif.

Pusat rawatan Islam juga banyak dibuka bagi memenuhi kehendak masyarakat Muslim khususnya bagi mereka yang terkena gangguan jin dan syaitan.

Begitupun, ada juga individu yang berselindung di sebalik nama perawat Islam. Malah, ada sebahagiannya yang didakwa berdamping dengan jin atau didampingi makhluk halus itu.

Mungkin mudah untuk kita mengenal perawat yang berdamping dengan jin. Ia boleh dilihat melalui teknik rawatan yang diguna pakai seperti berjampi serapah serta memuja manusia atau keramat.

Namun, agak sukar untuk mengenali perawat Islam yang didampingi jin kerana adakalanya perawat itu sendiri tidak sedar mereka didampingi jin atau khadam berkenaan.

Mungkin bukan hasrat mereka untuk berdamping dengan jin, tetapi mereka telah terpedaya dengan tipu helah iblis.

Ukuran

Menjelaskan isu ini, pengasas Pusat Rawatan Islam Isnad Tadawi, Azizul Basri, 40, memberitahu, perawat Islam yang didampingi jin atau khadam boleh dinilai daripada beberapa aspek seperti ukuran kehebatan yang dimilikinya, sumber ilmu pengubatan yang diamalkan mahupun syarat yang dikenakan semasa berubat.

"Mungkin ramai yang tidak senang dengan apa yang dibincangkan ini, namun untuk mengelakkan lebih ramai yang tersasar kepercayaan akidahnya, eloklah jika saya menjelaskannya.

"Apa yang saya perkatakan ini berdasarkan pemerhatian dan analisis berasaskan ilmu yang dipelajari daripada guru-guru saya yang berlandaskan al-Quran dan hadis.

"Selain itu, ada juga maklumat yang diterima daripada pesakit apabila ada jin yang tersasul ketika berinteraksi dengan saya melalui mulut pesakit yang kerasukan," katanya.

Pesan Azizul, sebelum pergi mendapatkan rawatan, nilailah dahulu kehebatan yang didakwa perawat.

"Terdapat perawat yang dilihat memiliki kelebihan luar biasa, misalnya dia boleh mengetahui punca sakit sebelum sempat pesakit membuka cerita.

"Dialog biasanya, 'aku dah tahu tujuan kamu ke mari'. Selepas itu, dia akan bercerita tentang masalah pesakit walaupun ini kali pertama pesakit bertemu dengannya.

"Anehnya, semua maklumat yang diberi tepat malah perawat itu juga boleh tahu apa yang ada di rumah pesakit seperti pokok, perhiasan dan sebagainya.

"Ada juga perawat yang tahu masalah pesakit dengan hanya bertanyakan nama pesakit dan nama ibunya. Ada juga yang tengok gambar sahaja sudah tahu pesakit itu terkena saka, sihir, santau atau terlangkah rumah jin.

"Bukan itu sahaja, ada juga jenis perawat yang memberitahu pesakit dia perlu bersolat hajat untuk mendapat petunjuk tentang masalah pesakit. Saya tidak pasti bagaimanakah mereka ini mendapat petunjuk dalam solat?

"Bagaimana mereka boleh pasti apa yang didengar itu ilham yang benar atau bisikan syaitan semata-mata?

"Jika dalam solat perawat boleh mendengar bisikan tentang berapa ekor jin yang ada dalam badan pesakit, lengkap dengan jantinanya, bagaimana hendak diukur khusyuknya solat itu?

"Apa yang saya tahu, syaitan mampu mengganggu ketika manusia bersolat, malah Rasulullah juga pernah diganggu semasa baginda bersolat, inikan pula kita," ujar Azizul.

13 ekor jin

Menurut anak kelahiran Perak ini lagi, sebagai pesakit, pelanggan akan berpuas hati apabila bertemu perawat sebegini. Setidak-tidaknya mereka tahu punca sakit mereka, tidak kisahlah jika perawat tersebut memberitahu si pesakit mempunyai 13 ekor jin saka dan 41 ekor jin sihir di dalam badannya.

"Kebanyakan pesakit lebih suka pendekatan begini kerana mereka tahu apa yang mengganggu mereka. Hanya sebahagian kecil pesakit yang berfikir dan mempunyai sedikit ilmu tidak mahu mendapatkan rawatan daripada perawat sebegini," katanya.

Tambah Azizul, baru-baru ini dia dimaklumkan ada perawat yang merakam gambar pesakit menggunakan telefon bimbitnya. Apabila gambar itu ditunjukkan kepada pesakit, kelihatan jin-jin berada di sekeliling pesakit itu.

Mustahil

Bunyinya seperti hebat tetapi tidak masuk akal kerana jurugambar profesional sendiri mengakui mustahil untuk merakamkan potret makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar menggunakan telefon bimbit, melainkan kamera khas infra merah yang biasa digunakan pihak tentera sewaktu operasi pada malam hari.

Itu pun ia hanya boleh menghasilkan bayangan, bukan makhluk ghaib dalam bentuk yang sebenar.

Berdasarkan pengalamannya juga, Azizul mengenali seorang perawat wanita yang berinteraksi dengan keris.

"Keris itu bertindak memberi jawapan kepada setiap soalan yang diajukan perawat.

"Ini adalah contoh yang boleh menggambarkan bahawa perawat tersebut didampingi jin. Walaupun menggunakan ayat suci al-Quran, malah ada yang mengucap kalimah syahadah, tetapi niat mereka mungkin berbeza.

"Jangan terkejut jika saya beritahu, ada perawat yang menyuruh pesakit mengucap kalimah syahadah sedangkan dalam kalimah itu sudah diniatkan untuk menyeru jin.

"Apabila pesakit menyebut kalimah suci itu, jin yang diseru akan datang kepadanya. Tidak hairanlah jika ia boleh menjadi pemula saka dalam tubuh pesakit tersebut," jelas Azizul.

Lantaran khilaf yang terdapat dalam kalangan perawat Islam yang didampingi jin ini, pesakit atau waris perlu menyelidik latar belakang perawat, kaedah rawatan yang digunakan dan sumber ilmu pengubatannya.

"Jika pengamal itu mendakwa dia ialah perawat Islam yang mengamalkan kaedah rawatan Islam berlandaskan al-Quran dan sunah seperti rukyah syariah, perhatikan juga bacaan ayat al-Quran dan cara rawatannya.

"Jika dia menjaga batasan aurat, tidak meramal, menelek atau 'menengok-nengok' masalah yang dihadapi pesakit, tidak meletakkan syarat, tidak menjanjikan kesembuhan dan sebagainya, ia boleh dipertimbangkan," ujarnya.

Pesan Azizul kepada pesakit, janganlah mencari perawat dengan niat untuk mengetahui punca sakit, memadailah untuk mengetahui sama ada penyakit itu disebabkan masalah medikal atau gangguan jin.

"Tidak penting untuk tahu lebih daripada itu, kerana jin atau syaitan yang mengganggu itu semuanya konco-konco iblis.

"Tambahan pula apabila kita meminta perawat untuk 'menengok' masalah kita, ia tidak jauh bezanya daripada perbuatan menelek atau menengok yang bertujuan mendapatkan maklumat ghaib," katanya.

Kosmo!

28 Oktober 2012

0 comments: