INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Misteri kejadian histeria

Sunday, August 26, 2012

 


oleh MOHD. AWANG IDRIS

Seingkali kita tertanya-tanya, apakah sebenarnya histeria dan mengapa pula hanya terjadi kepada kaum wanita? Mengapa pula histeria terjadi kepada sekumpulan orang dan berjangkit daripada satu individu kepada individu lain.

Hakikat yang perlu diketahui, histeria juga boleh berlaku kepada kaum lelaki. Kajian-kajian awal mengenai histeria sebenarnya melibatkan kaum lelaki, khususnya tentera yang terlibat dengan Perang Dunia Pertama.

Kebanyakan tentera ini mengalami trauma dalam peperangan. Histeria juga tidak semestinya berlaku kepada banyak orang. Ia juga boleh berlaku kepada individu.

Walaupun terdapat banyak tanggapan berdasarkan disiplin ilmu masing-masing, ilmu psikologi cuba menerangkan hal ini dari perspektif yang lain. Ia tidak disebabkan oleh makhluk asing seperti dalam perspektif perubatan tradisional. Sebaliknya, ia dianggap sebagai perpindahan emosi manusia, atau dalam istilah bahasa Inggeris sebagai contagion effects. Emosi ini dikatakan boleh berpindah daripada satu individu kepada individu lain.

Pengaruh persekitaran

Proses contagion effects atau perpindahan emosi ini sering terjadi kepada kita semua. Misalnya, apabila kita menziarahi orang sakit di hospital, atau seseorang yang meninggal dunia, kita akan berasa sedih.

Kesedihan ini adakalanya bukanlah disebabkan melihat mangsa yang sakit atau orang yang mati tadi, tetapi kita bersedih kerana melihat orang di sekelilingnya juga bersedih. Inilah yang dikatakan perpindahan emosi.

Pada Julai 1518, di Strasbourg, Perancis, orang ramai tiba-tiba menari tanpa henti dan tanpa rehat selama sebulan. Ia bermula dengan seorang wanita sebelum merebak kepada 34 orang. Kemudian, jumlah itu bertambah kepada 400 orang. Beberapa orang telah mati kerana kepenatan dan sakit jantung. Sampai sekarang, punca histeria itu masih menjadi misteri.

Di India, pada tahun 2001 telah berlaku histeria yang besar. Ia melibatkan lebih 397 orang. Ia bermula di negeri Uttar Pradesh dan kemudian merebak hingga ke kawasan Delhi Timur. Mangsa melaporkan kononnya telah melihat 'monyet jelmaan'.

Berita sensasi itu mencetus ketakutan kepada orang ramai. Mereka yang tahu tentang berita itu dilaporkan terus diserang histeria dan ramai daripada mangsanya ialah lelaki.

Pada akhir tahun 1970-an pula, telah berlaku lebih 40 kali kes 'histeria' di sebuah kilang di Melaka. Semua mangsanya ialah pekerja wanita Melayu. Seperti dalam banyak kes, apabila seorang dirasuk histeria, ia merebnak kepada orang lain.

Punca histeria

Ada dua pandangan. Dalam kalangan pakar perubatan, puncanya disebabkan oleh sistem saraf. Sebab itu;ah, pada masa silam, pesakit histeria dikenakan kejutan elektrik atau disuntik dengan ubat tertentu.

Dalam kalangan ahli psikologi, mereka mengaitkan histeria dengan faktor psikologikal. Bagi tentera yang berperang misalnya, trauma perang itu dianggap puncanya.

Dalam kejadian di Melaka tersebut, ramai pesakit kemudiannya mengadu bahawa mereka mengalami tekanan kerja kerana layanan buruk majikan dan gaji yang rendah. Dalam kes di India itu pula, ia berlaku dalam kalangan mereka yang miskin, berpendapatan rendah dan hidup di kawasan padat penduduk.

Kajian-kajian yang dilakukan di Barat mendapati beberapa pesakit yang kerap diserang histeria ini bermula dengan alam anak-anak yang tidak membahagiakan, ibu bapa bercerai dan insiden tragis lain.

Dalam masyarakat kita pula, kita percaya remaja wanita yang haid lebih mudah diserang kerana makhluk halus suka dengan darah haid. Hakikatnya mungkin berbeza dari perspektif psikologi. Mereka yang haid mungkin berada dalam emosi yang tidak stabil, menyebabkan fikiran mereka lebih mudah terganggu.

Individu yang tertekan secara psikologinya lebih mudah dilanda halusinasi dengan melihat 'makhluk' yang menakutkan. Ketakutan yang melampau ini kemudiannya dipindahkan pula kepada orang lain.

Contagion effects ini berlaku kerana orang yang melihat pesakit histeria turut panik. Ia kemudiannya merebak kepada individu lain di sekitarnya. Biasanya terhadap rakan-rakan karib yang berkongsi pengalaman dan emosi dalam aktiviti seharian. Disebabkan semua orang menjerit ketakutan, ia telah menyebabkan orang yang berada di sekelilingnya turut kerasukan.

Kajian mendapati, gambaran yang menakutkan oleh pesakit tidak sama antara satu sama lain walaupun mereka semuanya mengalami kerasukan tersebut.

*Penulis ialah pensyarah psikologi di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya. Beliau memiliki kelulusan PhD dalam bidang psikologi dari University of South Australia. Beliau telah memulakan kerjaya di pelbagai organisasi swasta sebelum menceburkan diri dalam dunia akademik. Kajian beliau banyak tersiar di beberapa buah jurnal antarabangsa.

Kosmo!

4 Mei 2012

0 comments: