INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Sejadah berdiri

Thursday, October 22, 2009

 

ORANG RAMAI melihat sejadah berdiri di surau Sekolah Maahad Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.

TIGA sejadah berdiri di surau Tanah Liat, Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

TIGA helai sejadah berdiri di Surau Al-Rahmaniah ketika penduduk datang menunaikan solat Asar di Kampung Teluk Yan, Alor Setar semalam.

PENDUDUK melihat sejadah berdiri di dalam Madrasah Kampung Gual Pasung Hantu, Rantau Panjang semalam.


Di Alor Setar, tiga helai sejadah dilihat dalam keadaan bersembahyang berjemaah di ruang solat lelaki Surau Al-Rahmaniah, Kampung Telok Yan.

Kejadian itu disedari seorang kanak-kanak, Nur Zulaikha Rashid, 9, pada pukul 3.15 petang.

Imam surau, Mat Rotim Mat Hussain, 70, memberitahu, selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh penduduk, dia terus ke surau dan terkejut melihat sejadah berdiri.

Katanya, dia meninggalkan surau selepas solat Zuhur pada pukul 2 petang dan tiada perkara pelik berlaku ketika itu.

Nur Zulaikha pula memberitahu, dia ternampak sejadah berdiri melalui tingkap surau ketika melintasi surau untuk pergi mengaji al-Qur'an di rumah seorang penduduk.

"Saya terus beritahu kawan-kawan dan mereka juga berasa terkejut melihat sejadah berdiri," ceritanya lagi.

Sejadah tersebut kemudiannya diambil oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah pada pukul 4.30 petang bagi mengelak berlaku unsur khurafat.

Kosmo! kelmarin melaporkan warga Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut, Pasir Mas, Kelantan gempar apabila 35 helai sejadah di surau sekolah itu berada dalam keadaan berdiri.

Di Bukit Mertajam pula, empat helai sejadah didakwa berada dalam keadaan bersolat di Surau Tanah Liat, Kampung Tanah Liat.

Ia kejadian kedua selepas kali pertama berlaku di sebuah rumah di Taman Haji Mohamad Amin, Permatang Pauh bulan lalu.

Seorang saksi, Asni Ahmad, 49, memberitahu, kejadian itu disedari pada pukul 4.30 petang ketika dia bersama beberapa penduduk kampung masuk ke surau untuk menunaikan solat Asar.

Jelasnya, ketika pintu surau dibuka, mereka terkejut melihat empat helai sejadah berdiri berhampiran mimbar menghadap kiblat.

Tambahnya, mereka tidak mengusik sejadah itu sebaliknya terus menunaikan solat sebelum melaporkan kejadian itu kepada jawatankuasa surau.

"Biasanya sejadah dibiar terhampar untuk memudahkan makmum menunaikan solat dan apa yang anehnya, terdapat seutas tasbih di atas sejadah di hadapan sedangkan tasbih selalu disangkut di mimbar dan hanya akan diambil oleh imam ketika hendak solat," katanya.

Dia yang membuka gerai makan berhampiran surau menolak kemungkinan kejadian itu sengaja dilakukan pihak tertentu kerana mendakwa surau tersebut sentiasa berkunci dan hanya dibuka setiap kali masuk waktu solat.

Kesemua sejadah berkenaan dilipat pada pukul 6.20 petang oleh jawatankuasa surau.

Di Kota Bharu, kejadian kelmarin berlaku lagi di Madrasah Kampung Gual Pasung Hantu, Rantau Panjang dan tiga lagi tempat iaitu Maahad Ar-Rahmah Kenali di Kubang Kerian dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 2 serta Pejabat Yayasan Islam Kelantan (YIK) semalam.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi, penduduk Kampung Gual Pasung Hantu gempar apabila sembilan helai sejadah dilihat seperti orang sedang solat berjemaah dalam keadaan duduk antara dua sujud.

Kejadian tersebut disedari oleh seorang kanak-kanak, Mohd. Iqbal Ismail, 5, yang sedang bermain berhampiran surau itu.

Menurut ibunya, Habibah Abd. Kadir, 39, ketika itu anaknya berada di halaman rumah yang terletak berhampiran surau.

"Masa itu saya lihat Iqbal bermain-main di depan pintu surau dan tiba-tiba dia berlari pulang dalam keadaan ketakutan.

"Dia beritahu nampak sejadah berdiri dan saya terus bergegas ke surau untuk melihat sendiri sebelum beritahu jiran," katanya.

Sementara itu, di sekolah Maahad Ar-Rahmah Kenali, sebanyak 24 helai sejadah di tingkat atas surau ditemui dalam keadaan duduk antara dua sujud.

Pengetuanya, Tajudin Mamat berkata, ia ditemui oleh sekumpulan pelajar perempuan yang masuk ke surau itu untuk berehat selepas menduduki peperiksaan pada pukul 11.45 pagi.

"Saya bergegas ke surau selepas diberitahu dan terkejut melihat kedudukan sejadah seperti sekumpulan orang yang sedang bersembahyang diketuai seorang imam," ceritanya.

Dia menganggap kejadian tersebut sebagai tanda kebesaran Allah dan menasihatkan orang ramai tidak membuat tanggapan yang boleh merosakkan akidah.

Kosmo!

22 Oktober 2009

0 comments: