INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Geng pukau pindah operasi

Friday, July 3, 2009

 

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

KUALA LUMPUR: Menyedari kegiatan disiarkan akhbar ini, sekumpulan tiga pakar pukau didalangi seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang dikatakan mampu memukau mangsa dengan hanya menggunakan sekeping ‘kertas hikmat’ dikesan beralih arah ke pantai timur untuk menjalankan kegiatan sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, tindakan kumpulan itu menukar kawasan operasi bertujuan mengelakkan mereka diberkas pihak berkuasa.

Menurut sumber, kumpulan itu hanya akan tinggal di kawasan berkenaan selama dua bulan sebelum bertukar ke kawasan lain.

“Ini bagi mengelakkan mereka dikesan pihak berkuasa. Pelbagai taktik digunakan kumpulan itu untuk memerangkap mangsa termasuk menggunakan ilmu sihir.

“Dalam tempoh dua bulan berada di kawasan berkenaan, kumpulan itu dikatakan memukau hampir 10 mangsa terutama wanita sebelum menghilangkan diri,” katanya.

Dalam kes terbaru di Kemaman, Terengganu, kelmarin, seorang warga emas, Kamariah Embong, 56, mendakwa kerugian hampir RM10,000 apabila barang kemas miliknya disamun kumpulan terbabit ketika dalam perjalanan pulang dari pejabat pos.

“Ketika itu, saya cuba untuk mendapatkan basikal yang diletakkan di hadapan pejabat pos berkenaan. Bagaimanapun, saya disapa seorang lelaki berusia lingkungan 20-an sebelum mendakwa ingin bertanyakan jalan.

“Dia menunjukkan sekeping kertas menyebabkan saya seperti terpukau sebelum dibawa memasuki sebuah kereta. Seorang wanita yang bersiap sedia menunggu dalam kereta merampas barang kemas saya,” katanya ketika menghubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, wanita itu kemudian memasukkan sekeping kertas nombor ramalan ke dalam beg tangan mangsa sebelum meninggalkannya semula di tempat kejadian.

“Saya yang kebingungan hanya tersedar sebaik tiba di rumah. Saya kerugian RM10,000 apabila satu rantai leher dan gelang tangan saya dirampas mereka.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati supaya tidak turut menjadi mangsa kepada kelicikan dan kehebatan ilmu pukau kumpulan itu,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kemaman, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mengenai lakonan mantap sekumpulan tiga pakar pukau didalangi wanita berusia 20-an untuk memerangkap mangsa di sekitar pasar raya di ibu kota.

Kumpulan itu dikatakan berpakaian seperti orang alim lengkap memakai jubah bertujuan memudahkan mereka menghampiri individu yang bersendirian sebelum menunjukkan ‘kertas hikmat’ untuk memukau mangsa ketika berpura-pura bertanyakan jalan.

Mangsa akan dibawa menaiki kereta dan ketika dalam perjalanan seorang wanita dipercayai ketua kumpulan itu akan merampas semua barangan berharga milik mangsa sebelum ‘menghadiahkan’ sekeping kertas nombor ramalan sebagai tanda sagu hati.

Harian Metro

27 Jun 2009

0 comments: