INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Misteri Suraya

Wednesday, June 3, 2009

 

JIKA dilihat keadaan fizikalnya, sukar mempercayai bahawa Suraya Brown kini berusia 14 bulan. Sepatutnya, dalam keadaan itu berat badan Suraya sekurang-kurangnya 9 kilogram (kg), tetapi sebaliknya tubuh kecil yang hanya mampu terbaring itu mempunyai berat 3.2 kg.

Panjang tubuhnya pula cuma 48 sentimeter — tidak ubah seperti anak patung. Keadaan itu memang memeningkan kepala ibu Suraya, Atlanta Ruzman, 24, dan pakar perubatan yang menjalankan kajian terhadapnya.

Pelbagai usaha dilakukan terhadap Suraya, tetapi dia tetap enggan membesar.

Sejumlah pakar perubatan, termasuk pakar pemakanan, genetik dan hormon tetap buntu mencari punca mengapa Suraya kekal dengan bentuk fizikal seperti baru dilahirkan itu. Misteri — cuma itu yang mampu mereka katakan.

Sementara itu, Atlanta berkata, doktor tidak mampu memberi penjelasan mengenai masalah dihadapi anaknya.

“Mereka mendakwa mendapatkan pandangan daripada pakar di luar negara, tetapi sehingga kini mereka juga tiada jawapan,” katanya.

Ibu berasal dari Hayes, Middlesex itu berkata, disebabkan keadaannya, Suraya tidak mampu duduk, merangkak atau berjalan.

Malah, katanya, untuk makan pun terpaksa menggunakan tiub.

“Suraya terlalu kecil untuk bayi seusia dengannya. Dia tidak ubah seperti anak patung bernyawa, malah anak patung anak saya (kakak Suraya) jauh lebih besar berbanding dia,” katanya.

Ketika dilahirkan, berat badan Suraya adalah 1.18 kg dan doktor berpendapat, sembilan daripada 10 bayi mula membesar sebaik saja dilahirkan.

Dalam kes Suraya, tumbesarannya terbantut sepanjang lapan bulan pertama hayatnya dan cuma meningkat sedikit kemudian.

Justeru, pakar perubatan di pelbagai hospital di London menjalankan kajian terhadap Suraya bagi mengenal pasti punca pembantutannya.

Namun, sehingga kini tiada keputusan positif ditemui. Malah, memasukkan makanan melalui tiub terus ke perutnya juga gagal meningkatkan berat badan bayi berkenaan.

Keadaan Suraya berbeza sama sekali dengan kakaknya, Akilah yang kini berusia dua setengah tahun.

Menurut Atlanta, Akilah mula berjalan ketika berusia sembilan tahun. Tubuhnya juga membesar sesuai dengan usianya.

“Saya terpaksa sentiasa mendukung Suraya seperti bayi baru lahir,” katanya.

Yang memeningkan kepala, kata Atlanta, adalah masa depan Suraya.

“Kami berharap doktor berjaya menemui punca masalah pembantutan Suraya dan mencari penyelesaian supaya dia boleh hidup normal,” katanya.

Ketika ini Suraya ditempatkan di Hospital Great Ormond Street untuk menjalani ujian lanjut selama tiga bulan.

Doktor kini menyiasat untuk mengenal pasti sama ada tubuh Suraya bertindak balas terhadap hormon semula jadi dengan menolak untuk tumbesaran.

Perunding perubatan kanak-kanak, Dr Jide Menakaya, berkata kes Suraya sangat menarik untuk dijadikan kajian.

“Ia sangat luar biasa dan sepanjang perkhidmatan selama 17 tahun, saya tak pernah bertemu kes begini.

“Kami memberinya makan secara langsung melalui tiub, tetapi sangat mengejutkan apabila tubuhnya enggan membesar,” katanya.

Untuk sementara, kata Menakaya, pakar perubatan memikirkan teori untuk menjelaskan tumbesaran yang terbantut pada tubuh Suraya.

“Kami tetap perlu menjalankan kajian lebih lanjut,” katanya.

Harian Metro

0 comments: