INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Geng jubah pukau

Wednesday, June 24, 2009

 

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

KUALA LUMPUR: Dengan berlagak seperti orang baru di sesuatu kawasan, sekumpulan tiga pakar pukau didalangi seorang wanita berusia 20-an dikesan bergerak aktif di sekitar pasar raya di ibu kota untuk memerangkap mangsa sejak sebulan lalu.

Kumpulan itu menggunakan sekeping ‘kertas hikmat’ untuk memukau sesiapa saja sebelum merampas barang berharga.

Bagi memudahkan mereka mendekati mangsa terutama wanita, seorang daripada ahli kumpulan terbabit akan berpakaian seperti orang alim lengkap memakai jubah sambil memegang satu beg besar sebelum bertanya jalan.

Pendatang baru berlagak ‘rusa masuk pekan’ itu mencari mangsa selain kelibatnya dipantau dari jauh dua lagi ahli kumpulan yang bersiap sedia menunggu dalam kereta di kawasan berhampiran.

Sebaik menghampiri mangsa, lelaki terbabit akan menunjukkan ‘kertas hikmat’ menyebabkan seolah-olah individu malang itu patuh semua arahan.

Mangsa dibawa menaiki kereta bersiar-siar sebelum semua barang kemas termasuk wang tunainya dirampas.

Selepas menghantar mangsa ke tempat pertemuan terdahulu, kumpulan terbabit akan ‘menghadiahkan’ sekeping kertas mengandungi nombor ramalan sebagai tanda sagu hati.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 9 pagi di sebuah pasar raya di Setapak di sini kelmarin, seorang warga emas menjadi mangsa kelicikan dan kehebatan ilmu pukau kumpulan terbabit.

Dia yang hanya ingin dikenali sebagai Yam, 63, berkata ketika kejadian, dia berseorangan sebelum dihampiri seorang lelaki berusia 20-an yang memakai jubah bertanyakan jalan.

“Dia berpakaian seperti orang alim menyebabkan saya terpanggil untuk membantunya. Selepas itu, saya seperti dipukau apabila melihat kertas yang ditunjukkan lelaki terbabit.

“Saya seperti ‘orang bodoh’ dan dibawa menaiki sebuah kereta. Dalam kereta, saya melihat ada seorang perempuan dan seorang lelaki sebelum dibawa berpusing-pusing sekitar kawasan. Wanita terbabit mengambil barang kemas dan wang tunai saya satu persatu,” katanya.

Menurutnya, sebaik berhenti di sebuah kedai nombor ramalan, seorang daripada lelaki itu masuk ke premis berkenaan.

“Sebaik dia kembali, saya dihantar semula pasar raya berkenaan. Ketika hendak turun dari kereta itu, perempuan itu memasukkan sehelai kertas dalam beg tangan selain mengarahkan supaya tidak membukanya sehingga esok,” katanya.

Mangsa yang tersedar segera pergi ke rumah rakannya untuk mendapatkan pertolongan supaya membuka beg tangannya itu.

“Hasil pemeriksaan saya mendapati dua rantai leher, satu gelang tangan termasuk wang tunai RM300 lesap,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju di sini.

Dalam beg tangannya, suspek memasukkan sekeping kertas mengandungi nombor ramalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

“Orang ramai perlu berhati-hati walaupun niat mereka untuk membantu orang yang disangkakan berada dalam kesusahan.

“Ini kerana pelbagai taktik digunakan kumpulan penjenayah untuk memperdaya mangsa termasuk kumpulan yang menggunakan ilmu sihir,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro

25 Jun 2009

0 comments: