INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Faktor pencetus histeria

Tuesday, June 23, 2009

 

Oleh Muhd Izawan Baharin

BEBERAPA bulan lalu, media kerap melaporkan kejadian histeria yang menyerang puluhan pelajar sekolah sehingga mengundang pelbagai andaian terhadap apa yang berlaku.

Berdasarkan laporan akhbar, kejadian terbaru berlaku pada 3 Mei lalu di Kemaman, Terengganu, apabila sepuluh pemain bola jaring mewakili Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu menyertai Kejohanan Sukan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Terengganu 2009 diserang histeria selepas tamat perlawanan jam 6.30 petang.

Histeria paling banyak dilaporkan berlaku di sekolah malah jumlah mereka yang terbabit boleh mencecah puluhan orang sehingga mencetuskan suasana panik.

Apatah lagi, apabila mangsa bukan saja menangis, menjerit atau melolong, tetapi bertindak agresif menumbuk dan menendang orang di sekeliling yang cuba menolong.

Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, histeria bermaksud penyakit urat saraf yang terjadi apabila letusan emosi tidak dapat dikawal atau kegembiraan atau ketakutan tidak terkawal.

Ada juga yang menganggap ia disebabkan rasukan makhluk halus yang berang selepas tempat mereka diceroboh kerana dalam sesetengah kes, mangsa mendakwa melihat bayangan mengerikan sebelum hilang kawalan.

Tetapi tidak kurang juga yang melihat ia lebih kepada tekanan perasaan dan lemah semangat ketika saat penting seperti minggu terakhir sebelum menghadapi peperiksaan.

Namun apa jua andaian, pencetus kejadian histeria masih menjadi tanda tanya kerana ia seolah-olah boleh ‘berjangkit’ kepada orang lain, malah mangsa sendiri tidak jelas dengan punca ia berlaku.

Tanpa menafikan masalah berkaitan psikologi, pengamal perubatan Islam Pusat Rawatan Haikal Hayat di Gombak, Selangor, Mohammad Nuri Bahsan, berkata makhluk halus seperti jin dan syaitan mempunyai pengaruh sebagai pencetus histeria.

Beliau menegaskan kewujudan makhluk ghaib tidak boleh dinafikan kerana ia jelas disebut dalam al-Quran dan hadis.

“Histeria berlaku apabila seseorang itu lemah dari sudut iman dan fizikal menyebabkan dia mudah dipengaruhi makhluk halus, namun ada kalanya ia juga berpunca daripada tekanan perasaan menyebabkan mangsa mengalami halusinasi,” katanya.

Kadangkala, Mohammad Nuri berkata, histeria bukan disebabkan makhluk ghaib tetapi mangsa ‘selesa’ berkelakuan seperti dirasuk atas beberapa faktor.

“Saya pernah berpengalaman mengubati pesakit yang diserang histeria bertahun lamanya dan memang kami sudah menghalau ‘benda’ yang mengganggunya, namun pada masa tertentu dia masih seperti kerasukan.

“Saya pasti ia disebabkan masalah jiwa dan mungkin ia berlaku kerana pesakit itu rasa ‘selesa’ apabila dijaga baik keluarga apabila dia berada dalam keadaan sebegitu,” katanya.

Masuk tempat yang tidak diduduki manusia seperti hutan dan pesakit sudah ada gangguan seperti saka atau disihir turut menjadi penyebab histeria, tetapi tekanan perasaan dan lemah semangat juga antara sebab diserang.

Berbeza dari sudut psikiatri, histeria sebenarnya adalah gambaran keadaan minda seseorang menyebabkan dia hilang kawalan dan dimanifestasikan melalui kelakuan seperti menjerit-jerit, meracau, terlalu emosi dan pengsan.

Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Kanan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Hazlin Lockman, menjelaskan dari sudut sejarah perkataan histeria berasal dari bahasa Greek, 'hystericos'. Pada masa itu penyakit berkenaan dikatakan cuma berlaku kepada golongan wanita disebabkan bahagian rahim tidak berfungsi dengan betul.

“Pada masa itu pelbagai pendapat mengenai punca penyakit berkenaan yang kebanyakannya dipengaruhi ajaran dan fahaman kepercayaan karut serta mistik.

“Sehinggalah akhir abad ke-19, seorang pakar psikoanalisis, Sigmund Freud, melakukan banyak kajian ke atas wanita yang mengalami histeria dan memberi pandangannya dari segi saintifik iaitu ‘disassociation of consciousness’ bermaksud keadaan minda seseorang membuat dia tidak sedar persekitarannya.

“Sehingga kini, sesetengah psikoanalisis menggunakan cara rawatan histeria mengikut teori ini. Perkataan histeria di dalam diagnosis psikiatri sudah tidak digunakan lagi dan digantikan dengan perkataan seperti Conversion Disorder atau Somatization Disorder mengikut kategori diagnosis daripada American Psychiatrist Association,” katanya.

Beliau selanjutnya menjelaskan 'mass hysteria' atau histeria yang terjadi kepada sekumpulan orang berdekatan dengan mangsa berpunca daripada faktor psikososial seperti tekanan di kalangan pekerja baru berpindah dari satu tempat atau pelajar memulakan pengajian di tempat lain atau sebab lain yang mendatangkan tekanan kepada seseorang.

“Apabila seseorang itu mengalami tekanan, dia dengan sendirinya berkelakuan ganjil secara tiba-tiba dan apabila orang berdekatan mempercayai perkara ganjil ini, dengan tiba-tiba dia dengan sendirinya akan mengikut berkelakuan ganjil. Ini yang dikatakan ‘jangkitan histeria’ atau mass hysteria itu,” katanya.

Dr Hazlin berkata, selain faktor psikososial, histeria juga berpunca daripada kepercayaan karut dan mistik yang boleh mempengaruhi fikiran seseorang terutama apabila ia disensasikan media.

“Kepercayaan ini juga mempengaruhi pemikiran orang lain atau yang berdekatan dengan tempat itu sehingga menyebabkan lebih ramai lagi terkena ‘jangkitan histeria’ ini.

“Di Barat pada 1938, satu siaran radio mengenai cerita 'War of the Worlds' hasil karya HG Wells disiarkan untuk sambutan Halloween sehingga menjadi situasi panik atau histeria di kalangan pendengar yang betul-betul mempercayai wujudnya penjajahan makhluk asing ke atas dunia,” katanya.

Perkara itu juga menyebabkan 'mass hysteria' membabitkan ramai orang sehingga ada yang percaya bahawa mereka melihat sinaran dari langit dan bermacam-macam lagi perkara aneh.

Walaupun pihak penyiaran meminta maaf, tetapi nasi sudah menjadi bubur kerana orang ramai masih tidak boleh melupakan siaran itu.

Tetapi persoalan lain timbul, kenapa dalam kejadian histeria kebanyakan kes hanya membabitkan wanita?

Dr Hazlin menjelaskan secara teori dan mungkin mengikut ajaran agama, memang golongan wanita ada kelemahan seperti apa yang diketahui secara saintifik, wanita lebih emosional dan sesetengah penyakit mental cuma berlaku kepada mereka.

“Contohnya, post partum psychosis atau gila meroyan dan ini mungkin ada kaitan dengan hormon yang ada dalam tubuh wanita. Jika seseorang wanita menderita lebih lama, kemungkinan besar dia mempunyai masalah mental lebih dalam, tetapi tidak berapa ketara secara luarannya,” katanya.

Mengikut istilah kebanyakan pengamal perubatan tradisional, histeria dikatakan berpunca daripada gangguan makhluk ghaib, tetapi disanggah dari sudut saintifik yang lebih kepada fakta daripada mitos.

“Memang budaya kita atau mereka yang berasal dari rantau ini, perubatan tradisional adalah tempat pertama dituju untuk rawatan histeria, tetapi saya lebih cenderung kepada fakta malah saya berpendapat media memainkan peranan penting untuk memberi gambaran sebenar dan tidak mensensasikan cerita mistik atau kepercayaan orang,” kata Dr Hazlin.

Beliau seterusnya berkata, jika berlaku histeria, perkara utama ialah jangan jadikan ia satu cerita sensasi kerana akan mengiyakan perkara dikatakan karut atau mistik itu.

“Histeria tidak akan berjangkit jika tidak mempengaruhi fikiran seseorang. Mereka yang dikatakan terkena histeria cuma perlu berehat dan jika betul mengalami tekanan, kaunseling perlu diberikan.

“Sesetengahnya jika ada tanda penyakit mental seperti kemurungan, mereka perlu dirujuk kepada pakar psikiatri,” katanya.

Harian Metro

24 Jun 2009

0 comments: