Jam 1.50 Petang....
Pada hari isnin 9-3-2009 baru ini saya melalui jalan dari Kuala Lumpur ke Johor Baharu, setibanya di antara Tangkak dan susur keluar ke Pagoh KM 148, kereta yang saya pandu tiba-tiba hilang kawalan, berpusing dan berhenti selepas seketika berpusing di dalam longkang besar di tepi lebuhraya tersebut. Mungkin akan ada suara-suara nakal menyatakan saya memandu laju, memang sepatutnya termasuk ke dalam longkang tetapi semasa kejadian tersebut saya hanya memandu pada 100km/j sahaja.
Semasa itu yang bermain difikiran adakah berlaku mechanical failure? Adakah tayar pancit atau tayar tidak mencengkam jalanraya akibat lopak air dibahagian tertentu lebuhraya tersebut...
Alhamdulillah keluarga saya selamat, anak yang sedang bermain-main dibelakang...... dengan izin Allah side curtain terbuka dan menghalang muka anak saya dari terkena cermin tingkap.
Jam 2.30 petang
Seketika selepas mengambil gambar kereta saya dan setelah menghubungi polis serta PLUS sebuah kereta Peugeot berwarna perak dari lorong kiri didepan mata saya juga berpusing. Keadaannya seperti gerak perlahan sewaktu berpusing. Saya nampak dengan jelas kerana ketika itu saya duduk berhampiran dengan kereta, anggaran kelajuan kereta tersebut hanyalah pada 60-70km/j sahaja. Anggaran kerosakan hanyalah sekitar RM2000- RM3000 sahaja, roda kiri hadapan serta fender kiri sahaja. Adakah kebetulan mechanical failure atau kecuaian saya dan pemandu kereta kedua ini?
Jam 3.20 petang
Polis penyiasat trafik dari Balai Polis Tangkak tiba.
Ketika saya dan dua orang adik ipar saya berbual dengan pemilik kereta yang kedua, sebuah Honda City juga berpusing dan meluru ke arah kami yang sedang berbual di seberang longkang. Dalam keadaan kucar kacir tersebut kami cuba lari dari arah kereta yang datang dan dengan spontan terus melompat menyeberang longkang lebuhraya tersebut. Keadaan kereta Honda itu agak teruk dan nampaknya badan Honda ini agak ringan melayang terus menyeberangi longkang dan melanggar dua tiang kebun, berjaya dihentikan oleh pokok-pokok kecil seperti belukar diseberang longkang tersebut. Adik ipar saya cedera akibat terjatuh semasa melompat.
Jam 3.30 petang
Ketika kami membincangkan perkara-perkara yang perlu dilakukan selepas kejadian, tiba-tiba sebuah kereta Mercedes Benz S350 juga berpusing dan menghala juga ke arah kami. Nasib kami agak baik kerana kereta tersebut telah dihentikan oleh kereta Peugeot, jika tidak memang kami yang sedang berbual telah dilanggar oleh kereta Mercedes tersebut. Keadaan kereta Peugeot pula telah remuk belakang, tepi dan hadapan (total loss). Malang nasib pemandunya... asal rugi 2k-3k terus total loss.
Pegawai penyiasat trafik meminta pihak bomba yang tiba untuk melihat keadaan jalan serta kami diarahkan untuk berdiri jauh dari kawasan kejadian. Jawapan pihak bomba - jalan raya tidak mempunyai minyak dan pihak bomba terus beredar setelah melihat lokasi.
Persoalannya disini adakah betul diperkatakan bahawa jalan tersebut disabotaj oleh trak penunda yang cuba mencari keuntungan, atau kecuaian pihak PLUS yang tidak menyelenggara jalan dengan baik, atau benarkah dakwaan penduduk tangkak bahawa KM 131 - KM 168 mempunyai sesuatu yang aneh? Misteri? Penunggu?
Entahlah. Walau bagaimana pun nasihat saya berhati-hatilah dengan jalan tersebut.
Dipetik dari e-mail hasil tulisan asal oleh encik Ahmad Nizamzuri yang telah di'forward'kan kepada saya oleh encik Abdul Halim. Saya telah meng'edit' kembali artikel tersebut untuk disesuaikan dengan blog saya.
Buskers
10 years ago
0 comments:
Post a Comment