INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Meneroka alam roh

Sunday, April 12, 2009

 


Dibangunkan sejak 113 tahun lalu, Cassadaga menjadi lokasi percutian buat golongan yang percaya dengan Spiritualism. Apakah perkhidmatan yang ditawarkan di lokasi yang berjaya menarik golongan berpendidikan dan berpengaruh ini?

AROMA yang membuatkan bulu roma meremang dapat dihidu sebaik sahaja anda melalui ‘pintu gerbang’ yang bertulis, Selamat Datang Ke Kem Spiritual Cassadaga. Tidak terkecuali, bau hapak turut menggamit kedatangan anda.

Bau-bau itu datang dari rumah-rumah kecil yang tersusun di jalan-jalan sempit. Bahagian berandanya dihias dengan loceng pintu dan patung hiasan. Sementara kebanyakan rumah itu cat dindingnya sudah terkopek, lamannya juga tidak terjaga dan dipenuhi semak samun.

Atmosfera yang menakutkan ini dilihat sesuai. Golongan yang percaya dengan perkara-perkara spiritual (spiritualis) yang tinggal di sini memberitahu mereka mampu berhubung dengan si mati. Komunikasi sebegini sememangnya mempunyai fakta sains.

Papan tanda kedai buku yang terletak di kawasan kem seluas 57 ekar itu menyatakan bahawa 30 atau lebih perantara dan ‘bomoh’ telah diiktiraf secara semula jadi. Namun, tiada seorang pun yang sudi tampil untuk diuji kesahihannya oleh orang luar, walaupun ditawarkan dengan bayaran sebanyak RM3.5 juta.

Dibangunkan sejak 113 tahun lalu sebagai lokasi percutian buat golongan yang percaya dengan agama Spiritualism (pernah popular sebelum ini), Cassadaga dilihat berjaya menarik golongan berpendidikan dan berpengaruh yang sedia untuk tinggal di dalam khemah-khemah atau hotel, sebelum kotej-kotej ini dibina.

Biarpun hari-hari itu sudah lama berlalu, tetapi bas-bas yang penuh dengan pelancong tetap datang ke daerah bersejarah Amerika, terletak 35 batu utara Orlando demi mencari jawapan tentang kehidupan selepas mati.

“Pengunjung datang ke sini untuk bersemuka dengan kematian mereka sendiri,” kata Victor Vogenitz yang mendakwa dirinya sebagai penyembuh dan perantara fenomena fizikal. ”Kami dapat merasai gelombang daripada mereka yang mahu mencari jawapan.”

Cassadaga dilengkapi dengan hotel dan pejabat pos. Lokasi ini juga menawarkan lawatan ke tempat-tempat bersejarah dan ‘perkhidmatan penyembuhan’ kepada pelawat pada setiap minggu.

Salah satu bilik pemujaan utama terletak di Tugu Peringatan Colby. Ia merupakan gereja yang dikecualikan daripada cukai kerajaan dan diselia oleh lembaga pemegang amanah. Gereja ini turut mempunyai pejabat pentadbiran berdekatan.

Menurut Vogenitz, orang ramai tidak boleh sekadar datang dan mendakwa diri mereka sebagai perantara. Mereka mesti mendapatkan sijil, mengikuti silibus yang telah ditetapkan dan melakukan demonstrasi secara terbuka berkaitan kemampuan untuk berkomunikasi dengan orang yang telah mati.

Semua pengajian ini memakan masa antara empat hingga 10 tahun. Ia juga memberi maksud kehidupan yang sunyi, jelas beberapa spiritualis.

“Keluarga tidak tahu di mana saya tinggal. Mereka fikir saya pelik,” kata June Schmitt, seorang perantara berumur yang enggan mendedahkan usianya. Matanya digenangi air mata. “Tiada siapa yang datang berjumpa dengan saya. Kadangkala keadaan ini membuatkan saya marah.”
“Keluarga sering menganggap kami sebagai pelik. Orang yang tertarik dengan kami ialah mereka yang berfikiran terbuka,” kata isteri Vogenitz, Esther Seymour.

Vogenitz mengadakan sesi menilik dalam sebuah rumah berdinding simen halus berwarna krim dan berbumbung timah. Di pintunya tertera papan tanda bertulis, Saya percayakan hantu, satu dakwaan yang disertai dengan alasan kukuh.

Dia memberitahu, roh seorang budak perempuan bernama Sarah tinggal di sana, bermain dengan pengunjung wanita berambut perang. Vogenitz membelikan Sarah beberapa buah anak patung, tali lompat dan pen untuk dia bermain. Semua barang itu diletakkan di dalam bilik pemujaannya.

“Jika saya melangkah masuk ke dalam rumah, Sarah akan menghilang di sebalik dinding,” kata Vogenitz. Dia kemudiannya membezakan antara hantu dan roh. Hantu ialah hologram yang bersifat tiga dimensi, manakala roh pula terbentuk daripada tenaga dan terus hidup.

Apabila roh ada berhampiran, ia akan mengambil tenaga daripada semua yang ada di sekelilingnya termasuklah telefon bimbit, kamera malah udara.

Pemujaan merupakan kepakaran Vogenitz. Dia mengenakan bayaran sebanyak AS$45 (RM153) untuk menilik selama setengah jam dan bayaran sama setiap seorang bagi pemujaan selama dua jam.

Di dalam bangunan yang diterangi oleh lampu malap berwarna merah, Vogenitz memberitahu, dia dapat ‘berkomunikasi’ dengan roh yang terkena asid sebelum meninggal dunia.

Meja kayu berpusing ke arah salah seorang pengunjung dan Vogenitz menyatakan meja itu sedang ‘memeluknya’. Vogenitz akan berbicara dengan roh sekiranya ia ada di sana. Pengunjung itu memberitahu bapanya memang terkena asid dan meninggal dunia.

Selepas upacara pemujaan, lampu dinyalakan semula. Vogenitz cuba mengangkat dan menolak salah satu bucu meja, untuk membuktikan bahawa dia tidak mampu mengangkatnya.

“Merepek!,” kata James Randi, seorang ahli silap mata profesional. “Mereka sangat selesa untuk berada di sini, inilah satu-satunya jenis perniagaan di Cassadaga.”

Randi bagaimanapun tidak terkejut jika para pentara ini mempunyai ramai pelanggan yang berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. “Golongan yang memiliki kepercayaan dan naif bukan sahaja mahu sesuatu yang bersifat benar, malah ia mesti benar.”

Menurut Randi, terdapat 15 cara berbeza untuk menggerakkan meja sewaktu pemujaan. Mulakan dengan lampu merah yang membuatkan pandangan mata menjadi kabur. Meja itu boleh dimanipulasi dari siling atau lantai. Dalam kes-kes tertentu, meja dengan mudah ditolak oleh kaki perantara.

“Saya sudah melihat perkara ini di seluruh dunia, sama sahaja,” jelas Randi. Dia menyifatkan perantara ini tidak lebih daripada seorang penghibur. “Mereka tidak tahu menari atau mengimbang barang-barang. Jadi, mereka buat kerja ini.”

Randi adalah penjaga hadiah bernilai RM3.4 juta yang diperuntukkan kepada sesiapa yang boleh membuktikan kuasa supernatural. Sudah ramai yang mencuba nasib, tetapi hasilnya tetap negatif.

“Spiritualis tidak mahu diuji. Mereka kata ia adalah kerja Tuhan dan tidak sewajarnya diuji. Saya mahukan bukti,” kata Randi.

Vogenitz memberitahu syarat yang dikenakan oleh Randi terlalu ketat. Selain itu, Vogenitz memberitahu dia membuat semua ini bukan untuk wang, tetapi demi membantu orang lain.

“Dalam kepercayaan Spiritualism, kami percaya kami akan dipelihara,” kata Vogenitz. Akan sentiasa ada orang yang mempercayai dan sanggup untuk membayarnya.

Ada yang datang ke Festival Musim Luruh Cassadaga yang menyediakan khidmat menilik dan membaca aura.

Lauren Taylor, 13, dari Melbourne menyatakan perantaranya sangat mengagumkan. Wanita itu memberitahu Lauren akan pergi melancong. Kata Lauren, dia memang merancang untuk melancong pada bulan Jun depan.

“Dia tahu hobi saya,” kata pelajar sekolah menengah ini. “Dia juga tahu saya seorang yang romantik.”

Perantara Georgie Kern memberitahu Vidal Fonseca bahawa dia mempunyai masa depan yang cerah, tetapi mesti berusaha keras untuk mencapainya. Kern yang sudah berada di kem itu lebih 10 tahun juga menyatakan ibu Fonseca perlu mengambil vitamin atau makanan tambahan dalam dietnya.

“Tilikan itu agak tepat”, jelas Fonseca, 29, dari Orlando. “Emak saya tidak makan dengan betul.”
Michael Shermer, penerbit majalah Skeptic dan juga pengarah eksekutif Skeptics Society menyatakan bahawa ahli psikik dan spiritualis tidak mempunyai sebarang kuasa sebenar, walaupun ada segelintir yakin mereka memilikinya.

Sebaliknya, mereka mendapatkan pembayang dan jawapan daripada pelanggan. Ia diperoleh menerusi jawapan yang diterima daripada soalan-soalan umum. Shermer juga tidak hairan dengan mereka yang mampu bercakap dengan si mati.

“Sesiapa pun boleh bercakap dengan orang yang sudah mati. Untuk membuatkan si mati bercakap dengan kita, itu yang susah,” kata Shermer.

Oleh ORKIN EMMANUEL
The Associated Press
16 Januari 2008

0 comments: