INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Lesap RM200,000 sekali sentuh

Thursday, April 23, 2009

 

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

GOMBAK: Hanya dengan menyentuh tangan, sekumpulan penjenayah pakar pukau dapat menghilangkan ingatan seorang wanita warga emas untuk melarikan barang kemasnya berjumlah hampir RM200,000.

Sumber polis berkata, penjenayah yang bergerak secara berpasangan berkenaan menggunakan taktik sesat jalan sebelum bertanya mangsa dengan menyentuh tangannya.

Wanita warga emas berusia lewat 50-an itu dihampiri dua lelaki dan dua wanita tidak dikenali berhampiran Taman Daya Kepong, di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa berjalan kaki bersendirian untuk pulang ke rumah.

Menurut sumber itu, seorang daripada penjenayah terbabit berpura-pura sesat lalu bertanya arah jalan kepada mangsa.

Bagaimanapun, mangsa enggan melayan pertanyaan itu sebelum cuba meninggalkan suspek yang berusaha mendekatinya.

“Tidak berpuas hati dengan layanan mangsa, suspek berusaha sekali lagi bertanya tetapi sekali lagi tidak diendahkan.

“Penjenayah yang tidak berputus asa bertindak merentap sebelah tangan mangsa secara tiba-tiba menyebabkan mangsa terkejut sebelum tidak sedar apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian diarah pulang ke rumah dan mengambil semua wang dan barang kemas disimpan tanpa sebarang alasan.

Mangsa yang seolah-olah menjadi ‘zombie’ hanya akur dengan perintah penjenayah terbabit sebelum pulang ke rumah dan mengumpulkan semua barang kemas dan wang dimiliki.

Tidak cukup dengan itu, mangsa turut diarah pergi ke bank untuk mengeluarkan wang dan barang kemas yang disimpan sekian lama disimpan dalam peti simpanan deposit.

Selepas itu, mangsa menyerahkan semua wang tunai dan barang kemasnya itu kepada suspek.

“Mangsa hanya tersedar daripada dipukau beberapa minit kemudian dan mendapati semua wang tunai dan harta yang disimpan lesap. Dia membuat laporan di Balai Polis Gombak.

“Siasatan polis yakin keempat-empat suspek yang melakukan jenayah pukau berkenaan adalah warga asing. Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan individu tidak dikenali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi, berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang dipercayai pernah terbabit dengan beberapa kes penipuan lain.

Kejadian jenayah pukau dikatakan semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan seorang suri rumah mendakwa dipukau wanita tidak dikenali hingga menyebabkan mangsa hilang ingatan lalu menyerahkan semua barang berharga secara sukarela.

Dia yang berusia 30 tahun mendakwa ditenung dan ditegur dua wanita yang mendekatinya ketika dalam perjalanan mengambil anaknya pulang dari tadika di Vista Damansara.

Mangsa yang berdiri di kaki lima kedai tiba-tiba dihampiri dua wanita tidak dikenali yang menyapa dari belakang.

Seorang daripada wanita terbabit menegur mangsa sambil bertanya sama ada mengenalinya selain merenung mata mangsa.

Harian Metro

24 April 2009

0 comments: