Jerunai adalah tempat persemadian terakhir (kubur) golongan bangsawan atau ketua puak Melanau di Sarawak.
Kubur ini agak luar biasa kerana ia dalam keadaan tergantung.
Ia bertujuan menonjolkan lambang kekuasaan, takluk, kekayaan serta simbol sejarah masyarakat Melanau dulu kala.
Ritual pembinaan Jerunai ini dilakukan masyarakat Melanau sebelum kemasukan agama Islam dan Kristian di Sarawak.
Kini Jerunai menjadi bahan sejarah dan tarikan pelancong.
Jerunai diperbuat daripada kayu belian, sejenis pokok kayu keras dengan nama saintifik,
Eusideroxylon Zwaggen.
Kayu belian dipilih kerana ia tahan lama dan tidak mudah reput.
Ada kajian menunjukkan kayu belian menonjolkan garis pereputan hanya selepas 20 tahun dipacak pada permukaan garis tanah.
Kayu belian mampu bertahan selama lebih 100 tahun sekiranya dijaga rapi.
Jerunai terakhir dikesan didirikan lebih 175 tahun lalu sebelum kemasukan Gabenor Sarawak, James Brooke pada 1838.
Dipercayai, pembinaan jerunai memakan banyak korban dek pembinaannya mengambil masa kira-kira dua hingga tiga tahun bergantung kemudahan bekalan kayu belian dan wasiat si mati.
Dalam tempoh menyediakan Jerunai, hanya pengikut golongan bangsawan berbangsa Melanau dibenarkan melakukan proses ukiran lambang kemegahan si mati dan masyarakat Melanau seperti motif flora atau binatang seperti ular, tikus dan harimau.
Setiap Jerunai didirikan pada ketinggian antara 12 hingga 15 meter di kawasan diwasiatkan ahli keluarga mahupun golongan bangsawan itu sebelum meninggal dunia.
Jerunai dibahagikan kepada dua atau tiga bahagian merangkumi korban hamba abdi lelaki di bahagian bawah, diikuti bahagian tengah (tulang temulang dan harta benda) dan atas (hamba abdi perempuan).
Setiap pembinaan Jerunai wajib mengorbankan seorang hamba lelaki dan wanita bagi menemani kehidupan selepas mati golongan bangsawan berkenaan.
Hamba lelaki dikorbankan ketika mendirikan kayu belian kerana difahamkan, kayu belian sangat berat hingga memerlukan 'darah' bagi meringankan proses mendirikan.
Hamba abdi perempuan berusia antara 12 ke 13 tahun digantung bersama di puncak Jerunai bertujuan menemani dan melayani bangsawan itu sepanjang kehidupan akhirat mereka.
Pernah ada kejadian keluarga hamba abdi memberontak dan menyumpah ritual persembahan ini namun dikatakan berakhir dengan 'tulah' kematian atau wabak berlarutan.
Terdapat sejenis lagu ritual masyarakat Melanau yang dipercayai adalah rintihan dan sumpahan hamba abdi yang diikat bersama tulang temulang bangsawan terhadap penduduk yang tidak berdaya membantunya.
Ritual lagu berkenaan diperdengarkan kepada tetamu sebelum mendirikan 'kubur tergantung' atau Jerunai bagi mententeramkan roh si mati agar tidak mengganggu mereka yang hidup.
Berikut adalah senikata lagu tersebut yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu:
"Datang-datanglah dekat padaku,
Takkan kamu tak kasihani aku,
Aku amat haus dahaga.
Aku bukan hamba abdi kamu,
Angkatlah pengayuh mu tinggi-tinggi,
Agar percikan air dari pengayuh itu,
Dapatlah menghilang,
Sedikit dahagaku.
Ku sumpahkan agar sesiapa daripada kamu yang menyiksa aku,
Atas dosa yang tidak pernah aku lakukan,
Aku sumpahkan,
Tak seorang pun daripada kamu,
Anak-anak dan cucu-cicit kamu selamat!"
sumber: Artikel
Kubur tergantung: Jerunai semadi bangsawan Melanau oleh Nadia Hamid, BH, 23 Jun 2013
0 comments:
Post a Comment