INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Tubuh sentiasa dibungkus

Sunday, March 31, 2013

 

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

MALANG benar nasib gadis cilik, Isra Frank (gambar), 7, dari Stoke on Trent, sebuah bandar di Staffordshire, England yang akan berasa kesakitan luar biasa hanya kerana ciuman.

Isla memiliki alergi serius sehingga satu ciuman sahaja terasa seperti membunuhnya. Pernah terjadi pada suatu hari, ketika saudara perempuannya mencium Isla setelah habis minum susu, Isla berasa kulitnya seperti terbakar.

Keadaannya sangat parah sehingga dia dikejarkan ke hospital berdekatan. Bagi melindungi kulit Isla yang sangat sensitif, tubuh gadis mungil itu dibalut dengan kain kasa bermula di leher hingga ke kaki selama 24 jam sehari.

Dalam kehidupan seharian, pengawasan ketat dijalankan kedua-dua ibu bapanya. Mereka harus menyimpan pakaian Isla ke dalam peti sejuk kerana kulit Isla akan bertindak balas terhadap kutu dan debu yang terdapat pada almari pakaian.

Untuk makanan, dia juga memiliki almari khusus dan tindakan ini terpaksa dilakukan demi meminimumkan sentuhan dengan objek lain.

Ibunya, Katy memberitahu, anaknya itu didiagnosis mempunyai alergi teruk terhadap telur, susu, rumput, gandum dan debu sejak usianya enam bulan. Mulai saat itu, tubuh Isla harus dibungkus kain kasa untuk melindungi kulitnya.

"Kami tidak dapat melayannya seperti kanak-kanak lain. Bahkan perkara normal seperti pergi keluar makan malam bersama keluarga akan membahayakan dia," ujarnya kepada akhbar Dailymail.

Bengkak

Bertambah usia, alergi Isla semakin banyak. Semasa alerginya menyerang, kulitnya akan dipenuhi ruam-ruam besar, lehernya bengkak, dan Isla akan berasa marah sekali gus mengerang kesakitan.

"Bulan lalu, dia diserang alergi setelah duduk di sebelah rakannya yang memiliki kucing," ujar Katy.

Walaupun menjalani kehidupan sekolah seperti kanak-kanak lain, Isla kerap dihantar pulang kerana alerginya yang kerap menyerang. Dia juga tidak dibenarkan pergi ke pesta atau bermain di rumah rakannya apatah lagi untuk berada berdekatan dengan temannya.

Jika mereka tidak sengaja menyentuh Isla, ia pasti berakhir dengan kesakitan. Isla juga tidak boleh terlibat dalam aktiviti olahraga.

"Isla kadangkala marah kerana tidak bebas melakukan aktiviti seperti rakan-rakannya. Pernah dia bertanya kepada saya bagaimana rasanya aiskrim itu, dan pertanyaan itu amat menyedihkan," beritahu beliau.

Jelas Katy, dia terpaksa tidur bersama anaknya itu pada setiap malam kerana takut Isla akan membuka balutan kain kasa itu ketika tidur.

"Banyak perkara yang dilakukan kanak-kanak seusianya terpaksa ditinggalkan oleh Isla tetapi saya percaya dia seorang anak yang berani dan tidak akan membiarkan alerginya itu mengongkong pergerakan dirinya daripada menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak normal.

"Ia kedengaran agak pelik apabila terpaksa membiarkan anak kita membesar di dalam balutan kain kasa itu tetapi saya terpaksa demi menyelamatkannya," ujarnya.

Kosmo!

13 Januari 2012

0 comments: