INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Takut disedut tandas

Tuesday, March 26, 2013

 

Oleh NOOR SYAHIDATOOL AQMA MOHD. NOOR

Lelaki tandas di dalam filem Look Who's Talking Too

SEORANG wanita yang mengalami perasaan takut melampau terhadap tandas memberitahu, dia akan melarikan diri sebelum sempat tandas dipam kerana bimbang tubuhnya akan disedut masuk ke dalam lubang pembuangan najis itu.

Setiap kali Ney Decino, 20, perlu ke tandas untuk membuang air, dia akan merayu supaya salah seorang ahli keluarganya menemaninya. Mereka juga perlu mengepam tandas berkenaan selepas Ney menggunakannya.

Fobia melampau itu ternyata membataskan pergerakan Ney. Dia hanya boleh bekerja dekat dengan rumahnya supaya dia dapat menggunakan tandas yang dirasakannya selamat.

Ney takut menggunakan tandas sejak usia empat tahun selepas dia melihat watak mangkuk tandas bercakap dalam filem 1990-an bertajuk Look Who's Talking Too.

Watak Lelaki Tandas dalam filem tersebut menjerit mahukan air kencing kanak-kanak sambil memperlihatkan matanya yang besar, taring yang tajam dan suara yang menyeramkan jelas bermain dalam fikiran Ney.

Dia yang berasal dari Mid Glamorgan, England berkata, dia serta-merta mengalami fobia terhadap tandas. Ketika berumur 11 tahun, dia pernah terkencing di dalam seluar semasa pulang dari sekolah kerana terlalu lama menahan kencing disebabkan takut memasuki tandas sekolah.

"Saya sungguh malu. Tetapi walaupun perlu menahan kencing selama empat jam di sekolah, saya tidak akan menggunakan tandas selain daripada di rumah. Saya mahu ibu saya berada di dalam tandas supaya dia dapat mengepam untuk saya.

Pam

"Sebaik sahaja tandas dipam, bunyi dan pusaran air di dalam mangkuk tandas itu menyebabkan saya melarikan diri.

"Semakin lama di situ hati saya semakin cemas. Perasaan itu hanya akan hilang jika saya keluar dari situ.

"Saya cuma masuk ke tandas awam kalau benar-benar perlu," ujarnya yang menubuhkan kumpulan Facebook bagi membantu rakan-rakannya yang menghidap masalah fobia terhadap pelbagai perkara.

Menurut Ney, dia menggunakan sinki di dapur untuk membasuh tangan kerana tidak boleh berada lama di dalam tandas walaupun sekadar menggunakan sinki di situ.

Jika dia berkunjung ke rumah rakannya, Ney akan memastikan rakannya itu menemaninya di dalam tandas.

"Fobia ini memberi kesan kepada kehidupan sosial saya kerana rakan-rakan perlu menemani saya sepanjang masa," tambahnya.

Bagi ibu bapa Ney, Emma, 40, dan Vance, 47, mereka merakam filem Look Who's Talking Too untuk ditonton Ney kerana ia filem kegemaran Ney sebelum anak mereka itu mengalami fobia akibat terlalu kerap menonton filem itu.

"Dia menonton filem itu berulang kali walaupun takut terhadap salah satu watak di dalamnya," jelas ibu Emma.

Ney berkata, filem itu telah mencetuskan ketakutan yang sebenar. Sejak usia empat tahun hinggalah menginjak ke 13 tahun, dia tidak dapat mengepam tandas yang telah digunakannya melainkan jika ada seseorang menemaninya.

"Hanya keluarga, rakan baik dan bekas kekasih saya yang mengetahuinya. Mereka sudah mencuba pelbagai cara untuk saya mengatasi ketakutan ini, tetapi saya tidak dapat membuangnya.

"Selain daripada mereka, tiada siapa di sekolah yang tahu saya mempunyai masalah ini.

"Saya menjadi paranoid andai ada yang tahu mengenainya," tambah Ney yang juga mempunyai ketakutan terhadap air. Dia mengelak daripada mandi di kolam renang atau berjalan di tepi tasik.

Ney telah melahirkan anak perempuannya, Kaydee yang berumur sembilan bulan dan mengakui fasa kehamilan meningkatkan fobianya kerana perlu ke tandas dengan lebih kerap.

"Ibu dan ayah saya masih tidak boleh menerima ketakutan saya terhadap tandas. Dengan kelahiran Kaydee, ini bermakna akan sentiasa ada orang di sisi saya," tuturnya yang berharap kumpulan Facebooknya boleh membantu dia mengatasi masalah fobia itu.

Kosmo!

11 November 2012

0 comments: