INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Di sebalik tujuh syarat

Monday, March 18, 2013

 

Oleh MAHFUZ MOHAMAD

Puteri Gunung Ledang menurut gambaran pelukis, imej oleh byako0x di byako0x.deviantart.com

KISAH legenda Puteri Gunung Ledang pasti mengingatkan kita terhadap Sultan Mahmud Shah yang meminang puteri itu yang turut dikenali sebagai Gusti Putri Retno Dumillah.

Pelbagai versi bercerita mengenai asal usul dan siapa sebenarnya Puteri Gunung Ledang.

Versi cerita yang paling popular dan selalu diperkatakan mengenai asal-usul puteri itu adalah daripada Majapahit yang lari ke Gunung Ledang kerana dipaksa berkahwin dengan Putera Demak.

Menurut buku lama Sulalatus Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu, Sultan Ahmad mengutuskan Hang Tuah, Tun Mamat dan beberapa pegawai istana untuk meminang Puteri Gunung Ledang.

Pinangan itu bagaimanapun ditolak oleh Gusti Putri dengan menetapkan beberapa syarat yang mustahil. Antara permintaan Gusti Ratu ialah jambatan emas dan jambatan perak, tujuh dulang hati nyamuk, hati hama, satu tempayan air mata anak dara, satu tempayan air pinang muda dan semangkuk darah Sultan Ahmad.

Di sebalik penolakan itu dan tujuh syarat yang ditetapkan, terdapat pelbagai spekulasi yang dibuat mengenai sebab pinangan ditolak dan syarat yang dikenakan.

Seperti yang diceritakan dalam filem yang pernah diterbitkan pada 2004, penolakan tersebut adalah kerana cinta Puteri Gunung Ledang terhadap Laksamana Melaka, Hang Tuah. Versi lain yang disampaikan dari nenek moyang pula menyatakan Puteri Gunung Ledang telah bersuami.

Namun, persoalannya bukanlah sebab mengapa Puteri Gunung Ledang menolak pinangan tersebut tetapi syarat yang diberi kepada Sultan Mahmud.

Terdapat beberapa teori yang timbul dalam kisah ini antaranya syarat yang ditetapkan bukanlah dari Puteri Gunung Ledang sendiri tetapi ia adalah rekaan Tun Mamat dan Hang Tuah.

Antara tujuan syarat-syarat tersebut direka bertujuan untuk membersihkan kota Melaka yang sedang pesat membangun sebagai bandar pelabuhan terkenal di seluruh dunia daripada serangga yang membawa penyakit melalui syarat tujuh dulang hati nyamuk dan hati hama.

Selain itu, syarat semangkuk darah putera mahkota pula bertujuan untuk menyedarkan Sultan Ahmad tentang tanggungjawab utama baginda sebagai pemerintah Melaka.

Sesetengah pendapat menyatakan legenda ini adalah rekaan semata-mata yang dicipta untuk menyindir sifat kaki perempuan Sultan Mahmud dan kezaliman baginda.

Tujuh dulang hati kuman dan hati nyamuk menggambarkan sikap Sultan Mahmud yang sanggup menggadaikan hati-hati rakyat jelata semata-mata demi mencapai matlamat yang dihajatkan.

Tujuh tempayan air mata dara pula sebagai perlambangan anak-anak gadis yang dipaksa menjadi gundik sultan dan berpisah dengan keluarga.

Walau apa pun versi dan spekulasi yang wujud daripada kisah Puteri Gunung Ledang ini, ia haruslah dijadikan sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua supaya sentiasa beringat dalam melakukan sesuatu perkara.

Kosmo!

14 Oktober 2012

0 comments: