INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Jambatan orang bunian

Tuesday, February 19, 2013

 

Oleh SYALMIZI HAMID

BIARPUN pelangi memukau pandangan, masyarakat Karen di Myanmar percaya ia jelmaan kuasa jahat yang sedang minum air di bumi.

ORANG Melayu sering dimomokkan dengan kepercayaan bahawa perbuatan menjuihkan bibir untuk menunjuk pelangi boleh menyebabkan bibir sumbing.

Tindakan menuding jari ke arah pelangi juga dilarang oleh orang tua-tua kerana dikhuatiri jari akan kudung.

Pelangi terbentuk daripada jalinan tujuh warna iaitu merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu. Ia muncul di udara sama ada semasa cuaca cerah atau selepas hujan.

Seorang warga emas, Zainah Kudus, 85, yang gemar menggunakan ayat kiasan dalam mendidik anak dan cucunya berkata, terdapat banyak cerita mengenai mitos pelangi dalam masyarakat Melayu.

“Datuk nenek kita dahulu sering bercerita kepada anak cucu bahawa pelangi adalah tempat lalu orang bunian.

“Orang zaman dahulu kononnya banyak meminta pertolongan daripada makhluk halus itu hingga membuatkan orang bunian bangga kerana berasa kedudukan mereka lebih tinggi daripada manusia.

“Jadi, apabila ada budak-budak menunjuk jari kepada orang bunian yang sedang bergembira di atas pelangi, mereka marah dengan kelakuan biadap itu.

“Lalu dikirimkan orang mereka untuk memotong jari atau bibir manusia yang tidak sopan itu,” cerita Zainah sambil menjelaskan, tindakan menuding jari ke arah orang lain dianggap satu kelakuan biadab dalam budaya Melayu.

Ujar Zainah yang tinggal di Kampung Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka, orang zaman dahulu juga percaya pelangi merupakan laluan anak dara bunian untuk turun mandi di air terjun. Justeru mereka akan marah jika anak gadis mereka diintai.

Walaupun pelangi yang terhasil daripada biasan cahaya yang melalui titik air di udara itu sangat cantik, kebanyakan masyarakat dunia percaya pelangi membawa petanda buruk.

Dalam mitos puak Amazon di Brazil, mereka menganggap pelangi berkait rapat dengan sifat jahat yang boleh menyebabkan keguguran bayi dan penyakit kulit.

Dalam bahasa Amuesha di Peru pula, terdapat sejenis penyakit yang dikaitkan dengan pelangi iaitu ayona’achartan yang bermaksud ‘pelangi telah membuatkan kulit saya sakit’.

DALAM kepercayaan orang Jepun, pelangi merupakan jambatan buat pasangan dewa Izanagi dan Izanami ketika mahu membentuk pulau-pulau.

Ular

Penulis dalam bidang kebudayaan dunia, Mislav Popovic berkata, banyak budaya yang meyakini nasib buruk berikutan kemunculan pelangi.

“Masyarakat Karen di Myanmar mengatakan pelangi adalah syaitan yang menyamar. Kanak-kanak akan menjadi santapan syaitan itu apabila pelangi muncul.

“Pelangi juga menjadi punca kematian yang mengejut dan tragis.

“Dipercayai bahawa pelangi berasa haus dan muncul di langit dalam bentuk separa bulat kerana setiap hujungnya sedang minum air di bumi,” kata bekas penuntut dalam bidang geografi di Universiti Zagreb, Croatia itu.

Pengkaji mitos, Edward Burnett Taylor memberitahu, masyarakat Karen akan menakut-nakutkan anak mereka apabila pelangi muncul.

“Sebaik sahaja ternampak pelangi, orang-orang tua akan cepat-cepat memberitahu bahawa pelangi itu sedang minum air dan mereka perlu berhenti bermain.

“Apabila ada kejadian buruk berlaku selepas itu, ia pantas dikaitkan dengan kehadiran pelangi tersebut,” kata Taylor.

Menurut hasil kajian Taylor lagi, masyarakat Myanmar itu yakin pelangi bersahabat baik dengan ular. Apabila kedua-dua hujungnya menyentuh bumi, ia akan minum air daripada kolam besar.

Orang ramai tidak boleh mandi atau membasuh di kolam tersebut kerana dibimbangi akan dimakan oleh pelangi tadi.

“Setelah selesai minum, pelangi akan naik ke darat. Apabila ada orang terserempak dengannya, orang itu akan terkena racun dan seterusnya mati,” kata Taylor.

Bagaimanapun, mengikut cerita legenda masyarakat Jepun, pelangi adalah sebuah jambatan terapung untuk menuju ke syurga.

Jambatan itu tempat pasangan Dewa Izanagi dan Dewi Izanami berdiri dan mencipta pulau pertama di Jepun menggunakan tombak yang bertatahkan berlian.

Kedua-dua mereka yang datang dari syurga kemudian berkahwin. Izanami telah melahirkan tujuh orang anak yang akhirnya menjadi pulau-pulau lain.

Menurut legenda, pasangan itu juga melahirkan banyak dewa dan dewi yang membentuk bukit, gunung, lembah, air terjun, angin dan unsur alam lain di Negara Matahari Terbit itu.

Kosmo!

19 Ogos 2012

0 comments: