INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Ladam kaburi pencuri

Wednesday, December 21, 2011

 

Oleh KUMARA SABAPATTY

LADAM yang berbentuk huruf U sering dipasang di pintu masuk kediaman sejak abad ke-16 lagi.


SEPATU kuda atau biasa disebut ladam dipercayai memiliki kuasa yang boleh menghalang kejahatan dan membawa kebaikan kepada pemilik kediaman. Malah, masyarakat Inggeris sering menggantung ladam berbentuk huruf U itu di pintu rumah mereka sejak abad ke-16 lagi.

Di Sumatera Barat, ladam kuda mempunyai lebih banyak kegunaan termasuk untuk melariskan perniagaan, menolak bala serta menghalau jin dan makhluk halus lain.

“Untuk tujuan pelarisan, ladam biasanya diletakkan di tempat menyimpan wang. Untuk menolak bala dan mengusir jin pula, ladam tadi dipakukan di belakang pintu masuk utama rumah,” kata seorang penulis blog.

Bagaimanapun, tambah beliau, ada syarat tertentu bagi membolehkan ladam itu ‘berfungsi’.

“Ladam itu sebaik-baiknya diperoleh secara tidak sengaja, paling bagus pada waktu pagi atau siang hari. Jangan mengambilnya terus daripada tukang besi kerana khasiatnya tidak ada sama sekali,” tambahnya.

Pencuri

Di Malaysia, masih ada orang yang menggantung ladam di pintu masuk rumah mereka khususnya masyarakat India.

Malah, seorang pemilik kediaman di Kuala Lumpur memberitahu Jurnal, rumahnya tidak pernah dimasuki pencuri selepas ladam kuda digantung di pintu rumahnya sejak berpuluh tahun dahulu.

Sesetengah rakyat negara ini juga percaya kebolehan ladam kuda dalam menyekat kuasa jahat seperti sihir.

Seorang pembuat ladam di Selangor Turf Club (STC) di Seri Kembangan, S. Murugan, 38, berkata memang ada orang yang meminta ladam daripadanya untuk disimpan di rumah kerana percaya ia boleh membawa tuah.

“Saya tidak pasti sejauh mana benarnya dakwaan itu, tetapi saya pernah mendengar masyarakat India mempunyai kepercayaan sebegitu,” katanya yang bekerja sebagai pembuat ladam sejak 18 tahun lalu.

Tambah Murugan, beliau tidak pernah menyimpan kasut kuda itu di rumahnya walaupun kehidupannya dikelilingi kira-kira 60 ekor kuda hampir setiap hari.

Bercerita mengenai ladam, Murugan berkata, setiap seekor kuda yang ada di bawah jagaannya mempunyai saiz kaki yang berbeza, jadi ladam yang digunakan juga berlainan.

“Ladam ada yang diperbuat daripada besi dan aluminium. Biasanya ladam aluminium dipasang pada kuda lumba kerana ia ringan dan tidak memberi beban pada kaki kuda berkenaan manakala kuda ekuestrian dipasang ladam besi,” ujar beliau.

Sebelum memasangnya, Murugan akan membelai kuda terbabit dari atas kepala diikuti bahu, badan dan akhirnya kaki.

Sensitif

Tambahnya, kuda adalah haiwan yang sensitif. Sama ada dipegang secara sengaja atau tidak, haiwan itu akan mengalami perasaan takut dan boleh menendang petugas yang ingin memasang ladam.

Murugan menyertai STC pada awal tahun 1990-an sebagai pembersih kuda selain menjadi pelatih haiwan berkenaan.

Beliau berminat dengan kerja meladam kuda selepas melihat beberapa orang master atau penjaga kuda melakukan kerja itu.

“Sebelum memasang ladam, kuda itu hendaklah dipastikan sihat dan selamat. Kakinya mesti dilindungi ketika ladam dipasang supaya tidak cedera. Kuku kaki kuda pula akan dipotong dan digosok supaya tidak terlalu panjang,” ujarnya.

“Kemudian barulah ladam yang siap dibentuk itu dipanaskan dan diketuk menggunakan tukul bagi mengemaskan pemasangan ladam pada kaki kuda berkenaan.

“Ladam itu dipasang semasa ia masih panas dan diketatkan dengan paku sepanjang dua inci,” katanya.

Peralatan yang digunakan untuk memasang ladam biasanya berharga melebihi RM1,000. Kata beliau lagi, penukul berkuku dua sahaja mencecah harga RM600.

Tambah Murugan, kerja pemasangan ladam mengambil masa kira-kira 45 minit dan beliau boleh memasang ladam untuk 10 ekor kuda sehari.

Lelaki ini berkata, bekerja sebagai penjaga kuda dan pemasang ladam bukanlah mudah lebih-lebih lagi kuda itu dimiliki orang luar dan ia bernilai tinggi.

“Saya perlu menghadiri kursus dan latihan khas selama empat tahun bagi mempelajari cara penjagaan kuda dan pemasangan ladam di samping mengenal pasti tahap kesihatan kuda.

“Biasanya kuda yang dipasang ladam harus dipantau setiap masa. Ladam itu perlu diganti setiap dua minggu sekali kerana ia mungkin sudah menipis atau rosak,” katanya.

Ladam yang tidak boleh digunakan lagi akan dikumpul sebelum dihantar kepada kedai besi buruk.

“Kadang-kadang ada orang datang meminta ladam kuda daripada saya untuk digantung di depan rumah kononnya ia membawa tuah. Ada juga yang kata mereka mahu menghalang daripada diganggu hantu atau kuasa ghaib.

“Memang ramai yang minta pada saya dan kebanyakannya adalah kaum India,” katanya.

Kosmo!

25 September 2011

0 comments: