INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

‘Doktor’ ikut Azrul balik

Monday, December 19, 2011

 

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

BEKAS bangunan Hospital Lady Templer tempat Azrul selalu ‘cari pasal’ pada malam hujung minggu.


INSAN terpilih mungkin satu tafsiran luar biasa bagi jejaka yang hanya ingin dikenali dengan panggilan Azrul, 27

Pemilik sisi penuh mistik dalam diri itu punyai kelebihan melihat alam ghaib seawal usianya tiga tahun.

Dalam ingatan yang berbalam-balam, Azrul menceritakan dia melihat dua jasad kecil berpakaian putih memegang sebilah pisau sambil bergaduh.

“Mereka bergaduh di satu kawasan lapang tempat sebuah pondok simpanan padi pernah didirikan. Badan mereka berlumuran darah,” getusnya.

Tambahnya, bekas rumah padi pada zaman moyangnya itu pernah dikawal oleh ‘penjaga’ bagi mengelakkan kecurian.

Saka

Azrul juga mengakui ada ahli keluarganya yang memiliki saka untuk menjaga keselamatan diri, keluarga serta harta.

Namun, kebolehan istimewa Azrul melihat alam ghaib tiada kaitan dengan saka atau amalan karut lain.

“Mungkin rezeki saya dapat melihat makhluk Tuhan di alam lain.

“Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk menuntut ilmu hitam semata-mata untuk melihat mahkluk itu,” jelas lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini.

Anugerah itu turut dikongsi adik dan ibu saudaranya, menyebabkan ada antara ahli keluarganya yang lain sering dirasuk.

Menurut Azrul, dia berupaya melihat makhluk halus di mana-mana sahaja namun masjid satu-satunya lokasi yang belum pernah dia terserempak dengan makhluk itu

“Apa rasanya kalau tiba-tiba ada perempuan tumpang kereta kita tanpa diundang?

“Seriau dibuatnya, tapi kalau dah selalu sangat perkara itu berlaku, ia dah jadi biasa pula,” tuturnya yang melabelkan dirinya seorang yang penakut.

Pernah juga Azrul melihat penunggang motosikal berketurunan Cina memboncengkan makhluk tanpa kepala di belakangnya selain dia sendiri sering diganggu setiap kali cuba melelapkan mata.

Berbual

Kadangkala interaksinya bersama makhluk itu bukan sekadar melihat.

“Pernah saya terpandang ada wanita berbaring di atas almari pakaian saya sambil tersenyum lebar.

“Tak diduga terpaksa pula saya layan dia berbual sampai ke pagi dan akhirnya dia minta saya bela dia,” katanya yang mengakui kerap ‘dipancing’ makhluk halus untuk dijadikan tuan.

Azrul berkata dia tidak pernah mempelajari teknik melihat dan mengenali makhluk halus.

“Macam-macam rupa makhluk itu, ada yang boleh terbang, merangkak, berjalan, tinggi, pendek, gemuk dan kurus.

“Muka mereka ada seperti manusia tapi yang macam dinosaur pun ada. Cantik, buruk, berbulu, hitam, putih dan macam-macam lagi,” ceritanya.

Corak interaksinya dengan makhluk halus juga berbeza.

Ada antaranya yang boleh bercakap seperti perbualan harian manusia tetapi ada juga yang sekadar berbisik. Namun, terdapat juga yang berbicara melalui kata hati.

“Mereka kadangkala boleh berbahasa Melayu, ada juga Mandarin malah bahasa yang tidak kita faham pun ada.

“Mereka akan datang kacau kalau tahu kita boleh nampak mereka, mungkin sekadar menyapa,” ujarnya berseloroh.

Dalam pada itu, kata Azrul ada juga makhluk halus yang boleh menegur dan memperbetulkan bacaan ayat suci al-Quran.

Sepanjang hidupnya, Azrul baru sekali dirasuk sehingga tidak sedarkan diri.

“Sebabnya saya suka cari pasal dengan pergi ke Hospital Lady Templer di Cheras ketika saya menuntut di UTM Kuala Lumpur dahulu,” bicaranya mengenai peristiwa yang berlaku pada tahun 2003 itu.

Pengsan

Hospital itu pernah digunakan untuk merawat pesakit tibi sebelum ditutup pada tahun 1985. Menurut Azrul, suasana pada waktu malam di hospital itu memang menakutkan.

Katanya, cubaan menduga diri sendiri dan rakan-rakan membuatkan Azrul berani memasuki bangunan tinggal itu selepas pukul 12 tengah malam.

“Sehingga satu peringkat saya melihat seorang lelaki berpakaian seperti seorang doktor berdiri pegun di tepi tingkap tingkat dua sambil memandang keluar.

“Selepas 15 minit perjalanan pulang ke hostel, saya berasa seram sejuk dan tidak dapat mengawal badan sebelum memandang rakan di tempat duduk belakang kereta dan tanya dia ‘kau kenal aku?’” ceritanya yang kemudian mengarahkan dua lagi rakannya menghantarnya semula ke hospital tersebut.

Selepas tiba di sana, Azrul tidak sedarkan diri dan hanya sayup-sayup kedengaran suara rakan-rakannya memintanya mengucap kalimah syahadah dan beristighfar.

Kini, kesibukannya menjalani kehidupan membuatkan keupayaan Azrul melihat makhluk halus pudar perlahan-lahan.

Kali terakhir dia melihat makhluk itu adalah pada awal tahun ini. Telahannya, mungkin anugerah istimewa itu sudah sampai ke penghujungnya.

Baginya, kebolehan deria keenam itu membuatkannya semakin yakin bahawa bukan manusia sahaja yang mendiami dunia ini.

“Cuma jangan mudah terpesong dengan pelawaan ‘mereka’ hingga kita tersesat daripada ajaran Islam sebenar,” simpulnya.

Kosmo!

24 April 2011

0 comments: