INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

‘Dia’ berkenan rumah Mok Nab saja

Tuesday, December 20, 2011

 

PAKAR paranormal Ong Q-Leng dari Pulau Pinang ini dikatakan insan yang berjaya menghalau makhluk halus daripada terus menghantui hidup Mok Nab.


BERKALI-KALI mulut wanita tua itu melafaz kalimah syukur. Sungguhpun tidurnya tidak lagi lena di atas tilam kerana habis punah dibakar api misteri, namun dia berasa sedikit lega kerana sudah tidak dihantui gangguan api itu lagi.

Disember tahun lalu, rumah Mok Nab atau Zainab Sulaiman, 73, di Kampung Penambang Bunga Emas, Kota Bharu, Kelantan tiba-tiba menjadi perhatian berikutan kewujudan api misteri yang membakar lebih seratus helai pakaian milik Zainab serta menantu dan dua cucunya, selain tilam dan langsir.

Serentak dengan itu, rumahnya ibarat pesta apabila dikunjungi orang sama ada untuk menyaksikan atau membantu Zainab memadam api yang tidak henti-henti mengganggu dari pukul 7 pagi hingga 11 malam setiap hari.

Ini bukan cerita rekaan. Wartawan yang sedang membuat liputan pernah menyaksikan sendiri api itu muncul secara tiba-tiba dan menyambar sehelai kain batik yang diletakkan di atas katil di dalam bilik di belakang rumah.

Macam-macam bomoh datang membantu termasuk bomoh Melayu, pengamal perubatan Islam Darul Syifa’, bomoh Siam dan penangkap hantu dari Pulau Pinang.

Kisahnya yang tersebar menerusi Internet turut menarik perhatian sepasang suami isteri dari Amerika Syarikat dan pengkaji paranormal dari Australia, Paul Cropper.

Setelah kira-kira sebulan diganggu api misteri itu, ia berakhir dengan satu timbunan pakaian setinggi paras pinggang terpaksa dibaiki atau dibuang kerana musnah.

Kerugiannya kata Zainab, tidak terhitung kerana dia sendiri tidak terkira berapa banyak kain dan pakaian yang terbakar.

“Untuk empat tilam yang terbakar, saya masih simpan kekabunya di dalam bilik walaupun ada antaranya yang ada kesan terbakar.

“Kekabu itu tidak dibuang sebaliknya dimuatkan penuh ke dalam lima beg plastik hitam besar. Saya sayang kekabu itu. Kekabu mahal sekarang. Saya harap ia boleh dibuat tilam baru nanti,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.

Zainab berkata semasa gangguan api itu berlaku, dia bersama menantu, Rafeah Zakaria, 38, serta dua cucunya, Wan Nurfatihah, 13 dan Wan Nurfatini, 11 tidak boleh melakukan kerja lain.

Rezeki ‘benda’

“Kadang-kadang api menyala di ruang tamu. Apabila kami berkejar memadamkan kebakaran itu, kelihatan pula api menyala di dapur dan bilik.

“Mujurlah ada jiran datang membantu. Kadang-kadang sampai 10 jiran datang tolong padamkan kebakaran,” katanya.

Sangkaannya, selepas selesai menunaikan solat hajat Januari lalu dan menjumpai sekeping wang kertas RM10 yang tertulis ‘Selamat Tinggal Semua’ menandakan gangguan berakhir, tetapi serangan api masih berterusan selepas itu sehinggalah menjelang Februari.

Zainab menganggap segala barangannya yang musnah sebagai sudah menjadi rezeki ‘benda’ itu.

“Dah benda itu hendak, rezeki dialah. Kita tak boleh buat apa pun sebab kita tak nampak dia. Saya rasa dia nak bakar kain saja, tak sampai nak bakar rumah.

“Mungkin ‘benda’ itu pun kesian, kalau bakar rumah mana pula saya nak duduk,” katanya yang tenang namun masih gemar berjenaka.

Zainab yang tinggal di rumah tersebut sejak 32 tahun lalu berkata, kemunculan api seperti itu tidak pernah berlaku di rumahnya malah dikatakan pertama kali terjadi di kampung berkenaan.

“Jiran-jiran pun tidak pernah mendapat gangguan macam itu. Mungkin ‘benda’ itu berkenan dengan rumah saya saja,” katanya.

Ditanya apakah kemungkinan puncanya, Zainab berkata dia sendiri tidak tahu.

NOT RM10 yang bertulis ‘Selamat tinggal semua’ ini didakwa ditinggalkan oleh entiti yang mengganggu Mok Nab Januari lalu. Beranggapan masalahnya akan berakhir, duit kertas ini rupa-rupanya bukanlah penamat kemunculan api misteri itu.


“Nak kata ada orang dengki atau bencikan saya, dah tua-tua macam ini ada orang dengkikah?

“Kenapa sekarang? Kalau tengah umur 20-an dulu, mungkinlah agaknya,” katanya yang sempat menunjukkan gambar mudanya.

Didatangi oleh pelbagai pengamal perubatan mistik, Zainab berkata kebanyakan mereka membantunya secara sukarela. Namun, Zainab pernah mengeluarkan sebanyak RM2,500 untuk seorang bomoh sahaja.

“Ramai yang membantu secara sukarela termasuk pakar paranormal dari Pulau Pinang, Ong Q-Leng, 36, yang sehingga sekarang mempunyai hubungan yang baik dengan saya. Dia bagus, mesra dan sangat memahami kita sebagai orang Islam.

“Sehingga ke hari ini, boleh dikatakan seminggu dua kali dia bertanya khabar saya. Baru-baru ini saya dan keluarga menemuinya di Pulau Pinang.

“Dia jamu saya dan keluarga makanan laut. Dia panggil saya kakak. Rasa muda pula,” ujar Zainab tertawa.

Zainab sedar, ada orang yang mungkin menganggap dia cuba meraih publisiti atau mereka-reka cerita, tetapi Zainab tahu ramai yang menjadi mata saksinya.

Bahkan ada jiran yang mempertahankannya jika ada orang lain yang mempertikaikan kesahihan gangguan itu di kedai kopi.

“Saya sebenarnya tidak mahu bercakap tentang hal ini lagi. Tidak mahu bising-bising. Takut orang salah anggap.

“Awak sendiri tengok, masih banyak kain atau pakaian yang terbakar yang disimpan. Mana yang masih boleh dipakai, tidak dibuang. Mana yang boleh dibaiki saya jahit atau tampal.

“Takkanlah saya bakar lepas itu saya nak menyusahkan diri macam ini,” katanya sambil menunjukkan beberapa selimut dan kain yang bertampal dan berjahit.

BIARPUN diganggu, Mok Nab memberitahu penulis, dia dan keluarganya tidak akan meninggalkan rumah tersebut.


Enggan pindah

“Sepuluh bulan sebelum gangguan api lagi, keluarga kami setiap hari hilang duit, sampai saya terpaksa catat. Duit syiling pun diambilnya. Ada yang ‘benda’ itu pulangkan dan ada yang tidak.

“Lepas itu, kain baju pula digunting dan dikoyak, tapi saya masih sabar. Bila sampai api muncul, saya rasa ia semakin melampau.

“Sebenarnya, selepas gangguan api berakhir pada Februari lalu, masih ada gangguan lain berlaku pada bulan April iaitu buku cucu saya kena koyak sampai separuh buku sehingga saya kena beli buku baru untuknya.

“Saya rasa hendak menangis, apatah lagi cucu saya dimarahi gurunya tidak pandai jaga buku. Saya terpaksa pergi jumpa gurunya, mujurlah guru memahami.

“Tapi saya tak pernah beritahu wartawan bila wartawan tanya kalau ada gangguan lagi,” dedahnya sambil memberitahu sudah tidak menerima apa-apa gangguan sejak April lalu.

Zainab memberitahu, walaupun dia diganggu dengan gangguan seperti itu, dia dan keluarganya tidak pernah terlintas untuk meninggalkan rumah itu.

“Ramai yang datang berasa hairan kenapa saya tak tinggalkan rumah itu. Ada yang menangis-nangis pujuk saya.

“Ada anak yang ajak tinggal bersama mereka. Tetapi saya hanya bersabar mendepani gangguan ini. Lagipun, saya risau ayam, itik tak berjaga nanti,” katanya.

Ditanya adakah gangguan yang terjadi di rumahnya membuatkan ada orang yang menyifatkan rumahnya menyeramkan, Zainab berkata:

“Ya. Ada saudara yang takut hendak datang ke rumah saya. Daripada apa yang saya tengok, jiran-jiran tidak pula nampak takut, tetapi tidak tahulah kalau di luar pengetahuan saya,” katanya.

Kosmo!

19 Jun 2011

0 comments: