INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Ada kelibat wanita kendong anak

Tuesday, October 12, 2010

 

PEMANDU bas mendakwa pernah ternampak kelibat wanita mengendong anak dekat plaza tol Simpang Ampat, Alor Gajah, Melaka.


KUALA LUMPUR - Kelibat wanita berpakaian putih sambil mengendong anak melintas secara tiba-tiba di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tol Simpang Ampat, Alor Gajah di Melaka kini dikaitkan dengan kemalangan maut yang berlaku Ahad lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati ada antara pemandu bas ekspres dan pengguna jalan raya yang selalu menggunakan laluan itu mendakwa kawasan berkenaan 'keras' dan kerap dikaitkan dengan elemen-elemen mistik.

Ada yang mendakwa melihat kelibat wanita itu melintas jalan dan ada yang melihatnya duduk di tepi jalan terutama pada waktu malam.

Ia menyebabkan ramai pengguna jalan raya terpaksa membrek mengejut sehingga ada yang gagal mengawal kenderaan yang dipandu.

Pemandu bas Konsortium Bas Ekspres Semenanjung, Rafi Bahari, 38, mendakwa, dia pernah ternampak kelibat wanita tersebut beberapa tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Taiping ke Singapura.

"Ketika melalui kawasan itu pada pukul 4 pagi, saya ternampak kelibat wanita baju putih melintas.

"Saya sempat brek secara mengejut tetapi tidak berlaku kemalangan," ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kosmo! kelmarin melaporkan dalam kejadian pukul 6.40 petang itu, seramai 12 orang maut apabila bas Ekspres Delima yang dinaiki dari Melaka ke Kuala Lumpur dikatakan terbabas dan melambung ke laluan bertentangan sebelum menempuh sebuah van dan menghempap dua kenderaan. Selepas itu, ia bergesel pula dengan sebuah lagi kereta dan bas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Turut terkorban ialah pemandu van, Goo Chuan Heng dan penumpang kereta Honda Accord, Pang Shi Moei.

Menurut Rafi, kejadian yang sama mungkin turut dialami oleh pemandu bas Ekspres Delima yang terbabit dalam kemalangan yang meragut 12 nyawa pada Ahad lalu, R. Ramachandra.

"Mungkin dia nampak kelibat yang sama. Lagi pun dia (Ramachandra) tidak ada rekod kesalahan trafik sebelum ini. Saya bukan hendak menyebelahi pemandu bas itu tetapi itu mungkin juga puncanya," ujarnya.

Seorang lagi pemandu bas ekspres yang sama, Amirudin Baharudin, 30, yang melalui kawasan itu dua kali sehari menggunakan lebuh raya yang sama mengakui selalu mendengar kisah itu.

"Saya selalu diingatkan oleh pemandu bas lain supaya berhati-hati apabila melalui kawasan itu. Ada pemandu yang melalui kawasan itu terlibat dalam kemalangan kerana cuba mengelak sesuatu tanpa sebab tetapi akhirnya mereka kata ada nampak kelibat wanita berbaju putih melintas," katanya.

Seorang lagi pemandu bas, Sham Che Ali, 35, pula menganggap selain kawasan kemalangan memang 'keras', faktor fizikal jalan yang tidak rata juga mungkin menjadi penyumbang kepada kejadian kemalangan.

"Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Walaupun bas dipandu perlahan tetapi bila kita menekan brek kecemasan, kenderaan akan hilang kawalan. Saya juga percaya kawasan itu 'keras' memandangkan saya sudah hampir 13 tahun dan sering mendengar pelbagai cerita seram di kawasan yang sama," tambahnya.

Bagaimanapun, Mohd. Husin Mokhtar, 48, yang berpengalaman memandu bas ekspres selama 17 tahun pula tidak mahu percaya ada unsur melibatkan makhluk halus dalam kejadian pada Ahad lalu. Beliau menganggapnya sekadar takdir Tuhan.

"Ia terserah. Kalau sudah sampai masanya apa pun boleh terjadi. Ini semua kuasa Allah," jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi pemandu bas ekspres, Khairul Anuar Mat Nordin, 43, pula berpendapat kejadian yang berlaku ada kaitan dengan pemandu bas yang laju dan menjadi punca berlaku kemalangan.

"Lagi pun, kawasan itu pun saya nampak tidaklah terlalu berbahaya. Kemungkinan bas ekspres itu dipandu laju," katanya.

Kosmo!

13 Oktober 2010

0 comments: