INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Bila ramalan haiwan benar

Tuesday, July 13, 2010

 



Oleh ADHAM SHADAN

EMPAT biji ubi kentang, minyak zaitun secukup rasa dan sedikit lada hitam. Itu bahan-bahan yang dibayangkan oleh seorang chef Argentina, Nicolas Bedorrou untuk melengkapkan sajian ‘enak’ daging sotong kurita bernama Paul gara-gara marahkan haiwan invertebrata itu.

Dia turut membayangkan imaginasi ganas untuk mengejar haiwan itu, meletakkannya di atas kertas, pukul dan campakkan ke dalam air mendidih.

Bukan Nicolas sahaja yang berang. Ramai peminat bola sepak terutama penyokong Argentina dan Jerman mahu memanggangnya. Di Twitter, Paul Octopus atau Pulpo Paul tiba-tiba menjadi salah satu daripada 10 perkataan yang popular saat ini. Apalah salah haiwan akuatik itu sehingga ramai yang memperkatakan tentangnya?

Sotong nujum

Semuanya gara-gara sotong yang bernama Paul itu menjadi ahli nujum untuk kejohanan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung dan menakjubkan apabila kesemua ramalannya menjadi kenyataan.

Walaupun ramalannya hanya melibatkan perlawanan yang dilalui Jerman, negara tempat ia dibesarkan, namun ramalannya telah menjadi fenomena saat ini.

Haiwan berusia dua tahun itu benar apabila meramalkan Jerman akan menang ke atas Australia dan Ghana serta tewas kepada Serbia pada perlawanan peringkat kumpulan.

Haiwan itu juga betul apabila mengkhianati negara kelahirannya, England lalu memilih Jerman untuk menang dalam peringkat kalah mati.

Ramalan Paul juga tepat dengan memilih Jerman menewaskan Argentina di pusingan suku akhir dan ‘berani mati’ apabila memilih Sepanyol berbanding Jerman untuk memenangi separuh akhir.

Prosedur ramalan bermula dengan dua buah bekas plastik berisi makanannya iaitu isi kepah, diturunkan ke dalam tempat tinggalnya di Sea Life Aquarium, Oberhausen, Jerman.

Pada satu bekas ditampalkan bendera Jerman dan satu bekas yang lain ditampalkan bendera penentang Jerman.

Bekas atau bendera yang dipilih oleh Paul dengan membuka dan mengambil makanannya ialah pilihan pemenangnya.

“Ia (lazimnya) terus berenang ke arah bendera yang dipilihnya, duduk di atasnya dan buka. Keadaan ini sangat gila,” kata jurucakap akuarium tempat tinggalnya, Tanja Munzig.

Apabila Paul bertindak memilih Sepanyol tempoh hari, ramai penyokong Jerman termasuk penjaganya enggan percaya.

Mereka mengaitkan dengan kesilapan tunggal dalam sejarah ramalannya yang pernah dilakukan pada Euro 2008.

Ternyata, Paul memang digunakan untuk meramalkan bola sepak yang disertai Jerman sejak tahun ia dilahirkan lagi.

Tepat

Paul pernah tersilap sekali apabila meramalkan Jerman akan menang pada perlawanan akhir Euro 2008 ke atas Sepanyol namun ramalannya meleset.

Penyokong-penyokong Jerman menyifatkan Paul mungkin melakukan kesilapan lagi apabila pertarungan melibatkan Jerman dan Sepanyol di Piala Dunia.

“Bukan manusia sahaja melakukan kesilapan, haiwan juga. Harap tekaan Paul yang ini salah,” kata Tanja.

“Sehingga kini di Piala Dunia, ramalannya 100 peratus tepat, tetapi tidak yang ini,” kata penjaganya, Oliver Walenciak apabila Paul memilih Sepanyol untuk menang pusingan separuh akhir sehari sebelum perlawanan berlangsung.

Apa yang pasti, ramalan Paul itu menjadi kenyataan. Ia kini menjadi fenomena, bergelar bintang, ahli psikik bahkan dikatakan selebriti paling terkenal Oberhausen.

Ada yang mengecamnya dan ada juga yang cuba membelanya seperti kerajaan Sepanyol.

Tetapi, mereka mungkin boleh berubah fikiran jika Paul ditakdirkan meramal dan memilih Belanda untuk menang pada perlawanan akhir nanti walau hakikatnya Paul belum pernah meramal perlawanan tanpa Jerman.

Berbicara tentang sotong kurita, haiwan itu disifatkan sebagai haiwan yang bijak. Ia mempunyai sembilan otak di mana satu otak utama di kepala dan lapan otak lagi di lapan lengannya.

Fiona Smith dari Sea Life Park, Weymouth, England, tempat kelahiran Paul berkata, kurita biasa seperti Paul amat cerdas. Smith menyamakan kecerdasannya seperti anjing. Ia suka masalah dan suka menyelesaikannya

Walenciak menyifatkan Paul haiwan yang comel dan aktif.

“Kami agak banyak main bersama. Saya makin sukakannya.

“Memang sentiasa ada ramai orang yang mahu memakannya, tetapi ia tidak gentar dan kami akan sentiasa memeliharanya. Ia akan selamat,” kata Walenciak kepada akhbar Telegraph.

Mengenai tugasnya sebagai peramal, penulis tidak mendapat jawapan mengapa idea untuk menjadikannya ahli nujum sukan tercetus.

Cuma, penggunaan haiwan untuk meramal keputusan sukan bukan perkara baru di Jerman.

Mungkin tidak ramai yang tahu, bukan Paul sahaja satu-satunya haiwan yang meramal untuk Piala Dunia ini di Jerman. Namun, ‘mereka’ tidak sebijak Paul.

SEEKOR kucing, Oscar, menggemparkan dunia pada tahun 2007 dengan kebolehannya meramal kematian pesakit di sebuah pusat kesihatan di Amerika Syarikat.


Seekor beruang betina di Chemnitz Zoo, tersalah ramalan apabila memilih Argentina untuk menang ke atas Jerman.

Begitu juga seekor monyet bernama Tamarin Anton yang meramalkan Ghana menang ke atas Jerman.

Selain itu seekor badak air bernama Petty berusia 19 tahun juga gagal dalam ramalannya apabila memilih Jerman menang ke atas Serbia.

Bagaimanapun, Paul bukan satu-satunya haiwan yang pernah menggemparkan dunia dengan kebolehannya meramal.

Pada tahun 2007 di Pusat Pemulihan dan Penjagaan Steere House di Providence di Rhode Island, Amerika Syarikat, seekor kucing bernama Oscar dianggap sebagai ‘malaikat maut berkaki empat’. Ini kerana ia dikatakan mempunyai keupayaan meramalkan kematian.

Sebanyak 50 kematian telah diramal oleh Oscar dan ia terbukti benar. Kucing berkenaan dikatakan akan berguling-guling untuk rapat dan tidur bersama pesakit beberapa ketika sebelum kematian mereka menjelma.

Kosmo!

11 Julai 2010

0 comments: