INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Air terjun Buaya Sangkut

Tuesday, June 8, 2010

 

Oleh Mohd Azis Ngah


Lagenda dikaitkan dengan kematian anak Orang Asli yang ditindih dengan kulit reptilia itu


SEJAK dulu hingga kini, Orang Asli Jakun berketurunan Melayu Proto percaya jika kanak-kanak mempunyai ibu jari tangan yang boleh dilipat hingga bersentuh dengan lengan, ia bermakna nyawa anak malang itu akan berakhir dengan kematian ngeri dibaham buaya.

Walau di mana sekali pun mereka bersembunyi, pasti akan menemui ajalnya dengan buaya, sebab itulah ramai anak muda sekarang tidak sesekali berani mencuba untuk menguji sama ada jari mereka boleh menyentuh lengan atau tidak. Orang Asli Jakun Kampung Peta, Johor mempunyai kisah silam mereka sendiri hinggakan tempat berlaku peristiwa berdarah meragut nyawa itu dinamakan Buaya Sangkut.

Terletak di hulu sungai Jasin, di Taman Negara Endau Rompin, air terjun Buaya Sangkut setinggi 40 meter itu sebenarnya antara tarikan utama pelancong kerana keindahan kawasan hutan serta kejernihan airnya.

Namun, di sebalik semua itu, ia sebenarnya menyimpan rahsia silam yang sukar dilupakan masyarakat setempat hingga sekarang. Pelbagai versi cerita mengenainya diperkatakan, tetapi paling popular ialah bagaimana kisah buaya meragut nyawa anak gadis Orang Asli.

Dulu, tinggal sepasang suami isteri di sekitar Sungai Endau dan mempunyai anak perempuan tunggal. Malangnya, anak kesayangan mereka mempunyai tanda ibu jari boleh dilipat hingga menyentuh lengan dan mereka cukup percaya zuriat mereka akan mati dibaham buaya.

Disebabkan takut ramalan itu menjadi kenyataan, mereka berpindah ke kawasan bukit, jauh ke pedalaman kerana penempatan asal mereka adalah di tebing sungai yang memungkinkan buaya menyerang anak gadis mereka.

Pasangan itu membuka penempatan baru di bukit, menanam padi huma dan ubi kayu, tidak sekali turun ke sungai menangkap ikan. Selepas suatu tempoh sehingga anak perempuan mereka dewasa, berlakulah peristiwa mengerikan dan menyayat hati.

Penduduk Kampung Peta, Awang Kudi, 51, berkata pada suatu hari ketika bapa gadis itu turun ke air terjun untuk mendapatkan bekalan air, beliau ternampak seekor buaya tersangkut pada sebatang pokok dan sudah mati.

“Ramalan itu memang betul kerana buaya itu sanggup mudik ke hulu mencari mangsa yang tinggal di kawasan air terjun tetapi mati tersepit pada pokok. Lelaki itu cukup marah kerana buaya sanggup mengejar anaknya walaupun untuk tempoh yang sangat lama.

“Perasaan dendam mula menguasai diri padahal anak gadisnya sudah tentu selamat kerana buaya itu sudah mati, tetapi disebabkan terlalu marah, lelaki itu pulang ke rumah mengambil senjata dan datang semula ke situ,” katanya.

Lelaki itu menjatuhkan bangkai buaya yang tersangkut dan melapah kulitnya lalu dibawa pulang untuk ditunjukkan kepada isteri dan anaknya. Kulit buaya itu dijemur kering dan dijadikan gendang, sebagai tanda kemenangan.

Anak gadis seolah-olah mendapat petanda dia akan mati. Pada hari itu, beliau meminta izin ibunya untuk memasak, membiarkan ibunya berehat sedangkan sebelum ini, beliau tidak pernah berbuat demikian.

Pasangan suami isteri itu tidak mengesyaki apa-apa dan kerja menyiapkan gendang diteruskan. Sebaik saja gendang itu siap, ia diletakkan pada dinding bilik tidur anaknya sebagai kenangan.

“Ketika anak gadis sedang tidur, gendang kulit buaya itu terjatuh dan menimpanya lalu mati. Kejadian itu hanya disedari pada pagi keesokannya selepas mereka melihat gendang itu berada di atas badan anak mereka.

“Bapanya cukup menyesal kerana jika beliau tidak membuat gendang, sudah tentu anaknya akan selamat kerana pada sangkaannya, anak gadis kesayangan mereka sudah pun selamat daripada serang buaya,” katanya.

Sejak kejadian itu, barulah beliau percaya bahawa ramalan itu tidak boleh dielak walau di mana pun mereka melarikan diri kerana itulah sumpahan dan takdir mereka. Berikutan peristiwa itulah air terjun itu dinamakan Buaya Sangkut.

Sehingga kini, jika air surut, jelas kelihatan satu batu bentuk kepala buaya terjulur keluar di celah air terjun Buaya Sangkut.

Berita Minggu

30 Mei 2010

0 comments: