INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Ritual mandi bertapak

Tuesday, February 9, 2010

 

SEJAK zaman-berzaman, silat menjadi keperluan dalam mempertahankan diri.


PESAN guru silat, jangan ditepuk susu di dulang, anak harimau tak dapat menyusu, janganlah pecah rahsia hulubalang, nanti harimau hilang kuku.

Pantun di atas jelas memperlihatkan betapa seni mempertahankan diri cukup kuat bersendikan adat dan berpayungkan agama.

Oleh kerana itu jugalah, setiap langkah dan upacara yang terdapat di dalam seni silat gayong mempunyai pelbagai simbolik dan perlu difahami oleh penuntutnya.

Bagi penuntut baru, terdapat upacara tertentu yang harus mereka lalui sebelum ditauliahkan menjadi anak murid seni silat ini iaitu mandi bertapak.

Menurut Timbalan Presiden 1, Persatuan Seni Silat Gayong Kuala Lumpur, Abdul Rais A. Rahman, mandi bertapak merupakan acara pertama yang harus ditempuhi oleh mereka yang ingin belajar silat.

"Setiap langkah dalam ritual ini merupakan simbolik kepada kesungguhan seseorang itu hendak mempelajari seni mempertahankan diri ini," ujar guru silat berusia 44 tahun ini.

Bahan-bahan yang digunakan untuk ritual ini di samping doa, melambangkan intipati kehidupan yang harus penuntut lalui.

"Semua doa itu adalah berlandaskan ayat-ayat suci al-Quran yang diniatkan sebagai pendinding daripada gangguan syaitan," ungkapnya tenang.

Lengkap dengan persalinan baju Melayu hitam dan bersamping, Abdul Rais tekun menunjukkan bahan-bahan yang digunakan dalam adat mandi bertapak.

GURU silat yang berpengalaman mampu membaca firasat melalui limau nipis yang dipotong.


Akar sintok

Limau nipis, akar sintok, bertih beras, garam, asam jawa dan pisang emas tersusun dalam urutannya di dalam sebuah dulang.

"Limau nipis dan akar sintok adalah simbolik untuk membersihkan tubuh dan minda daripada sebarang kekotoran.

"Tindakan memotong atau lebih dikenali sebagai melukakan limau pula akan menterjemahkan sifat penuntut silat berkenaan.

"Ia bukan meramal tetapi lebih kepada pengalaman guru silat tersebut dalam membaca perilaku anak muridnya nanti.

"Dengan itu, guru tersebut dapat membuat persediaan seperti bagaimana untuk berhadapan dengan muridnya yang panas baran," kata Rais.

Pada zaman dahulu, cerita Rais, sekiranya bahagian limau nipis yang dipotong itu masuk di dalam gelungan akar sintok, guru tersebut akan mengambil pelajar itu sebagai anak angkat.

Namun, keadaan potongan limau nipis yang sebegitu amat jarang berlaku dan seringkali memberi petanda yang baik.

"Baik di sini membawa maksud pelajar itu mempunyai bakat yang tinggi dalam ilmu persilatan.

"Mereka juga mudah belajar dan senang dibentuk menjadi pesilat yang terbaik," ujarnya sambil menunjukkan cara memotong limau nipis tersebut.

Menyentuh mengenai bahan-bahan lain untuk upacara mandi bertapak, asam jawa, bertih, garam dan pisang emas akan dijamah oleh penuntut selepas upacara melukakan limau. Ia adalah simbolik kepada rencah kehidupan yang akan dilalui oleh mereka sama ada di dalam atau di luar gelanggang.

Sebagai penyudah kepada ritual ini, penuntut dikehendaki mandi menggunakan air yang telah dicampur limau nipis. Menariknya, air mandian tersebut akan dicampur dengan air yang diambil dari kawasan air terjun.

RAMUAN utama dalam ritual mandi bertapak iaitu limau nipis, akar sintok, pisang emas, garam, bertih beras dan asam jawa yang menjadi simbolik kepada asas kehidupan.


Jelas Abdul Rais, orang dulu-dulu percaya air yang diambil dari kawasan air terjun lebih bersih berbanding air telaga atau sungai.

Pelajar yang telah melalui ritual ini layak mempelajari seni mempertahankan diri itu iaitu bersilat dan bertempur dengan tangan kosong atau tanpa senjata.

Mereka juga tidak boleh melanggar ikrar gayong iaitu taat kepada Tuhan, ibu bapa, guru dan sultan. Kata Abdul Rais, mereka yang melanggar ikrar harus berpuasa selama tiga hari.

"Ia bukan sebagai hukuman tapi lebih kepada ingatan kerana mahu mengajar murid silat agar tidak mengambil mudah ikrar gayong.

"Lagipun, berpuasa itu mampu menyucikan diri, membuatkan kita kembali kepada fitrah," katanya yang merupakan kumpulan generasi ketiga murid seni silat gayong yang diasaskan oleh guru silat, Datuk Meor Abdul Rahman.

Dicuplik dari arkib Kosmo!

0 comments: