INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Taksub Nyai Roro Kidul

Sunday, December 13, 2009

 

Berkunjung ke Jogjakarta, Indonesia membuka misteri tentang perkaitan antara golongan diraja dan masyarakatnya dengan sang penguasa yang digelar Ratu Pantai Selatan.

ILUSTRASI tarian bedhoyo ketawang karya seniman S. Pandji.

Salah satu contoh gambaran wajah Nyai Roro Kidul di atas kanvas.

‘KAMU hendak ke Parangtritis? Atau mungkin ke Pantai Parangkusumo atau Cilacap? Hati-hati ya, jangan pakai baju hijau. Nanti ditelan ombak dan jadi korban Nyai Roro Kidul,” usik seorang teman yang seolah-olah mahu menakutkan penulis.

Cadangan penulis untuk ke destinasi pantai di selatan Pulau Jawa baru-baru ini walau bagaimanapun tidak kesampaian. Maka, agenda wisata hanya tertumpu di beberapa lokasi sejarah lain seperti Candi Borobudur, Keraton, Istana Ratu Boko dan Prambanan. Tapi hati masih tertanya, siapakah yang dimaksudkan itu?

Kononnya, Roro Kidul itu menyukai warna hijau. Barang siapa yang berjalan di atas pantai dengan pakaian berwarna hijau akan ditarik ombak besar yang merupakan antara banyak kuasa dan kemampuannya. Ada yang hilang, ada yang mati, dan ada pula yang terpilih untuk menjadi hambanya.

Dalam sebuah kedai cenderamata di makam diraja Kotagede, Jurnal sempat bertemu dengan beberapa petugas yang serba tahu mengenai Nyai Roro Kidul. Apatah lagi setelah mendapati lukisan figura supernatural itu terhias di dinding kedai.

Kecantikan dan sumpah

Segalanya bermula dalam Kerajaan Pajajaran yang memusatkan kuasa di Jawa Barat sepanjang tahun 1333 hingga 1630 sebelum ditakluki kerajaan Islam Mataram yang berasal dari Jawa Tengah.

Pajajaran ketika itu diperintah oleh Prabu Siliwangi yang mempunyai ramai gundik. Salah seorang daripada gundik yang digaulinya itu telah melahirkan seorang anak perempuan yang dinamakan Dewi Kadhita yang membesar dengan cantik seperti ibunya.

Malangnya kecantikan Dewi Kadhita dan ibunya itu membuatkan gundik-gundik lain cemburu. Mereka telah menggunakan ilmu hitam untuk membuatkan tubuh Dewi Kadhita dan ibunya menjadi kotor, berbau hamis dan menjijikkan. Malah, namanya diejek sebagai Dewi Lara Amis.

Keadaan itu membuatkan Prabu Siliwangi berasa benci lalu menghalau kedua-duanya dari istana kerana dipercayai akan membawa nasib buruk buat Pajajaran.

Kedua-dua beranak inipun hidup berkelana dalam lara di wilayah itu sehingga si ibu menghembuskan nafas terakhir. Dewi Kadhita yang hiba telah membawa diri hingga ke Karang Hawu, iaitu pantai selatan yang menghadap Lautan Hindi.

“Dewi Kadhita yang keletihan berehat sebentar di atas sebuah batu di pantai Karang Hawu itu lalu tertidur. Dewi Kadhita bermimpi bahawa dia perlu terjun ke dalam air laut demi membatalkan sihir yang dikenakan ke atasnya.

“Setelah sedar dari tidur, Dewi Kadhita terus melompat ke dalam air tanpa berfikir dua kali. Ya benar, dia kembali cantik seperti sedia kala namun akhirnya dia menyedari bahawa dirinya bukan lagi seorang manusia,” kata penjaga makam diraja yang ditemui di Kotagede, Suharjo Prayitno, 63.

Hubungan keraton

Suharjo, sama seperti kebanyakan ‘orang lama’ di Jogjakarta, tidak asing tentang legenda itu. Menurut lanjutan ceritanya, Dewi Kadhita telah berubah menjadi ciptaan yang luar biasa. Semenjak itu, dia dikenali dengan nama Nyai Roro Kidul yang menguasai semua makhluk di pantai selatan Kepulauan Jawa.

“Ramai yang masih percaya walaupun zaman sudah semakin moden. Generasi kini juga masih kental dengan semangat Roro Kidul,” kata Suharjo. Apabila ditanyakan kepada lelaki itu sama ada dia percaya tentang kewujudan si ratu itu, dia hanya tersenyum.

Masyarakat di sekitar pesisiran pantai percaya bahawa Nyai Roro Kidul pernah menjalin percintaan dengan raja Mataram bernama Panembahan Senopari dan bersatu melalui nikah batin. Hasil perhubungan menghasilkan waris Raja-raja Mataram Jogjakarta dan Surakarta.

Wilayah Jogjakarta adah satu-satunya yang masih mempunyai pemerintah sendiri yang bergelar Sultan. Difahamkan, sultan-sultan yang bertakhta dari penggal ke penggal pemerintahan ini adakalanya bermeditasi untuk menerima ‘petunjuk’ daripada Nyai Roro Kidul, misalnya tentang kedatangan bencana tsunami dan sebagainya.

Pernah seorang sultan didatangi jelmaan Nyai Roro Kidul dalam pertapaannya. Dalam ‘pertemuan’ mistikal itu, Roro Kidul mengkhabarkan tentang waktu, dan tarikh sebuah bencana tsunami yang bakal meranapkan seluruh petempatan di pesisiran pantai selatan.

Demi mengelakkan mala petaka itu, Roro Kidul meminta sultan berpesan kepada rakyatnya supaya memasak lodeh yang mengandungi sembilan jenis sayur dan dimakan beramai-ramai bersama keluarga. Pesanan itu segera disampaikan dan dituruti semua orang.

Seperti yang diharapkan, bencana tsunami itu tidak berlaku. Kejadian itu secara tidak langsung telah memperkasa keyakinan orang ramai tentang Nyai Roro Kidul.

“Dalam keraian tertentu di keraton, tarian bedhoyo ketawang akan dipersembahkan di hadapan sultan dan para pembesar negeri sebagai hiburan istimewa.

“Ia ditarikan oleh sembilan orang penari yang masih perawan. Mereka lengkap dengan persalinan yang cantik-cantik belaka,” kata duta pelancongan Jogjakarta, Sekar Sari, 19.

Menurutnya, para penari bukan sahaja perlu berpuasa terlebih dahulu, malah menyerahkan sepenuh tumpuan ketika menarikan gerak dan lenggok yang gemalai sambil diiringi bunyi-bunyian gamelan yang mengasyikkan.

Tarian itu merupakan ciptaan raja kerajaan Mataram pertama, Sultan Agung Hanyokrokusumo.

“Ketika tarian sedang berlangsung, hanya sultan yang akan dapat melihat kehadiran penari kesepuluh iaitu jelmaan Nyai Loro Kidul,” kongsi Sekar tentang keistimewaan deria keenam sultan dan pertalian rapat dengan si ratu yang menguasai pantai selatan itu.

Variasi penerimaan

Meskipun Islam sudah menjadi amalan atau kaedah pengabdian jiwa kepada Yang Maha Mencipta di tanah Jawa, masih ramai yang belum ‘bebas’ sepenuhnya. Sememangnya pengaruh budaya di bumi itu amat kental dengan hal-hal yang berbaur mistik dan Hinduism.

Figura spiritual seperti Nyai Roro Kidul dan beberapa lagi dewa-dewa yang menjelma menjadi manusia ‘dihidupkan’ dalam pemikiran dan kepercayaan umum dengan tujuan tertentu. Antaranya untuk mempengaruhi masyarakat supaya memandang golongan yang memiliki hubungan istimewa dengan figura mistik tersebut sebagai manusia terpilih.

Secara tidak langsung, mereka yang larut dalam ketaksuban itu akhirnya akan menjadi golongan yang patuh dan tunduk sama ada secara sosial mahupun politik.

Namun begitu, mereka yang mahu menghabiskan waktu percutian di mana-mana destinasi di Pulau Jawa, khususnya di Jogjakarta, datanglah dengan minda yang terbuka.

Selain menghormati kepercayaan dan kebudayaan warga tempatan, segala yang dilihat dengan mata adalah suatu cerminan untuk pedoman diri sendiri.

Ekstra Nyai Roro Kidul
  • Nyai Roro Kidul mempunyai banyak nama panggilan, bergantung kepada variasi penceritaan. Semua itu dipengaruhi perubahan penyampaian sang penglipur lara, kekuatan mitos daerah dan dongeng rakyat.
  • Turut dipercayai Begawan (sungai) Solo yang berpunca dari Gunung Merapi di Jawa Tengah dan bermuara di Lautan Hindi menjadi laluan Nyai Roro Kidul untuk memasuki Jawa.
  • Sehingga kini, upacara labuhan masih dijalankan oleh sesetengah golongan bagi mendapat restu Nyai Roro Kidul dan sebagai tanda syukur kepada Sang Pencipta atas segala kemakmuran yang dilimpahkan kepada Keraton Mataram Jogjakarta dan rakyat keseluruhannya.
  • Upacara labuhan di pesisir Pantai Parangkusumo itu dilakukan dengan melempar atau menghanyutkan persembahan berupa makanan dan barangan milik keraton ke laut.


  • Kosmo!

    13 Disember 2009

0 comments: