INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Rumah berhantu

Wednesday, December 23, 2009

 


Kisah yang dipaparkan ini dicuplik dari blog delimamalaysia.blogspot.com. Penulis blog ini menyatakan bahawa misteri rumah berhantu yang diceritakan mungkin menjadi inspirasi kepada filem seram tahun 80'an Misteri Rumah Tua yang dilakonkan oleh Noor Kumalasari. Dan aku mendapati kisah ini menarik dan sesuai untuk dimuatkan dalam blog ini. Setelah mendapat keizinan dari pemilik blog Malaysia Kita Online (delimamalaysia) maka aku pun memaparkannya di sini.

(Nama & Tempat telah ditukar identiti untuk mengelakkan keselamatan pihak-pihak berkaitan. Sebarang pertanyaan sila email ke dnglobal_eng@yahoo.com.my).

Kisah seram ini bermula apabila Rahid ditugaskan bekerja di sebuah tempat di Perak sekitar tahun 1980an sebagai seorang pegawai di sebuah syarikat tempatan. Pada awalnya dia sampai di Perak, Rahid agak senang hati apabila dia dapat membeli rumah banglo tersebut harga yang sangat murah hanya kira-kira RM80 ribu sahaja. Walhal rumah banglo tersebut tidak terjaga dan agak usang dengan lalang setinggi semeter dan sekitar rumah yang agak semak. Namun Rahid tidak mempedulikannya kerana pada fikirannya harga rumah tersebut cukup melegakan hatinya untuk berpindah di situ. Banglo 2 tingkat yang mempunyai 4 bilik itu terletak kira-kira 10 meter dari jalan utama untuk memasuki halaman rumah tersebut. Pada awalnya mereka sekeluarga tinggal di situ, tiada apa-apa masalah berlaku, cuma agak sunyi kerana jarak antara rumah tersebut dengan rumah jiran mereka agak jauh. Tetapi pada minggu kedua dia sekeluarga tinggal di situ, perkara-perkara pelik mulai menggangu mereka sekeluarga.

Pada mulanya ia hanyalah gangguan-gangguan kecil seperti lampu dapur yang ketikanya menyala dengan sendiri di tengah malam. Ini kerana dapur rumah tersebut agak tersorok di belakang rumah yang dikelilingi semak samun. Mereka sekeluarga hanya membiarkan sahaja ia berlaku kerana menyangka aliran elektrik di rumah tersebut yang tidak stabil, maklumlah rumah usang yang tidak berpenghuni selama lebih 10 tahun. Tetapi semakin lama gangguan yang diterima semakin menyeramkan.

Bermula dengan bunyi periuk berlaga sesama sendiri di dapur pada awal pagi sehinggalah bunyi hilaian ketawa perempuan yang sangat menyeramkan di atas bumbung rumah. Tidak jauh dari banglo tersebut teradapat sebuah masjid yang bersebelahan dengan gereja kristian. Namun apa yang terjadi ialah apabila azan maghrib terdengar suara perempuan menangis di belakang rumah dan bunyi anjing menyalak tanpa henti di sekitar rumah tersebut. Padahal tidak terdapat seekor anjing pun berada di sekitarnya apabila di periksa oleh keluarga Rahid.

Pernah suatu ketika anak bongsu Encik Rahid yang berumur 5 tahun menangis pada tengah malam sehinggalah lewat pagi. Peristiwa ini terjadi selama sebulan dan apabila isterinya memanggil seorang ustaz untuk membantunya, ustaz tersebut telah mengakui bahawa terdapat makhluk yang menyeramkan berada di atas bumbung rumah tersebut yang mengakibatkan gangguan pada anak kecil mereka.

Isteri Rahid, Ramlah juga mengalami pengalaman seram ketika hendak ke tandas pada jam 3 pagi apabila dia tiba-tiba dikejutkan bunyi seperti ada orang sedang berlari-lari di halaman rumahnya. Ramlah tersentak dan cuba mengamati bunyi tersebut. Memang benar ianya seperti bunyi orang bermain-main di laman rumah. Kemudian, Ramlah terdengar pula bunyi seperti suara budak sedang ketawa dengan gembira. Peliknya...anak siapa pulak yang bermain di halaman rumah orang pada jam 3 pagi? Ramlah yang agak kehairanan cuba memberanikan dirinya untuk mengintai ke luar. Dengan perlahan, Ramlah mencapai lampu suluh dan membuka sedikit tingkap cukup sekadar untuk dirinya menjenguk ke luar.

Dari celah-celah tingkap Ramlah dapat melihat dua orang budak sedang berlari-lari, berkejaran ke sana dan ke mari sambil membaling objek seperti bola. Ramlah membeliakkan matanya agar dapat melihat dengan lebih jelas dan alangkah terkejutnya dia bila mendapati ke dua-dua budak tersebut mempunyai ekor di belakangnya dan bertanduk dua di kepala mereka. Apa yang lebih mengejutkan adalah objek yang disangkanya bola adalah kepala bayi yang penuh dengan darah dan luka-luka di muka serta matanya terbeliak.

Tiba-tiba ke dua-dua orang budak berhenti bermain dan berkomunikasi antara satu sama lain. Salah seorang budak tersebut memandang ke arah Ramlah dan menunjuk-nunjuk ke arah Ramlah. Rakannya yang seorang lagi turut berpaling dan memandang ke arah Ramlah. Kerana ketakutan Ramlah cuba memanggil suaminya, Rahid yang ketika itu sedang tidur di tingkat atas. Namun lidahnya terasa kelu malah kakinya juga terasa berat. Ramlah tidak mampu berbuat apa-apa kecuali hanya berdiri tegak di tepi tingkap.

Dengan kepantasan yang sukar dijelaskan, kedua-dua budak tersebut tiba-tiba berada di depan Ramlah. Walaupun keadaan sekeliling agak gelap, Ramlah dapat melihat dengan jelas rupa ke dua-dua budak tersebut kerana muka mereka kini betul-betul berada di depan mata Ramlah. Muka mereka penuh dengan nanah dan baunya sangat busuk. Ramlah yang ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa tiba-tiba terdengar jeritan Allahuakbar dari suaminya yang mungkin terjaga kerana menyedari isterinya tiada di sisi. Serentak dengan laungan Allahuakbar, kedua-dua budak yang berada di hadapan Ramlah tersebut hilang sekelip mata.

Namun sehingga keesokan harinya Rahid dan isterinya menemui semula ustaz yang pernah mereka temui dulu dan ustaz tersebut menasihati agar mereka berpindah untuk mencari rumah lain.

layari MALAYSIA-KITA-ONLINE

1 comments:

azam84 said...

menarik cerita tu..blh tahu lokasi rumah tu kat mana?