INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Kahwin dengan si mati

Tuesday, October 27, 2009

 


TIMBUNAN wang kertas untuk 'digunakan' di alam selepas kematian.

PELBAGAI persembahan replika kertas sedia untuk dibakar.

'DIA tidak patut meninggal dunia dalam usia semuda itu. Dia ada kehidupan yang perlu dinikmati semasa hayatnya. Si mati juga berhak untuk berkasih dan hidup berpasangan. Maka, apa salahnya menunaikan keinginan murni itu? Permulaannya - cari pasangannya untuk dikahwinkan!'

Itu antara idea awal yang mendorong upacara 'perkahwinan hantu' dijalankan. Ia merujuk kepada upacara perkahwinan yang melibatkan salah seorang atau kedua-dua pihak yang sudah meninggal dunia.

Terdapat beberapa bangsa dan budaya tertentu di seluruh dunia yang mengamalkannya. Selain suku terpencil di Sudan, ia paling sinonim dikaitkan dengan masyarakat Cina. Ikutan kepercayaan ini berkembang dari Tanah Besar hingga ke dalam komuniti Cina tempatan di negara-negara lain.

"Orang Cina meletakkan nilai perhubungan antara dua jiwa begitu tinggi, lebih-lebih lagi di kalangan wanita yang dalam usia berpotensi untuk berkahwin.

"Bagi yang mempercayai konsep 'perkahwinan hantu', sekiranya wanita itu menemui ajal sebelum sempat ke gerbang perkahwinan, keluarganya berhak untuk melaksanakan upacara tersebut," ujar Pin Hao, 52, seorang petugas tokong yang ditemui di Cheras, Kuala Lumpur.

Lelaki yang meminta tidak dirakam gambarnya itu mengakui mengetahui hanya sedikit mengenai 'perkahwinan hantu'. Dia bagaimanapun menambah, sesetengah keluarga percaya bahawa si mati yang dikebumikan tanpa pasangan akan menjalani kehidupan alam kematian yang tidak tenang.

Sebab itulah, ahli keluarganya yang masih hidup akan mendapatkan khidmat pakar agama seperti dangkee (perantara) untuk mencari pasangan yang sesuai. Selalunya penilaian dibuat berdasarkan hitung kira horoskop.

Kontroversi

Menurut Pin Hao, ada juga keluarga si mati yang tidak menggunakan khidmat dangkee untuk mencari pasangannya. Mereka lakukan sesuatu yang lebih pelik kerana percaya bahawa 'pilihan' si mati akan muncul tanpa sengaja.

"Mula-mula, ahli keluarga yang meletakkan sampul merah seperti angpau di tengah-tengah jalan. Mereka kemudiannya bersembunyi untuk mengintip sesiapa yang memungut sampul tersebut.

"Apabila seseorang mengutip sampul itu, mereka akan keluar dari tempat persembunyian lalu memberi pengumuman kejutan kepada orang itu tentang statusnya sebagai 'pilihan' pengantin yang telah mati.

"Saya tidak pasti kalau ada lagi orang yang mengikut kaedah itu. Bayangkan betapa terkejutnya orang itu? Macam mana kalau orang Melayu atau orang Bangladesh yang angkat angpau itu?" ujarnya berseloroh.

Temu bual informal antara Jurnal dengan Pin Hao turut didengari oleh seorang warga emas yang kemudian hanya mahu dipanggil sebagai Uncle Tang.

"Orang Cina memanggilnya sebagai minghun. Perkahwinan hantu selalunya diuruskan oleh kaum keluarga si mati atas beberapa sebab. Lazimnya, ia dilakukan secara tertutup di tokong dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat.

"Tidak semua orang Cina masih mengikuti adat ini kerana ia menimbulkan banyak kontroversi. Lagipun, generasi sekarang sudah moden dan telah boleh menerima hakikat hidup dan mati. Upacara ini juga tidak diterima dalam ajaran ortodoks Taoisme," ujarnya.

Malah, ketika Jurnal menghubungi Pusat Memorial Nirvana untuk mendapatkan maklumat tentang ritual tersebut, sumber dari perhubungan pelanggan pusat pengurusan mayat dan pengkebumian itu tidak dapat mengulas lanjut.

"Kami tidak tahu-menahu tentang perkhidmatan seumpama itu. Kami juga tidak pernah dihubungi untuk dikaitkan dengan soal 'mengahwinkan' mayat yang kami uruskan," kata sumber itu.

Dalam pada itu menurut Tang lagi, desakan terhadap upacara perkahwinan itu lebih kuat jika sepasang kekasih pernah mengikat tali pertunangan sebelum salah seorang atau kedua-duanya meninggal dunia. Ia adalah sebagai tanda penghormatan atau menyempurnakan hajat mereka untuk hidup bersama.

"Antara sebab lain upacara ini dilaksanakan termasuklah bagi meneruskan warisan nama keluarga serta untuk memastikan tiada adik lelaki yang berkahwin dahulu sebelum abangnya," jelas Tang yang mencadangkan soalan-soalan seterusnya dirujuk kepada yang lebih arif.

Sarung cincin

Sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka Pasukan Penyiasat Paranormal Singapura (SPI) dalam laman web mereka, www.spi.com.sg memaparkan satu demi satu atur cara pelaksanaan perkahwinan hantu, seperti yang sempat mereka rakamkan di Tokong Seng Wong Beo.

'Pasangan' yang hendak dikahwinkan dibentuk semula dengan menggunakan kertas, lengkap dengan wajah dan potongan pakaian yang diwarna. Sejurus mantera dan seruan terhadap dewa-dewa penjaga mengikut kepercayaan agama mereka dibaca, kertas-kertas penyembahan mula dibakar.

Ketua upacara memperjelakan kepada pasukan SPI bahawa kertas-kertas tersebut direka menjadi bentuk wang roh, rumah, kereta, katil, jambatan serta keperluan lain dan kesemua akan dibakar di tempat khas. Semua replika kertas itu dikatakan dapat membantu pasangan itu melalui alam kematian dengan lebih baik.

Antara lain, ketua upacara itu turut membimbing bacaan pemujaan, ritual penyarungan cincin pada jari patung kertas, permohonan restu keluarga dan seterusnya melepaskan roh pengantin ke gerbang dimensi kematian.

Sekiranya semua berjalan lancar, kehidupan semula pengantin itu dalam alam baru dipercayai akan lebih tenteram.

Kosmo!

28 Oktober 2009

0 comments: