INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Jejas akidah

Sunday, August 2, 2009

 

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

KUALA LUMPUR: “Jika kita hampir terjatuh, berpautlah pada akar pokok, bukan pada ranting yang rapuh,” kata penceramah bebas yang juga Perunding Motivasi Human-Touch Consultant Sdn Bhd, Mohd Zawawi Yusoh.

Beliau berkata demikian sebagai perumpamaan terhadap tindakan segelintir individu yang kononnya mahu mendalami agama dengan menyertai pertubuhan silat serta mengamalkan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam padahal ia boleh menjejaskan akidah.

“Tindakan seseorang untuk mendalami agama adalah digalakkan, namun ada kalanya boleh tersilap langkah dengan menyertai kumpulan yang menyesatkan,” katanya.

Menurutnya, terdapat segelintir pertubuhan silat mengamalkan ajaran yang bercanggah dengan agama, namun masih mampu memikat pengikut kerana ia menggunakan ibadat seperti solat sebagai syarat wajib.

“Silat adalah seni mempertahankan diri dan ia tidak bercanggah dengan agama. Namun, ia menjadi sesuatu yang diragui apabila membabitkan beberapa amalan khurafat seperti jampi serapah atau penyembelihan.

“Malah, terdapat kumpulan silat yang menetapkan pengikut supaya mendirikan solat sekiranya mahu ilmu yang dipelajari menjadi,” katanya.

Zawawi berkata, jika dengan cara itu, maka seseorang hanya bersolat sebagai syarat ilmu yang dipelajari dan bukan kerana tanggungjawab terhadap agama.

“Kerana itulah mereka mudah terpesong dan tidak teragak-agak melakukan pelbagai perkara pelik walaupun ia jelas bertentangan dengan agama,” katanya.

Menurutnya, individu yang berminat mempelajari silat seharusnya menitik berat soal akidah dan tinggalkan kumpulan berkenaan sekiranya ia cenderung melakukan perbuatan pelik.

“Jangan terpesona dengan keajaiban ciptaan manusia seperti kebal atau boleh berjalan atas air kerana semua itu pasti dibantu makhluk lain,” katanya.

Menurut Zawawi, pertubuhan silat yang sedia ada perlu memastikan mereka bebas unsur khurafat kerana dikhuatiri menyesatkan orang lain.

“Tidak semua pertubuhan silat itu mengamalkan ajaran pelik dan sebagai individu yang dikurniakan akal, kita harus bijak menilai sama ada kumpulan itu benar-benar mengajar seni mempertahankan diri atau menyelitkan unsur lain atas tiket ilmu silat,” katanya.

Menurutnya, sekiranya ada unsur yang meragukan, mereka perlu merujuk Majlis Fatwa atau tokoh agama bagi mendapatkan penjelasan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Metro Ahad, semalam mengenai tindakan seorang lelaki yang tergamak menceraikan isterinya yang enggan melakukan baiah dengan guru silatnya.

Lelaki berkenaan mengamalkan ibadat pelik iaitu bersilat dengan melakukan pelbagai gerakan tangan sambil bersila atas sejadah dalam tempoh lima hingga 10 minit sebelum disusuli wirid, zikir dan doa.

Bekas isterinya mendakwa lelaki itu lebih banyak meninggalkan ibadat fardu sebaliknya lebih suka melakukan solat tengah malam malah ada kalanya melakukan solat hanya dengan niat serta secara jamak walaupun tidak bermusafir.

Harian Metro

3 Ogos 2009

0 comments: