INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

‘Jangan sempitkan fikiran’

Sunday, August 23, 2009

 

Oleh Maiamalina Mohamed Amin

KUALA LUMPUR: Wanita yang sanggup menggunakan susuk atau sihir semata-mata untuk kelihatan cantik sekali gus menonjolkan harga diri tinggi lambang orang berfikiran cetek dan dangkal.

Ini kerana harga diri seorang wanita bukan terletak pada kecantikan luaran semata-mata sebaliknya kunci utama ilmu pengetahuan, agama, akidah yang sempurna selain pembawaan diri.

Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata tidak seharusnya wanita menyempitkan pemikiran dengan menganggap kecantikan saja membolehkan dirinya dihormati orang lain.

“Kita tidak dipandang menarik pun jika hanya cantik saja tetapi cara berfikir masih di tahap lama, malah tidak pula dilengkapi ilmu pengetahuan serta ilmu keagamaan yang kukuh untuk pegangan diri.

“Seharusnya wanita sedar dan kena lihat diri lebih daripada apa yang ada, bukan kecantikan saja tetapi juga perkara lain...bahagian dalaman diri misalnya, yang boleh menjadi unsur baik pada masyarakat.

“Alasan (cantik) untuk menarik perhatian suamilah dan apa-apa lagi, itu semua tak wajar...janganlah kita sempitkan fikiran begini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam, mengenai kisah dua wanita yang menyesal tak sudah selepas memakai susuk semata-mata kerana mahu dilihat cantik dan menawan.

Wanita pertama dikenali Maria, 34, memakai susuk di kemaluan dan muka ketika hendak berkahwin sembilan tahun lalu kerana dikatakan berkesan dalam menjalin hubungan intim dan suami tidak terpikat dengan orang lain.

Manakala, wanita kedua iaitu Erna, 42, memakai susuk di dagu sejak 20 tahun lalu akibat ditipu kawan dan bomoh yang mengatakan jarum emas dimasukkan ke anggota badan sebagai pendinding.

Kedua-duanya kini menyesal kerana sukar membuang susuk selain bimbang amalan berkenaan memakan diri terutama apabila diberitahu pemakai susuk sukar untuk mati.

Dr Harlina yang juga pakar sakit puan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), mengingatkan masyarakat khususnya wanita supaya tidak terpengaruh dengan perkara khurafat dan ilmu hitam.

“Kata kuncinya sekarang ialah sebarang benda yang memperlihatkan khurafat dan berunsur ilmu hitam hendaklah dijauhi, dan jangan terbabit langsung.

“Bila sudah jadi begini (seperti pemakai susuk) buatkan orang yang tidak kasihan pada kita pun walaupun menyesal tak sudah, sedih lagi ada sebab masih juga wanita terpengaruh dengan amalan begini,” katanya.

Harian Metro

24 Ogos 2009

0 comments: