KOTA TINGGI - Penduduk sebuah kampung tradisional di pinggir bandar ini digemparkan dengan satu kejadian aneh lewat petang kelmarin, ekoran penemuan lima objek menyerupai 'pocong' terdampar di tebing Sungai Johor.
Menurut dua sahabat, Mohd. Izzuddin Abd Karim, 18, dan Mohd. Razif Ismail, 17, dari Kampung Tembioh dekat sini, mereka terkejut apabila terlihat objek tersebut yang tiba-tiba timbul dan 'melanggar' paha kanannya ketika sedang asyik menjala ikan di tebing sungai berkenaan.
Mohd. Izzuddin berkata, sudah menjadi kebiasaan bila ada masa terluang beliau bersama rakannya akan menjala ikan di tepi sungai itu tetapi belum pernah terjumpa perkara aneh seperti itu sebelum ini.
Menurutnya, mereka mula turun menjala kira-kira pukul 6 petang dan sebaik tiba di tebing berhadapan dewan badminton di sini, tiba- tiba dia terhidu bau yang agak wangi seakan- akan bunga kemboja atau kapur barus tetapi tidak mengendahkannya.
"Apa lagi, saya dan rakan (Mohd. Razif) bagaikan tergamam seketika dan bergegas naik ke darat ekoran terperanjat sebaik terlihat benda itu,'' katanya ketika ditemui di sini semalam.
"Ekoran kejadian itu saya terus menceritakannya kepada rakan-rakan lain tetapi mereka tidak mempercayainya sehinggalah muncul empat lagi objek yang serupa semalam tidak jauh dari tempat 'pocong' pertama ditemui."
Menurut Mohd. Izzuddin lagi, kelima-lima objek itu kelihatan seolah-olah seperti mayat yang telah lengkap dikafan dengan kain putih.
Penemuan lima 'pocong' di tebing Sungai Johor di Kampung Tembioh di sini kelmarin, bukan saja menggemparkan penduduk malah menimbulkan persoalan sama ada ia mempunyai kaitan dengan kegiatan sihir yang dikenali sebagai 'bungkem'.
Seorang penduduk, Juffri Juraimee, 55, mendakwa, kemunculan lima objek yang menyerupai 'pocong' itu berkemungkinan bertujuan untuk menyihir seseorang.
"Menurut orang-orang tua, mangsa yang disihir atau 'bungkem' biasanya akan merana sehingga boleh membawa kepada kematian.
"Namun, ilmu tersebut tidak akan menjadi sekiranya objek yang digunakan untuk menyihir seseorang itu dijumpai orang lain," katanya ketika ditemui semalam.
Ujar Juffri, penemuan 'pocong' tersebut hingga kini masih menjadi tanda tanya penduduk di situ kerana kejadian seumpama itu adalah yang pertama kali berlaku di situ.
Bagaimanapun, terdapat juga pendapat mengatakan penemuan 'pocong' tersebut merupakan antara aktiviti membuang ancak, saka atau rawatan penyakit secara tradisional.
Kosmo!
1 Februari 2009
KOTA TINGGI - Tiga ketul batu berwarna kelabu kehitaman seperti batu nisan ditemui dalam bungkusan 'pocong' lima sekeluarga yang menggemparkan penduduk Kampung Tembioh, dekat sini kelmarin.
Selain itu, batu itu diselaputi kapas dan bungkusan plastik hitam serta bau kapur barus yang agak kuat.
Itulah yang ditemui oleh dua penduduk kampung tersebut, Mad Zamri Ademin, 37, dan Mohamad Hussin, 44, setelah memberanikan diri untuk membuka ikatan 'pocong' tersebut semalam.
Kelmarin, penduduk sebuah kampung tradisional di pinggir bandar Kota Tinggi digemparkan dengan penemuan lima objek menyerupai 'pocong' yang terdampar di tebing Sungai Johor.
Dalam pada itu, penduduk di situ meminta pihak berkenaan tidak membiarkan 'pocong' tersebut terbiar begitu sahaja di sungai tersebut.
Seorang penduduk, Othman Abas, 50, berkata, pihak terbabit tidak sepatutnya membiarkan keluarga 'pocong' itu berkampung di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kejadian yang berlaku ini bukan sahaja memberi tanggapan tidak baik terhadap masyarakat di sini, malahan penduduk terutamanya wanita dan kanak-kanak mulai takut untuk melalui kawasan berkenaan.
Menurut Othman, setiap hari tidak kira siang atau malam, pinggir sungai di kampung ini menjadi tumpuan orang ramai memancing ikan dan udang galah.
Kosmo!
2 Februari 2009
KOTA TINGGI - Akhirnya 'pocong lima sekeluarga' yang menjadi bualan penduduk di sebuah kampung di pinggir bandar Kota Tinggi baru-baru ini menerima 'hukumannya'.
Petugas dari Pejabat Agama Islam Daerah Kota Tinggi dilihat datang mengambil pocong-pocong terbabit untuk dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam di sini untuk dimusnahkan dengan cara membakarnya.
Bagaimanapun, Pegawai Tadbir Agama Daerah, Mohd. Taufik Kiyai Samsudin berkata, proses untuk membakar pocong-pocong itu mungkin memakan masa sehari dua bagi memastikan 'pocong' itu benar-benar kering terlebih dahulu.
"Kelima-lima 'pocong' itu berada dalam sungai selama beberapa hari dan ia perlu dikeringkan sebelum kita dapat membakarnya.
"Buat masa ini kita pindahkannya ke tanah perkuburan dahulu," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kampung Tembioh di sini baru-baru ini digemparkan dengan penemuan lima sekeluarga 'pocong' yang ditemui dua sahabat, Mohd. Izzuddin Abd. Karim, 18, dan Mohd. Razif Ismail, 17, ketika menjala ikan di pinggir Sungai Johor dekat sini.
Kehadiran 'pocong' itu telah membuatkan penduduk di situ resah dan takut.
Menurut Mohd. Taufik, objek yang ditemui itu bukannya mayat manusia yang perlu disempurnakan dengan menanamnya.
Justeru, katanya, adalah wajar objek yang menyerupai mayat yang lengkap dikafankan itu dibakar sahaja.
Kosmo!
4 Februari 2009
KOTA TINGGI - Keresahan penduduk sekitar bandar Kota Tinggi terutama di Kampung Tembioh di sini dianggap sudah berakhir apabila kelima-lima 'ahli keluarga pocong' yang dijumpai baru-baru ini dibakar di tanah perkuburan Islam Kampung Makam kira-kira pukul 10 pagi semalam.
Penduduk terpaksa menggunakan minyak petrol dan kayu api kering untuk membakar kain-kain kapan lembap yang masih kuat berbau kapur barus itu satu demi satu di tapak bakar sampah dalam kawasan perkuburan tersebut.
Hanya kira-kira 20 orang berada di kawasan itu termasuk pegawai daripada Jabatan Kesihatan, Majlis Agama Daerah dan jawatankuasa Masjid Kampung Makam manakala beberapa orang wanita sekadar melihat upacara itu dari jarak kira-kira 70 meter.
Selepas proses pembakaran selesai, abu-abu daripada pembakaran itu dibiarkan sahaja di situ.
Seorang penjaga tanah perkuburan itu, Othman Markan, 39, berkata, kerja-kerja membakar pocong tersebut dilakukan pada awal pagi semalam sebaik mendapat arahan Jabatan Agama daerah.
"Semua berjalan lancar, tiada ada apa-apa masalah semasa pembakaran dibuat,'' katanya ketika ditemui semalam.
Kosmo!
5 Februari 2009
0 comments:
Post a Comment