INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Nazi sorok harta karun

Sunday, April 12, 2009

 

Tasik Toplitz

Ramai percaya 'aset' hasil rompakan pada Perang Dunia Kedua disembunyi di dalam tasik. lombong

PADA Perang Dunia Kedua, tentera Nazi Jerman menyerang banyak negara di seluruh Eropah. Negara musuh yang berjaya ditawan akan dirampas segala harta termasuk emas rizab yang disimpan di bank negara itu untuk dibawa balik ke Jerman. Semua emas itu kemudian dilebur dan dibentuk semula menjadi jongkong emas yang dicop dengan nama bank Jerman, The Reichsbank.

Emas rampasan itu digunakan untuk membiayai kempen perang Nazi tetapi menjelang berakhirnya peperangan, masih terdapat banyak jongkong emas yang berbaki dan belum digunakan. Menyedari yang mereka akan kalah, pada Februari 1945, pihak Nazi menyembunyikan lebihan emas itu di satu lokasi rahsia di bawah tanah lombong kalium di pedalaman Merkers yang terletak kira-kira 320 kilometer di selatan Berlin.

Bagaimanapun wilayah Merkers kemudian ditawan tentera Amerika Syarikat (AS) dan mereka menemui . Pekerja lombong berkenaan memberitahu tentera AS mengenai harta karun yang disembunyikan di bawah lombong berkenaan.

Tentera AS kemudian menyelongkar lombong terbabit dan menjumpai banyak harta karun yang tersembunyi antaranya 8,198 jongkong emas, syiling emas, ketulan perak dan wang kertas yang dianggarkan bernilai lebih US$520 juta ketika itu. Jumlah itu bukanlah semua harta yang dimiliki Nazi kerana terdapat sesetengah emas dan harta lain yang disembunyikan di tempat lain di luar Berlin.

Pada 1945, tentera bersekutu semakin menghampiri ibu negara Jerman untuk menyerang mereka menyebabkan pihak Nazi memutuskan untuk membawa keluar pelbagai harta lain dari Reichsbank ke Oberbayern yang terletak di selatan Bavaria. Sekitar 730 ketulan emas seberat sembilan tan dibawa ke Oberbayern selain beberapa bag yang diisi wang asing dan syiling. Semua harta itu disembunyikan sekitar Tasik Walchensee.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, tentera AS berjaya menemui kira-kira US$11 juta harta yang disembunyikan itu manakala kira-kira US$3 juta lagi antaranya dalam bentuk jongkong emas, tidak pernah dijumpai dan mungkin masih disembunyikan di sesuatu tempat sehingga ke hari ini. Ramai pihak berusaha mencari harta karun yang disembunyikan secara misteri ini dengan harapan untuk menjadi jutawan.

Ketika itulah mereka mula mengkaji pelbagai kisah dan maklumat berhubung pergerakan harta karun berkenaan. Dalam usaha itu, mereka menemui satu petunjuk: Pada satu pagi 1945, jauh di pedalaman Pergunungan Alps, Austria, Ida Weisenbacher menjawab ketukan bertalu-talu di pintu rumahnya.

"Keluar cepat! Siapkan gerabak kereta kuda, kami perlukan kamu!" jelas tentera Nazi terbabit.

Dengan ketakutan, gadis itu menarik gerabak kereta kuda milik keluarganya mengikut askar terbabit sehingga ke kenderaan tentera Nazi. Sekumpulan askar kemudian memuatkan banyak kotak yang berat di atas gerabak dan setiap kotak ditanda dengan surat dan nombor tertentu yang mencetuskan tanda tanya berhubung isi di dalamnya.

Apabila gerabak itu sudah penuh, pegawai Nazi itu mengarahkan gadis terbabit membawa muatan itu ke Tasik Toplitz. Gadis itu berulang alik sebanyak tiga kali ke tasik berkenaan dan pada perjalanan terakhir, dia melihat sekumpulan askar mencampakkan kotak itu ke dalam tasik berkenaan.

Adakah kotak yang dibawa Ida Weisenbacher itu dipenuhi ketulan emas milik Nazi yang masih hilang sehingga kini? Ramai pengkaji berfikiran sedemikian.

Pada 1959, majalah Jerman 'Stern' menghantar penyelam ke tasik berkenaan bagi menyiasat kesahihan maklumat berkenaan. Akan tetapi selepas beberapa lama menyelam, apa yang mereka temui bukanlah jongkong emas sebaliknya tong berisi mata wang pound palsu, dokumen rahsia dan mesin cetak.

Apa yang penyelam terbabit jumpa secara tidak langsung mendedahkan satu daripada operasi dijalankan Nazi iaitu 'Operasi Bernhard' iaitu satu serangan terhadap ekonomi negara musuh di mana mata wang palsu dalam kuantiti banyak dihasilkan Nazi dan diedarkan ke negara musuh sehingga mampu menjatuhkan sistem ekonomi negara musuh mereka.

Penemuan perkakasan Operasi Bernhard itu bagaimanapun tidak melunturkan kepercayaan ramai pihak bahawa terdapat harta karun berupa jongkong emas disembunyikan Nazi di dasar tasik itu. Seterusnya pada 1963, seorang penyelam bertindak meneroka kawasan tasik itu bagi mencari harta karun berkenaan tetapi dia menemui maut dalam usahanya itu.

Kerajaan Austria kemudian melarang sebarang aktiviti penyelaman di tasik dengan tujuan mencari harta karun. Dalam masa sama, kerajaan terbabit juga menjadikan usaha mencari harta karun itu sebagai aktiviti pihak berkuasa. Bagaimanapun, mereka cuma menemui 18 lagi tong berisi mata wang palsu, plat cetak selain roket, senjata api dan barang ketenteraan di dasar tasik itu.

Beberapa pencarian lagi dijalankan di Tasik Toplitz termasuk menggunakan kapal selam robot oleh stesen televisyen CBS dengan kerjasama Kongres Yahudi Sedunia pada 2000 tetapi tiada jongkong emas ditemui melainkan tong berisi mata wang palsu.

Sehingga kini, ramai masih percaya pencarian di dasar Tasik Toplitz adalah tidak menyeluruh dan tasik itu seperti juga kebanyakan tasik lain sekitar Austria dan Jerman, masih tersembunyi harta karun berupa jongkong emas Nazi bernilai jutaan dolar yang hilang semasa kekalahan tentera itu. Kepercayaan itu semakin kuat apabila seorang penyelam amatur menemui emas padu berbentuk mangkuk besar di dasar Tasik Chiemsee di Bavaria. Emas seberat kira-kira 12 kilogram itu bernilai hampir USD$100,000.


INFO Tasik Toplitz

*Terletak di Salzkammergut, Austria
*Sepanjang dua kilometer, lebar 400 meter dan sedalam 103 meter.
*Pada perang dunia kedua, Tasik Toplitz digunakan sebagai lapangan ujian peluru berpandu dari kapal selam.
*Kawasan perairannya memiliki kurang oksigen menyebabkan tidak banyak hidupan kecuali sesetengah bakteria dan cacing yang mampu hidup di dalamnya.
*Dengan kawasannya yang kelam, terpencil dan terasing ketika zaman Perang Dunia Kedua, ia dilihat sesuai untuk menjadi tempat persembunyian harta karun.
*Kehilangan harta Nazi ini disenaraikan 'World Guinness Book of Records' sebagai 'rompakan terbesar dalam sejarah dunia'.
*Selain emas, lombong Merkers turut menjadi lokasi simpanan harta karun lain seperti hasil seni dan artifak dari muzium Jerman serta hasil rampasan perang dari negara lain.


Oleh Nasron Sira Rahim
Berita Minggu 17 Disember 2007

0 comments: