INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?

INGIN MEMBELI MINYAK WANGI?
Klik imej di atas

Batu Ica sembunyi rahsia zaman silam

Friday, April 10, 2009

 




De Javier Cabrera percaya ukiran dibuat masyarat purba dari angkasa lepas dikenali 'Gliptolithic Man' yang tinggal di bumi jutaan tahun lalu.


CERITANYA bermula sekitar 1960-an apabila seorang petani menjumpai banyak batu aneh dalam sebuah gua dan gaung sekitar Ica, iaitu sebuah bandar kecil terletak kira-kira 300 kilometer dari Lima, Peru.

Batu itu terdiri daripada pelbagai saiz tetapi apa yang menjadikannya suatu artifak misteri ialah ukiran pada batu berkenaan pasti mencetuskan tanda tanya kepada sesiapa yang melihatnya.

Meneliti ukiran aneh pada batu itu, ia seolah-olah mencatatkan cerita mengenai wujudnya satu peradaban purba yang sangat maju malah lebih maju daripada dunia hari ini pada zaman dinosaur iaitu jutaan tahun lalu.

Bagaimanapun, atas sebab tertentu yang masih menjadi misteri, tamadun itu akhirnya musnah dan lenyap, sama seperti pupusnya dinosaur pada hari ini sehingga meninggalkan ukiran pada batu itu saja bagi menyingkap kembali kehebatan tamadun berkenaan.

Sebaik melihat pelbagai ukiran aneh pada batu itu, petani terbabit mula membawa keluar dan menjual artifak berkenaan kepada pelancong sebagai cenderamata.

Pada suatu hari dia ditahan pihak berkuasa atas sebab yang menjadi misteri. Selepas beberapa lama ditahan dan dikurung, petani itu dibebaskan tetapi selepas itu, dia tidak lagi berani menyatakan yang batu itu adalah artifak purba.

Keunikan batu yang penuh dengan ukiran misteri itu menarik minat seorang doktor tempatan iaitu Dr Javier Cabrera dan sejak itu, beliau sentiasa membeli dan mengumpulkan batu berkenaan daripada petani terbabit selain beberapa pihak lain.

Cabrera pernah bertanyakan kepada petani terbabit bagaimana dan di mana dia memperoleh batuan berkenaan dengan kuantiti yang banyak tetapi petani itu enggan memberitahunya seolah-olah takut dia akan sekali lagi ditahan dan dikurung pihak berkuasa.

Doktor itu percaya yang batu berkenaan adalah satu artifak purba yang wujud jutaan tahun lalu. Beliau mula membenarkan penyelidik mengkaji batu berkenaan.

Kajian yang dilakukan mendapati batu berkenaan sudah mencapai usia ribuan tahun lalu. Ujian kimia yang dilakukan pula mendapati batu itu berasal dari sungai setempat dan Gunung Andes berikutan permukaannya yang ditutupi lapisan oksida.

Penyelidik juga mendapati, bekas ukiran pada batu itu sudah sangat lama dan batu yang ditemui sekitar gua memiliki fosil organisme berusia jutaan tahun silam.

Kini, Cabrera membina sebuah muzium di Ica yang mengumpulkan lebih 15,000 batu misteri berkenaan.

Pembinaan muzium batuan itu secara tidak langsung mendedahkan misteri berkaitan ukiran pada batu artifak itu kepada khalayak ramai dan sehingga kini, perdebatan mengenai kesahihan batu aneh itu masih berterusan.

Antara gambar yang terukir pada batu berkenaan adalah gambaran galaksi angkasa, haiwan purbakala, peta daratan prasejarah, bencana dahsyat pada zaman dulu.

Menerusi gambar batuan itu, pelawat dapat melihat dengan jelas yang ia menggambarkan bahawa manusia sudah wujud dan hidup sezaman dengan dinosaur. Malah, ukiran bentuk manusia dan dinosaur pada batu itu sama saja dengan bentuk manusia dan gambaran dinosaur yang ditemui pada hari ini.

Ukiran itu menunjukkan seolah-olah dinosaur menjadi haiwan peliharaan manusia terbabit, sama seperti manusia memelihara haiwan ternakan seperti lembu atau kambing pada zaman sekarang.

Pada sebuah batu, dipahat ukiran seorang manusia menunggang di atas Triceratops, dengan tangannya menggenggam senjata seperti kapak. Pada batu lainnya, diukir pula gambaran seorang manusia yang panik dikejar Tyrannosaurus Rex.

Selain ukiran mengenai kehidupan manusia dan dinosaur, terdapat juga ukiran muka bumi pada 13 juta tahun lalu yang dilihat dari angkasa. Ada empat gambar pada ukiran yang persis peta dunia dan menurut penyelidik, peta daratan yang diukir pada batu itu adalah keadaan daratan pada zaman purba dan ia dilukis dengan tepat.

Daripada ukiran batu itu juga, dapat dilihat seolah-olah masyarakat pada zaman itu sudah menguasai teknologi perubatan yang tinggi apabila turut terukir gambaran misalnya pembedahan otak dan bagaimana cara mengatasi reaksi penolakan organ dalam proses pemindahan organ yang mana semua ilmu itu, baru ditemui dalam dunia perubatan moden.

Satu daripada gambar yang terukir dalam batu itu menggambarkan pengambilan benda berbentuk gelembung dalam lingkaran janin ibu yang hamil sebelum menyuntik ke dalam tubuh pesakit.

Pada batu ukiran itu juga dilukiskan teknologi bius dengan akupuntur dalam operasi kedoktoran selain batu yang mengukir gambaran gen.

Cabrera percaya yang batu itu diukir masyarakat zaman dulu yang dikenali sebagai ‘Gliptolithic Man’ dan mereka sebenarnya adalah manusia dari angkasa lepas yang datang dan tinggal di bumi bersama dinosaur pada jutaan tahun lalu. Bagaimanapun, atas sebab tertentu, manusia angkasa lepas itu beredar ke planet lain menggunakan ‘Garisan Nazca’ (satu lagi lokasi misteri di Peru) yang terletak berdekatan sebagai lapangan terbang.

Sehingga kini, kebenaran membabitkan ukiran batu Ica terus menjadi teka-teki yang membingungkan. Sama ada wujud satu tamadun yang penuh futuristik yang diasaskan manusia dari angkasa lepas, pada jutaan tahun lalu atau sekadar satu pembohongan, terus menjadi misteri sehingga kini.

Sumber: www.crystalinks.com/icastones.html; www.erabaru.or.id; http://www.wikipedia.com/

Oleh Nasron Sira Rahim


Berita Minggu
2 September 2007

0 comments: